Terbaru- Mee tarik cara paling mudah!

Showing posts with label SEDIKIT PANDANGAN. Show all posts
Showing posts with label SEDIKIT PANDANGAN. Show all posts

Thursday, 11 May 2017

APA YANG HARUS ANDA LAKUKAN JIKA MENDAPATI SUAMI ANDA BERHUBUNGAN DENGAN WANITA LAIN

Sebagai wanita, tidak dinafikan di dalam fikirannya tentu pernah terdetik andai suaminya ada hati terhadap wanita lain. Apa lagi tatkala umur semakin menginjak naik dan penampilan diri mula merosot. Dalam budaya orang Melayu, perkara ini lebih lagi ditakuti kerana orang lelakinya dibolehkan berkahwin lebih dari satu.

Wahai wanita sahabat Nurulsham semua. Kita adalah sama. Nurulsham juga ada berfikir sedemikian. Apa lagi suami merupakan seorang yang rajin bersosial, berpesatuan dan kuat bersukan. Orangnya jenis yang popular sewaktu di sekolah pula, dan ramai wanita yang memang sukakan beliau sejak dari dahulu lagi.

Ketahuilah sahabat-sahabatku, perasaan ini akan makin kuat jika kita wanita mempunyai rasa rendah diri yang banyak. Contohnya, jika kita merasa diri kita tidak cantik, kurang berpelajaran, tiada ramai kenalan, tiada bakat... maka perasaan kita makin mudah retak. Ini dinamakan sebagai inferiority complex, dalaman menjadi tidak kuat kerana luaran kita yang tidak sebaik orang lain.

Perasaan rendah diri ini semakin mengawal kita jika kita pula mengalami penyakit yang sukar sembuh sehingga kecantikan semakin merosot.

Oh ya, pokok kepada penulisan Nurulsham hari ini adalah tentang tindakan yang perlu diambil wanita jika mendapati suami tercinta ada berhubungan rapat dengan wanita lain.  Memang tidak dinafikan, perkara ini akan mengundang kesedihan, bukan... ?  Tentu perkara pertama yang keluar di fikiran kita ialah, berapa seriuskah hubungan mereka.

Wahai sahabat wanita Nurulsham,  jika anda berada di situasi ini... tariklah nafas sedalam-dalamnya dan banyaklah mengingati Allah. Kawallah pemikiranmu terlebih dahulu. Maksud Nurulsham... tak apa, tidak salah menangis dan mencucurkan air matamu, namun pemikiranmu harus kau susun satu-persatu... harus fokus!

Mulakan dengan bertanya, siapakah wanita itu, dan siasatlah terlebih dahulu.  Kita wanita moden yang punya banyak sumber di sekeliling untuk menyelidik, maka selidiklah dengan berhati-hati. Jangan sesekali membiarkan emosi mengawal fikiran lalu kita mula mengherdik da menuduh tanpa usul periksa. Jangan... .

Bagi Nurulsham, perkara pertama yang harus dilakukan adalah cuba mencari maklumat tentang wanita tersebut. Kalau boleh, dapatkan cara untuk menghubungi beliau. Siasatlah bagaimana sikapnya. Adakah beliau seorang yang baik. Adakah beliau sudah berkahwin dan punya anak-anak. Apakah yang mendorong beliau rapat dengan suami kita. Adakah suami kita istimewa pada beliau, atau sekadar sahabat untuk bertukar fikiran tatkala masalah melanda.

Kenapa Nurulsham menulis sedemikian. Ada kalanya, sesuatu masalah itu, wanita tidak dapat bertanya pada wanita. Lebih baik mereka bertanya pada lelaki. Nurulsham sendiri pernah merujuk pada seorang sahabat lelaki tentang masalah suami, kerana bila Nurulsham merujuk pada wanita, jawapannya amat berat sebelah dan membawa kepada pemikiran negatif.  Syukurlah, setelah mendapat pandangan dari sahabat lelaki Nurulsham itu, kasih sayang Nurulsham makin bertambah pada suami... kerana dari sahabat lelaki inilah, baru Nurulsham faham mengapa suami Nurulsham mengambil tindakan yang sukar selama ini Nurulsham faham sebagai seorang wanita.

Pokok pangkalnya, selidiklah... .

Kemudian, cubalah cari peluang untuk berbicara dengan wanita itu. Waktu itu, anda harus betul-betul mengawal diri. Janganlah menerjah atau terus marah. Bertanyalah dengan baik dan berbincanglah. Tiba masa yang sesuai, kenalkanlah dirimu pada wanita itu. Kalau dia wanita yang baik, dia akan berbicara baik denganmu, malah ada kes-kes di mana dia akan meminta maaf padamu kerana telah menarik perhatian suamimu dari hanya memandangmu.  Kalau dia wanita yang tidak baik, anda tidak perlu mengamuk kerana itu tidak akan mengubah apa-apa. Waktu ini, tiada gunanya berbincang dengan wanita itu, sebaliknya fokus anda harus beralih pada suami anda pula... .


