Terbaru- Mee tarik cara paling mudah!

Showing posts with label TEKNOLOGI PROTIN. Show all posts
Showing posts with label TEKNOLOGI PROTIN. Show all posts

Thursday, 11 May 2017

JELI KELAPA BERKRIM ALA RESTORAN THAI

Jeli kelapa berkrim ala Restoran Thai
Pertama kali Nurulsham bertemu hidangan yang sedap ini adalah sewaktu kami sekeluarga pergi ke Hadnyai kira-kita 13 tahun yang lalu.  Jeli kelapa ini sangat special kerana diletakkan dalam buah kelapa, dan dijual dengan harga RM5.00 sebiji. Di bahagian atasnya, diletakkan krim dari santan kelapa yang sangat lemak dan sedap.

Balik dari sana, Nurulsham cuba buat tapi tak pernah jadi. Kemudiannya, adik Nurulsham pula berkecimpung dalam pembuatan jeli kelapa lalu memberitahu, Nurulsham harus gunakan jeli Konnyaku jika mahu jeli kelapa ini jadi bergedik-gedik teksturnya. Jika menggunakan agar-agar biasa, teksturnya lebih brittle, atau mudah pecah dan rapuh.

Jeli Konnyaku lebih kenyal teksturnya.
Bagi anda yang menjaga  pengambilan makanan secara halalan toyyiba, bolehlah selidik lagi ya. Apa yang Nurulsham tahu, Jeli konnyaku bukanlah gelatin, sebaliknya ia berasal juga dari keluarga jagung atau rumput yang dikenali sebagai konjak (sila klik untuk rujukan).  Ia menghasilkan sejenis tepung berkanji ala gelatin, sebagai bahan ganti bagi ramai pengamal vegan (orang yang tidak makan makanan dari sumber berdarah).

Jeli konjak diambil dari ubi keladi konjak

Tumbuhan keladi yang dikenali dengan nama konjak


Gelatin pula diambil dari dua sumber, iaitu dari dalam tulang sum-sum atau dari kulit khinzir. Jadi anda harus selidik lagi jika sesuatu bahan itu mengandungi gelatin. Dewasa ini ada sumber gelatin dari tulang lembu yang disembelih, namun Nurulsham tidak tahu adakah harganya kompetetif dengan gelatin tidak halal.

Baik, jom kita teruskan pada resepi kita.  Bahan-bahannya ialah:


  1. 300-500 ml  air dan isi lembut dari sebiji kelapa muda
  2. Air sejuk  ditambah sehingga campuran air dan air kelapa menjadi 1500 ml (1 botol air mineral besar)
  3. Sehelai daun pandan
  4. 1-2 senduk gula (Ingat, dalam peket Konnyaku jeli sudah ada gula ya!)
  5. Separuh peket Konnyaku Jeli 


Air + isi kelapa + air sejuk + daun pandan = 1500 ml
Untuk krim di atas jeli kelapa
  1. Santan pekat RM2.00
  2. Sedikit garam
  3. Gula pasir 1 sudu (jangan lebih kerana krim santan akan jadi berat)

Santan segar untuk krim atas jeli
Cara-caranya:

1. Dalam satu periuk bersih, masukkan campuran air kelapa(1500 ml) bersama
jeli konnyaku dan gula. Pasang api sederhana dan kacau bancuhan anda
dengan kerap sehingga mendidih.

2. Sila lihat jika jeli sudah cukup sesuai untuk dikeraskan.
Caranya, ambil sudu logam dan ceduk cecair jeli anda.
Biarkan seketika dalam peti sejuk. Kemudian periksa
adakah ia berubah menjadi pepejal.

2.1.  Jika ya, jeli anda sudah sedia untuk dibekukan.

3. Siapkan bekas untuk anda tuang jeli yang baru mendidih
tadi. Nurulsham siapkan kelapa muda yang Nurulsham
dah ambil air dan isinya, juga beberapa cawan
plastik untuk menyimpan jeli


4. Tuangkan dalam bekas yang bersesuaian sehingga
hampir atau 3/4 penuh

5.  Krim santan pekat, garam dan gula ditimbuk hingga ringan.

5.1.  Tuangkan 1 sudu atau secukupnya di atas jeli anda            

5.2.  Anda akan lihat krim santan tenggelam seketika ke dasar jeli,
kemudian ia akan timbul ke permukaan jeli semula
kerana ketumpatannya  yang rendah


6. Sejukkan seketika di suhu  luar, kemudian barulah
dimasukkan dalam peti ais untuk mendapatkan suhu dingin
yang segar untuk jeli anda
6.1  Cantik kan?
Jeli anda sedia untuk dinikmati!

Sedapnyaaaa....!

