Terbaru- Mee tarik cara paling mudah!

Showing posts with label PUASA SAYUR. Show all posts
Showing posts with label PUASA SAYUR. Show all posts

Monday, 22 May 2017

KERABU MANGGA KELAPA PARUT DISANGAI

Assalamualaikum dan salam sejahtera sahabat Nuruulsham semua.  Pernah tak anda makan kerabu mangga? 

Nurulsham suka sangat kerabu mangga ini. Ada beberapa jenis kerabu mangga yang Nurulsham pernah rasa contohnya mangga masam ditumbuk dengan ikan kering dan cili padi, kerabu mangga Thai (ala somtam), sambal mangga dan yang ini: kerabu mangga dengan kelapa parut disangai.


Kerabu mangga ini sedap dimakan dengan ulam-ulaman seperti pegaga, kemangin, beluntas dll
Nurulsham belajar buat kerabu mangga jenis ini dari Cik Ayu, iaitu biras Nurulsham. Cara ini biasa dibuat oleh orang-orang di kampung beliau di Titi Serong, sebuah kawasan penempatan bersawah yang sangat luas dan tentunya banyak pokok mangga, kan...?

Baiklah, jom kita lihat bahan-bahannya.
  1. Buah mangga putik
  2. Cili padi
  3. Kelapa disangai (goreng tanpa minyak)
  4. Ikan bilis goreng
  5. Garam dan gula secukup rasa.
  6. Ulam-ulaman
Cara-caranya:



1.  Sangai kelapa selama 5 minit sehingga sedikit perang

1.1. Kelapa yang telah siap disangai

Bahan-bahannya- kelapa sangai, ikan bilis goreng, bunga
 kantan, cili padi, mangga

Bahan-bahan ulaman


2. Sagat mangga halus-halus


2.1. Mangga siap disagat. Cantik kan?

2.2. Bunga kantan dimayang halus.


3. Tumbuk kelapa, cili padi dan ikan bilis goreng


3.1. Tumbuk hingga sederhana lumat

4. Campurkan bahan yang ditumbuk bersama hirisan bunga kantan dan mangga.
Gaul sehingga sebati. Jangan lupa tambah garam dan gula.

5. Kerabu yang lemak-lemak, masam, manis dan pedas ini siap dihidang
bersama ulam-ulam.
5.1. Sedap sangat dimakan dengan nasi, atau diratah dengan ulam terutamanya ulam pegaga gajah.

Selamat mencuba!

JOM KENAL ULAM-ULAMAN

Hari ni adik Nurulsham, Mimi namanya datang ke rumah bawa ulam-ulaman dan sayur-sayuran dari rumahnya. Apabila beliau mendengar Nurulsham buat Puasa Sayur, beliau pun sama teruja dan dikutipnya pucuk-pucuk muda dari kebun untuk diberikan pada Nurulsham.

Pucuk-pucuk kayu yang dibawanya semuanya menarik-menarik belaka. Asyik betul Nurulsham dengar penerangan beliau tentang khasiat setiap sayur-sayuran tersebut.

1. Beluntas
2. Selasih
3. Belalai gajah
4. Kemangin

1.  Bunga kantan
2. Pegaga   Gajah
3.  Belalai gajah
4.  Ceri Barbador
5. Selasih  
6.  Ulam Raja
7.  Kemangin
8. Pucuk Limau Purut
9.  Cili Padi/ Cabai Melaka
10. Ulam Raja
11.  Kemangin
12.Selasih
13. Bayam Pasir/kampung

Berikut Nurulsham senaraikan ilmu tentang ulam herba yang Nurulsham dapat dari Puan Mimi.