Selamat mencuba!

Mencari yang halal itu adalah wajib.

Wednesday, 12 April 2017

HOMEMADE FISHBALL/BEBOLA IKAN ALA NURULSHAM

Inilah sup sayur dengan homemade fishball
Nurulsham. Sedap sangat walaupun rupanya
tak cantik.



Assalamualaikum dan salam sejahtera sahabat Nurulsham.

Pagi ni Nurulsham beli ikan kembung sekati (600 gram). Kebetulan nak buat asam pedas... lepas tu tengok dalam peti ais ada sayur sawi putih.

Nurulsham fikir-fikir, sedap juga kalau ambil sawi putih buat sayur air, tapi nak kawan dengan apa ya sawi ni. Ikan bilis tak ada, udang pun tak ada.

Akhirnya Nurulsham dapat idea nak buat fishball untuk digandingkan dengan sayur air ni.  Sedap juga kan?

Nurulsham pernah buat fishball pakai berbagai jenis ikan. Dari ikan kembung, tenggiri, kerapu, gelama, talapia hinggalah ke ikan sepat.

Haha.... mengapalah agaknya boleh jadi begitu ya? Sebabnya, ada kalanya suami Nurulsham pergi mengail dan bawa balik banyak sangat ikan-ikan ni. Bila terlalu banyak, ada yang Nurulsham buat ikan kering, dan ada juga yang jadi fillet dan fishball.

Ada ikan yang kurang sesuai juga untuk dijadikan fishball. Contohnya, ikan talapia. Ikan ni terlalu lemak, jadi fishball dari talapia tidak kental dan mudah pecah bila direbus.  Paling cantik ialah ikan tenggiri. Fishball yang terhasil sangat sedap, kental, putih dan halus teksturnya. Tapi ikan tenggiri mahallah pula!

Jom kita lihat cara-caranya.


Asingkan isi ikan dari tulang.

Kikis isi ikan kembung menggunakan belakang mata pisau, untuk memisahkan isi ikan dari kulitnya.


Campurkan sedikit tepung jagung dan garam pada isi ikan.






Kisar campuran isi ikan menggunakan blender kering.


Sekarang anda harus uli sekejap isi ikan supaya ia mengental. Caranya, dapatkan satu mangkuk untuk menguli. Sambil menguli, anda harus kaut isi ikan dan lempar semula dalam mangkuk. Buat beberapa ketika sehingga isi ikan mula rasa kental. Apa yang berlaku ialah, protin dalam isi ikan mula mengikat antara satu sama lain dan menjadi rantaian yang kuat (seperti gluten dalam roti).


Sediakan air sejuk dicampur dengan sedikit garam dan ais.


Masukkan adunan dalam ganggaman tangan, dan picit keluar isi ikan seperti dalam gambar foto di atas. Waktu ini ikan telah membentuk bebola. Potong bebola ikan keluar dengan sudu (dalam gambar Nurulsham guna pisau... jangan ikut, bahaya) dan masukkan ke dalam air ais.


Simpan seketika, air ais akan mengentalkan lagi tekstur bebola ikan.  Selepas ini, bebola ikan ini sedia untuk dimasak dengan sayur air.


Update 10.30 mlm 12 April

Nur Shana Zaitun kak Nurolshamsi..tepung ubi dan tepung jagung..yg mna lebih baik?
UnlikeReply15 mins
Nurolshamshi Saidin Pendapat akak, lagi ok tepung ubi
LikeReply4 mins
Nurolshamshi Saidin Hari ni akak takde tepung ubi... sebab tu pakai tepung jagung
LikeReply3 mins
Nur Shana Zaitun owhh.ok.ok..tq ah kak 
UnlikeReply12 mins



Sekiranya anda mahu membuat bebola ikan sedara industri, Nurulsham cadangkan anda ikut kursus yang ditawarkan seperti di atas.  Dalam kursus ini, anda akan diajar menggunakan bahan penambah untuk mengentalkan bebola ikan anda. Setelah anda ada basic, anda akan diajar membuat isi ikan kental  untuk yong tau fu.

Jika cara tradisional, anda harus guna air garam berais, cara komersil pula, anda gunakan air suam. Kursus begini ada dijalankan di kolej komuniti di kawasan anda.  Nurulsham sendiri belajar dari Kolej Komuniti Kepala Batas di mana adik Nurulsham (Puan Fatimah) merupakan salah seorang tenaga pengajar di sana.

Dipersilakan menonton video di bawah untuk melihat produk fishball tradisonal yang dibuat oleh orang cina.

Bye semua!

Tuesday, 11 April 2017

AGAR-AGAR KEMENYAN RESEPI ZAMAN DULU-DULU

Ini adalah gambar hiasan diambil dari blog azian collection.

Pernah tak dengar nama kuih agar-agar kemenyan?  Orang-orang muda tentu tak pernah dengar kan? Kuih ni terkenal betul zaman Nurulsham kanak-kanak dahulu. Orang-orang tua suka buat, sebab rasanya sedap sangat.  Nak buat agar-agar ni pun tak sukar. Barang-barangnya pun tak mahal.


Masa Nurulsham bertunang dulu, kuih inilah yang jadi hantaran dari kami kepada pihak lelaki. Orang zaman dahulu bertunang simple je. Hantaran kuih-muih letak dalam pinggan sahaja. Tak perlu hias itu ini.

Yang kelakar tu, hari kenduri kahwin pun, pengantin bajunya warna lain-lain. Maklumlah zaman tu belum ada telefon.  Tak dapat nak bincang warna baju. Haha!

Seperti biasa... sukalah sangat terkeluar tajuk... ☺

Oklah, jom tengok bahan-bahan ye.

Bahan-bahan A:

  1. agar-agar 1/3 bungkus (kira-kira 5-7 g bagi bungkus 20 g)
  2. secawan  santan pekat
  3. secawan air
  4. Secubit dua garam



Dari kiri-  Agar-agar yang telah dibasuh, santan, agar-agar kering (20 gram)

Cara-cara:




Masukkan agar-agar, sedikit garam dan santan ke dalam periuk kecil. Tambahkan air sedikit demi sedikit sehingga agar-agar hapus (bahasa utara) ataupun sehingga paras cecair tinggi sedikit dari paras agar-agar. Lebih kurang secawan air juga. Boleh tambah air sedikit lagi jika anda nampak masih banyak agar-agar yang timbul ya.

 (jangan marah saya... ini cara ukuran tok nenek kita zaman dahulu. Tak pakai cm dan ml)





Hidupkan api.  Kacau agar-agar anda sehingga larut.  Masak lagi sehingga mendidih.





Ambil sedikit agar-agar santan yang menggelegak tadi dan titiskan di atas tudung periuk logam.  Hembus untuk sejukkan. 

Ini adalah cara orang dahulu untuk memeriksa samada agar-agar anda sudah sedia disejukkan. Jika titisan agar-agar tadi mengeras seperti agar-agar biasa, maka agar-agar sudah sedia. Jika titisan itu tidak beku, sebaliknya hancur bila dipegang atau ditekan, maka anda harus biarkan agar-agar di tungku dapur anda menggelegak lagi sehingga airnya tersejat sedikit.



Tapis agar-agar santan anda dalam bekas dan sejukkan.


Setelah agar-agar beku, potong agar-agar anda berbentuk kiub.

Lihat agar-agar kiub dalam pinggan putih

Bahan-bahan B:


  1. 2/3 bungkus agar-agar (dari bungkusan 20 g)
  2. 1 ketul gula kabung atau secawan gula merah
  3. 4 cawan air 
  4. Gula secukupnya (jika masih kurang manis)
  5. Daun pandan
Gula kabung



Cara-caranya:



Masak air dengan gula dan daun pandan sehingga gula hancur. Tapis untuk buang kotoran.


Masukkan agar-agar dalam air gula, dan lihat adakah gula hapus ataupun tinggi sedikit dari agar-agar. Jika tidak tambahkan air sedikit lagi.

Jika terlebih pula sila kurangkan.


Masak agar-agar gula pula dengan api sederhana sehingga hancur.


Periksa tahap masak/kesediaan agar-agar gula menggunakan cara tadi iaitu dengan menitiskan sedikit agar-agar anda atas tudung periuk logam untuk melihat kekentalannya.


Tapis agar-agar gula anda dalam bekas atau loyang.



Masukkan agar-agar santan kiub ke dalam agar-agar gula. Sejukkan seketika, kemudian simpan dalam peti ais untuk mengeraskannya.

Potong kecil-kecil dan hidangkan pada hari panas. Hm... sedapnya... .

Masa Nurulsham buat berniaga bulan puasa dulu, ramai mak cik-makcik dan nenek-nenek yang beli agar-agar ni. Mereka siap tanya lagi, "Mana hang belajaq buat agaq-agaq ni... ."

Hahaha!

Bye semua!

Saturday, 11 March 2017

BUAT ROTI BURGER DAN PATTY SENDIRI (BAHAGIAN 2)

Jom kita sambung semula, resepi buat burger sendiri... dari roti hinggalah daging atau patty nya. Sebenarnya, boleh sahaja beli roti burger dan daging yang sudah siap dijual di pasaraya. Tapi, kali ini anggaplah kita nak adventure sedikit... buat sesuatu yang lain sedikit dari selalu....he he... . Kalau jadi, memang seronok kan? Kalau tak jadi, jangan lemah semangat. Cuba lagi.