  • Belalai Gajah - mencegah kanser (namun tidak disyorkan pada orang yang sudah terkena kanser). Daun Belalai gajah ini sangat sedap dibuat goreng tumis dengan ikan bilis dan bawang putih. Nurulsham dah buat. Sedap sangat.
  • Selasih-  melancarkan darah. Dimakan begitu sahaja dengan sambal.
  • Kemangin- mewangikan peluh, Boleh juga dibuat ubat lelah dengan cara mengupar dan menyapunya di dada, baik untuk tenaga dalaman lelaki
  • Ceri Barbados- sangat masam. Kaya dengan vitamin C.
  • Ulam Raja- Mencuci darah dan menguatkan tulang
  • Pegaga Gajah - membaiki dalaman wanita, mencantikkan kulit dan amat baik untuk otak. Waktu kecil-kecil dahulu bapak Nurulsham akan rebus daun pegaga dengan akarnya dan bagi kami minum airnya untuk kecerdasan.
Setakat ini sahaja info yang Nurulsham ada. Selamat makan ulam-ulaman dan semoga anda semua awet muda selalu.

Saturday, 20 May 2017

CENDOL SAGU YANG MENYEJUKKAN BADAN

Kebetulan hari ini suami Nurulsham bawa balik tiga pokok pandan yang besar-besar dari tempat kerjanya. Ada kerja melupuskan hutan pandan di sana, dan sayang pula rasanya dibiarkan daun pandan terbuang begitu sahaja.

Nurulsham teringat nak buat cendol sagu, apa lagi sekarang musim panas dan hampir bulan puasa pula. Cendol sagu Nurulsham ini sebenarnya cendol biasa ditambah dengan sagu yang dimasak pekat seperti kuih sagu, namun dicedok(bukan dipotong) dan ditambah ke dalam cendol biasa tadi.

Inilah kali kedua Nurulsham buat cendol asas. Yang kali pertama buat, cendolnya kurang cantik. Kali ni Alhamdulillah... tekstur cendolnya lebih licin, kental dan sedap dimakan.

Untuk resepi cendol asas bolehlah klik  resepi cendol.

Untuk resepi cendol sagu ini, ianya sama sahaja cuma Nurulsham tambahkan sagu pula menggantikan pulut dan kacang merah. Cendol sagu ini sangat baik untuk kesihatan kerana ia menyejukkan badan.

Tok Anum dahulu rajinlah buat cendol sagu ini pada bulan puasa. Kalau ada yang kena demam dan batuk pun, Tok Anum akan buatkan juga untuk kurangkan panas dalam badan.

Oleh kerana Nurulsham guna banyak daun pandan (12
helai yang besar-besar), cendol hari ini hijau cantik
tanpa pewarna tambahan.



Kacau adunan cendol anda hingga likat dan agak berkilat. (lihat video)

Menggunakan penapis, tenyeh cendol ke dalam air berais
(resepi penuh klik link  resepi cendol.)

Bahan-bahan untuk sagu pula:
  1. 1 cawan sagu (direndam dan ditoskan)
  2. 2 1/2 cawan air

Bahan-bahan kuah:
  1.  Air gula merah
  2. Santan sederhana pekat (campur sedikit garam dan kukus)
  3. Cendol (tidak wajib)
  4. Ais secukupnya

Cara-caranya untuk masakkan sagu:
  1. Sagu dibersihkan dan dimasak dengan air menggunakan api sederhana.
  2. Sentiasa kacau supaya sagu tidak berkerak dan nampak jernih cantik.
  3. Masak sehingga tidak tertinggal butir putih sagu (semua jadi jernih)
  4. Tuang dalam loyang atau acuan dan sejukkan untuk keraskan sedikit.
  5. Siapkan air gula merah. Masukkan air gula merah dalam mangkuk, kemudian cedok sagu yang telah dikeraskan tadi menggunakan sudu
  6. Masukkan santan dan cendol (jika ada) dan masukkan ketul ais
  7. Sedia untuk dinikmati di hari yang panas.


Cendol dicampur dengan sanrtan dan sedikit garam.  Sagu
 pula diambil secawan dan dimasak dengan 2 1/2
cawan air pada api sederhana, kemudian disejukkan
 dalam bekas sebelum dicedok.

Selamat mencuba!

Thursday, 18 May 2017

BAYAM GORENG TEPUNG RANGUP

Bayam goreng tepung yang sangat rangup dan sedap.
Anda pernah tak beli bayam goreng tepung di pasaran. Kalau anda pergi ke Kundasang di Sabah, inilah kudapan yang dijual di dalam peket di serata gerai. Betul tak? Mungkin sebab daun bayam di sana gemuk-gemuk dan lebar, jadi mudahlah dibuat goreng celup tepung ini.

Hari ini Nurulsham balik kampung dan sama-sama mengutip ulam-ulaman di sekitar rumah mak Nurulsham iaitu Tok Anum.  Dapatlah Nurulsham ulam putat, daun janggus, daun bayam dan cili padi. Tok Anum hendak beri Nurulsham daun bebuas dan mulberi tapi Nurulsham rasa hasil kutipan hari ini sudah lebih dari mencukupi. Dah seraga penuh pun... .

Daun janggus, putat, bayam dan cili api
(cili api tak nampak dlm gambar)
Lalu bermulalah proses nak buat bayam celup tepung ni.  Daun bayam dibasuh selawat terlebih dahulu.

Nurulsham gunakan tepung beras sahaja. Boleh juga campurkan tepung jagung kalau mahu bayam anda lembut sedikit. Tepung beras membuatkan bayam anda rangup dan agak keras tapi tahan lama.

Tambahkan serbuk cili, garam, kunyit dan secalit kapur makan. 

Kemudian bancuh adunan ini dengan sedikit air sehingga dapat bancuhan sederhana pekat.  Sementara itu panaskan minyak dalam kuali.


Celupkan daun bayam dalam bancuhan tepung, kemudian goreng dalam minyak sehingga kekuningan.


Toskan minyak. Sejukkan bayam goreng celup anda kemudian bolehlah disimpan dalam bekas kedap udara.

Selamat mencuba!


Wednesday, 17 May 2017

CATATAN PUASA SAYUR NURULSHAM HARI KE-3

Atas permintaan seorang sahabat Nurulsham yang mengalami sakit kencing manis dan darah tinggi, Nurulsham kongsikan apa yang telah Nurulsham makan sepanjang 3 hari berpuasa sayur ini.

Oh ya! Anda tentu hairan kenapalah Nurulsham bersusah payah hendak berpuasa ala vegetarian pula, sedangkan tiada disebut hal ini dalam Al Quran dan hadis. Sebenarnya Nurulsham buat puasa sayur ini yang dicadangkan untuk tempoh 2 minggu sahaja, bertujuan untuk memberi kerehatan pada buah pinggang dari terpaksa bekerja keras memproses protin dari daging, ayam dan lauk-pauk yang lain.

Nurulsham selalu mengalami masalah bengkak tumit bila makan daging. Masalah ini telah 15 tahun Nurulsham hadapi. Setiap kali makan daging, esoknya Nurulsham sukar berjalan.  Pernah Nurulsham berpantang makan daging hingga setahun kerana tidak tahan akan kesan sakit tumit tersebut. Setelah berpantang, Nurulsham pergi ke hospital untuk memeriksa tahap asid urik dalam darah dan Nurulsham didapati normal.

Dari sinilah Nurulsham belajar tentang puasa sayur ini.  Ada saudara mara yang berkongsi masalah mereka dan bagaimana puasa sayur telah membantu dengan izin Allah supaya kesakitan mereka berkurang.

Perlulah diingatkan ini semua berdasarkan kesesuaian juga. Ada saudara Nurulsham yang semakin sembuh dari kencing manis bila berpuasa sayur, namun ada juga yang tidak berkesan walaupun berpuasa lama. Semua ini dengan izin Allah jua.

Okaylah, jom lihat jadual diet Nurulsham.

Hari 1

Sambal soya (soya direbus kemudian dibuat sambal) + tauhu
 goreng+bawang goreng+kentang goreng

Cendawan goreng tepung 

Buah putat dan sayur kangkung mentah

Pengalaman Hari pertama Nurulsham, Nurulsham jadi kemaruk makan. Nasi makan hingga 3 pinggan sekali makan.  Rupa-rupanya, kalau tak makan lauk, memang tenaga seperti tiada. Suami Nurulsham yang berpuasa putih juga jadi letih, menurutnya.

Hari ke 2

Nasi dimakan dengan sayur-sayuran juga, ditambah sambal soya semalam.