Sebenarnya, ada banyak resepi patty yang anda boleh cari melalui blog dan sebagainya. Nurulsham pun belajar dari blog dan you tube. Tetapi, sebab Nurulsham buat untuk berniaga... dan kerja ini  menjadi rutin, maka lama kelamaan Nurulsham diberi ilham oleh Allah tentang cara yang paling cepat dan paling sesuai dengan permintaan.

Yang penting bahan asasnya, yang selalu Nurulsham guna waktu berniaga, iaitu daging atau ayam, sedikit tepung jagung atau tepung gandum sebagai pelekat, sedikit telur sebagai pelembut dan pelembap, sedikit garam, bawang besar... untuk rasa dan juga untuk pelembap. Pandai-pandailah anda variasikan sukatannya, ya.... jangan sampai terlebih lembap kerana terlebih telur dan bawang atau terlebih keras kerana terlebih tepung. Yang lain tu, adalah rempah-rempah dan cili untuk perasa. Yang ni Nurulsham akan selalu ubah ikut permintaan pelanggan. Ada kalanya Nurulsham tambahkan oregano... ikut suka hatilah...   maklumlah, hidup ni kan kena ada adventure sikit kan... 😊

Kemudian, apa yang Nurulsham buat, ialah masukkan bahan-bahan ke dalam blender kering, lalu bahan tadi akan dikisar sehingga hancur dan melekat sesamanya.

Anda harus faham, daging terutamanya daging lembu, mempunyai protin yang tinggi. Apabila dikisar secukupnya, protin tadi akan membentuk rantaian yang panjang dan kuat sesamanya, lalu daging hancur itu akan melekat-lekat. Sebab itu, jika anda terlebih masukkan bawang dan telur, daging anda akan kurang melekat, lalu anda terpaksa tambah lebih tepung untuk melekatkannya semula.

Tapi kalau hanya semata-mata daging (dan garam)  tanpa bahan-bahan lain, daging anda akan menjadi sangat kuat melekat antaranya, dan anda sebenarnya sudah berjaya membuat bebola daging yang biasa dibuat oleh orang-orang cina. Jika diganti dengan ikan, maka jadilah bebola ikan (untuk membuat bebola ikan atau daging, cuba lihat di you tube untuk teknik menguli).

Okay... sambung resepi patty. Maaf Nurulsham telah terkeluar tajuk sekejap 😀.

Adunan yang telah siap dikisar, anda bulat-bulatkan mengikut saiz patty yang anda mahu untuk  roti anda. Kemudian, barulah anda leperkan. Oleh kerana adunan anda cukup melekit antaranya, Nurulsham ada satu teknik yang Nurulsham gunakan sewaktu berniaga. Ini rahsia Nurulsham tau... tapi hari ni dah bocorlah nampaknya...haha.

Anda cuba dapatkan plastik nipis yang selalu peniaga nasi lemak gunakan tu, yang dilapik dengan kertas surat khabar tu lah... . Anda letakkan bola daging (yang dibulat-bulatkan tadi)  di atas plastik, dan lapik satu lagi plastik di atas bebola. Dapatkan satu piring, lalu anda tekan di bahagian atas plastik sehinggalah adunan menjadi leper membentuk patty.

Jangan tarik keluar plastik pelapik itu, kerana khuatir patty anda akan patah atau terkoyak. Sebaliknya, anda terus masukkan patty beserta pelapik plastik tadi ke dalam freezer. Apabila patty tadi telah keras sedikit, barulah anda tarik keluar pelapiknya, dan patty tadi  sesuai untuk digoreng. Patty yang berpelapik ini boleh disimpan lama dalam freezer.

Nurulsham pernah buat stok untuk berniaga seminggu, dan bila hendak gunakan, Nurulsham akan nyahbekukan. Jika anda hendak sejukbekukan, pastikan bawang dimasukkan dalam kuantiti yang sedikit sahaja. Bawang adalah dari keluarga sayuran, jadi ia mempunyai lompang air yang banyak, yang akan menjadi kristal sewaktu disejukbekukan.... dan kristal ini apabila cair, dia akan meninggalkan banyak rongga berair pada patty anda lalu patty anda akan hancur.

Patty anda harus digoreng dengan sedikit mentega, dan anda akan lihat ia akan mengecut sedikit.  Setelah siap masak, bolehlah anda siapkan burger anda mengikut selera anda.

Selamat mencuba. Enjoy!

Nota- Maaf Nurulsham memang kadang-kadang rasa terpaksa berhenti cepat-cepat kerana tangan mudah kejang.