Oleh kerana badan suami agak lemah, Nurulsham siapkan bubur kacang kurang santan. Suatu masa dahulu sewaktu arwah bapa Nurulsham masih hidup, beliau mengamalkan makan kacang hijau rebus bersama nasi untuk menguatkan lutut beliau. 



Barulah suami Nurulsham nampak kuat sedikit, Alhamdulillah. Kacang hijau mengandungi sumber protin yang banyak dan sangat sesuai untuk menguatkan betis dan lutut. Nurulsham sendiri rasa kuat sedikit walaupun pada mulanya betis rasa kejang setelah makan bubur kacang hijau ini. Nurulsham berurut sedikit dan bertungku, dan kemudian Nurulsham sudah boleh berjalan dengan selesa.

Malam ke 2 berpuasa sayur, Nurulsham rebus lagi kacang hijau supaya suami dapat makan pagi esok sebelum pergi kerja.  Ada yang Nurulsham masukkan dalam plastik dan bungkus seperti aiskrim Malaysia, tujuannya jika kami sudah jemu makan kacang hijau ini ala-ala bubur, kami boleh makan ala aiskrim pula!


Syukurlah, anak-anak pun suka. Apabila ia jadi dalam bentuk frozen begini, Nurulsham sudah ada bekalan untuk dua hari.  Jadi Nurulsham tidak perlu lagi merebus kacang hijau untuk hari ke 3.

Hari ke -3



Untuk hari ke 3, Nurulsham buat air soya sebagai minuman berprotin, dan juga buat tauhu telur. Untuk tauhu telur ini, Nurulsham harus masukkan 3 biji telur ke dalam 3 cawan air soya. Jadi pada hari ke -3  Nurulsham puasa sayur, Nuruslham ada mengambil sedikit telur sebagai makanan berprotin.

Dengan makan makanan dari kekacang, kami tidaklah terasa kemaruk sangat hendak makan nasi dan lauk. Badan pun rasa kuat sedikit dan mata Nurulsham yang kerap kabur, rasa agak jelas sedikit hari ini.

Kesan dari berpuasa sayur 3 hari ini, Nurulsham tidak berhenti berpeluh dan kulit terasa agak pejal dan kejap melebihi hari biasa.  Nurulsham bersyukur dan berhasrat untuk meneruskan puasa sayur ini sebelum Ramadhan menjelang.

Semoga bermanfaat ya. Wassalam.

Tuesday, 16 May 2017

CENDAWAN GORENG ALA ORANG BERNIAGA (BOLEH DIFROZENKAN SEHINGGA SEBULAN)


Cendawan goreng popcon kali ini agak berminyak sebab tidak dimasukkan telur
dalam adunan tepungnya. Jadi tepung agak menyerap minyak. Jika anda mahu
ia tak berminyak, jangan lupa gaul telur pada cendawan.

Assalamualaikum dan salam sejahtera sahabat Nurulsham semua.

Minggu ini selama dua minggu Nurulsham dan suami berpuasa ala vegetarian. Suami buat puasa putih manakala Nurulsham buat puasa sayur. Apa agaknya beza puasa putih dan puasa sayur ya?  

Puasa putih bermaksud tidak mengambil makanan daging merah seperti daging lembu, kerbau dan kambing, sementara yang lain boleh dimakan. Orang berpuasa putih ini juga biasanya tidak mengambil udang, ikan dsbnya dan hanya mengambil susu dan telur sahaja dari sumber berdarah.

Puasa sayur pula bermaksud tidak mengambil apa-apa makanan berasaskan darah seperti daging, ikan, ayam termasuk susu dan telur ayam. Setahu Nurulsham inilah yang dipanggil vegan.

Sumber protin bagi pengamal puasa sebegini biasanya diambil dari kekacang seperti kacang soya, kacau hijau, kacang dhal dan sebagainya.

Tentu anda tertanya-tanya mengapa kami mengamalkan puasa ala vegetarian ini. Sebenarnya suami Nurulsham kebelakangan ini berasa kurang sihat. Beliau memang ada masalah buah pinggang dan kencing manis. Atas nasihat beberapa orang saudara yang pernah mengamalkan puasa ala vegetarian ini selama sebulan, kandungan gula dalam darah dapat distabilkan dan buah pinggang juga dapat berehat kerana tidak perlu teruk memproses protin yang memang banyak dalam lauk pauk terutamanya daging haiwan berkaki empat.

Amalan puasa vegetarian ini juga ada dibuat oleh pengamal-pengamal tarekat dalam usaha mendekatkan hati dengan Sang Pencipta. Amalan makan makanan ala vegetarian ini dapat melembutkan hati. Malahan, pernah diamalkan di Eropah dan Amerika Syarikat zaman dahulu, hamba abdi tidak diberi makan daging kerana khuatir mereka jadi keras hati dan melawan tuannya.

Jadi, anda tidak perlulah rasa wajib mengamalkannya. Ini hanyalah pilihan untuk pesakit dan pengamal rohani. Siapa yang nak cuba dan rasai manfaatnya, silalah amalkan seminggu dua.

Baiklah, eloklah kita teruskan pada bahan-bahan untuk resepi kali ini.

  1. Cendawan tiram 5 pokok
  2. Tepung jagung 1 senduk (boleh dilebihkan jika anda mahu seluruh cendawan berpalut dengan tepung)
  3. Tepung suji 3 sudu
  4. Jintan manis direndam untuk dilembutkan dan ditumbuk halus
  5. Sedikit kunyit, serbuk cili dan garam
  6. Sebiji telur (bagi pengamal puasa sayur, jangan masukkan telur)
Cara-caranya:



1. Koyak-koyakkan cendawan dan basuh kemudian toskan
sehingga kering

2. Taburkan tepung suji ke atas cendawan. Tepung suji agak
kasar dan berbiji. Ia dibuat dari jagung dan sedap rasanya.

3. Gaulkan cendawan dalam bancuhan telur, Kemudian
 masukkan cendawan+telur in i kedalam bekas bertutup.
(pengamal puasa sayur jangan masukkan telur)

3.1.  Tuangkan bahan-bahan lain ke dalam bekas dan tutup bekas.
Kemudian goncang-goncangkan bekas sehingga semua bahan
sebati dan rata di sekeliling cendawan


4. Panaskan api dan goreng cendawan sehingga warnanya
keperang-perangn. Setelah itu boleh kaut keluar cendawan
goreng ini dan letak dalam penapis untuk keluarkan minyak.

4.1-  Jika anda hendak buat cendawan frozen, anda hanya perlu
goreng separuh masak sahaja, tapis dan sejukkan kemudian
simpan dalam bekas bertutup di dalam peti sejuk beku.

Nota- Nuruulsham pernah usahakan tanaman cendawan
dan goreng 5 kg cendawan frozen sehari.


5.  Cendawan yang siap digoreng bolehlah dimakan dengan
nasi, tempe goreng sambal, ulam-ulaman dan kekacang.
Anda akan berasa badan agak ringan setelah
seminggu mengamalkan puasa sayur ini

Selamat mencuba!

Jom lawat projek penanaman cendawan Nurulsham. Projek ini dijalankan pada tahun 2014 dengan membuat bangsal kayu berdindingkan dawai mata punai dan plastik hitam (berlubang). Cendawan sangat mahukan suhu gelap dan kelembapan yang tinggi.


Kami perlu menjirus bumbung bangsal 2 kali sehari, menanam tumbuhan sejuk di sekeliling bangsal seperti pokok pisang, dan sentiasa menyembur sabun antikulat ke lantai dan dinding bangsal.
 Cendawan ini akan menbesar dengan cepat iaitu dalam masa 2 jam ia telah berkembang dengan cantik.
 Ada kalanya, ia sekecil C (gambar di bawah) pada awal pagi, namun petangnya ia mula berkembang dan cepat layu jika tidak dipetik.
Projek ini sungguh menyeronokkan. Nurulsham mencari peluang lagi untuk menanam cendawan secara kecil-kecilan di rumah, In shaa Allah.

Bye semua!