Pada suami juga, anda harus berbincang. Tapi, kali ini perbincangan haruslah bersyarat, dan dia harus mengikut syaratmu. Kala ini dia sudah berbuat salah, jadi dia tidak berhak mengubah tajuk cerita. Ada juga suami dari jenis yang akan mencari alasan dan sanggup berbohong. Tak perlulah anda takut dia berbohong, kerana dia hanya akan membohongi dirinya sendiri.  Yang penting syarat anda telah dia ketahui dan tidak boleh buat main-main dengannya.

Seterusnya di pihak anda, naikkanlah taraf diri dan ekonomi anda. Buatlah simpanan untuk diri sendiri.  Kepada yang berkerjaya, kerjalah bersungguh-sungguh dan capailah tempat yang selesa. Berbaik-baiklah dengan orang di sekeliling anda dan banyakkan berdoa semoga kita sentiasa bertemu orang yang boleh menjadi sahabat.

Ingatlah, hidup kita bukanlah untuk suami semata-mata. Kita tidak akan mati kerananya.  Andai kita telah melakukan segala yang terbaik semampu kita sebagai isterinya, namun dia masih juga mahu curang... kita serahkan sahaja pada Allah untuk mentakdirkan yang terbaik buatnya.  Kita masih ada anak-anak, kawan-kawan, saudara mara dalam hidup kita dan semua ini mampu memberi rasa bahagia pada kita.

Sekian dahulu dari Nurulsham. Hanya sedikit perkongsian, semoga bermanfaat.




Sunday, 7 May 2017

4 CARA UNTUK POPULARKAN BLOG ANDA

Assalamualaikum wrt wbt,

Hari ini Nurulsham nak berbincang macam professional blogger... hehe. Sebenarnya Nurulsham memang ada basic programming, tapi tentang internet ini, Nurulsham sebagai orang lama... memang terpaksa merangkak semula, belajar dari orang-orang muda. Pun begitu, dari pengalaman Nurulsham yang pernah beberapa kali buat blog dan gagal... adalah juga berbaki sedikit sebanyak pengalaman yang boleh dikongsikan dengan anda semua.

Menulis blog ini sebenarnya amat menyeronokkan bagi orang yang memang suka menulis. Memang ada orang yang lahir seperti Nurulsham ini... gila nak menulis sepanjang masa. Orang begini akan menulis diari untuk bacaan sendiri... atau menulis di blog, fb dan sebagainya.

Masalahnya, bila menulis di blog... tiadalah pula orang yang hendak membacanya. Bila buat carian di Enjin Carian Google... susah pula nak jumpa blog kita yang baru dibuat ini. Sampai muka surat 10 pun belum tentu blog kita nampak di mata umum. Itulah masalahnya.

Paling tak seronok, bila kita juga letakkan iklan dalam blog, seperti iklan Nuffnang, Adsense dan Innity, dan berharap ada pendapatan sikit dari hasil blogging kita, sambil-sambil berkongsi ilmu dengan orang ramai.  Kalau orang lain tak jumpa blog kita (tiada traffic), bagaimana nak dapat duit dari iklan yang kita masukkan?

Jadi, di sini Nurulsham senaraikan dan beri sedikit petua yang boleh anda gunakan untuk popularkan blog anda.

  1. Gunakan Google Adwords.  Google Adwords adalah satu servis yang mengiklankan blog anda di Enjin Carian. Maksudnya, blog anda akan nampak di atas dan hadapan sekali sewaktu pembaca mencari topik yang berkaitan dengan salah satu post anda. Namun, anda harus membayar. Lebih kurang RM3 kalau tak silap Nurulsham untuk dapatkan viewers yang klik blog anda. Jadi untuk cara ini, sila sediakan wang, ya.
  2. Buat pautan pada akaun Facebook anda.  Cara ini memang terbukti berkesan dan percuma. Anda hanya perlu Copy link ke blog anda dan letak di post anda dalam Facebook. Kemudian anda publickan post tersebut supaya sesiapapun boleh share post anda. Namun, anda harus ingat, biasanya post ini akan dilihat oleh rakan-rakan FB anda terlebih dahulu. Jika post anda tidak menarik, dan mereka juga rasa tak perlu nak sibuk-sibuk baca post anda kerana mereka sudah terlalu biasa dengan anda, maka ada kalanya tiada siapa pun yang akan klik link ke blog anda. Jadi, tulislah post yang menarik dan bermanfaat, ya.
  3. Tuliskan post yang boleh menjadi viral.  Ini adalah cara yang paling cepat. Namun, berhati-hatilah, ada kalanya post yang viral ini isinya kurang baik. Ingatlah, setiap yang kita catat di laman sosial ini, ada Malaikat yang akan mencatit dosa pahalanya. Janganlah menulis post yang memalukan orang atau diri sendiri, ya! Berdoalah pada Allah agar diberi ilham untuk menulis yang baik-baik dan boleh diviralkan untuk kebaikan juga. Salah satu post viral yang Nurulsham pernah jumpa adalah tentang resepi karipap viral yang di bentukkan seperti bun Brioche. Ha... kalau begini memang banyak pahalanya kerana ramai suri rumah boleh manfaatkannya dan ramailah para suami tersenyum lebar kerana dapat isteri yang rajin.
  4. Buat pautan ke grup-grup public yang ramai pengikut.  Biasanya ahli grup ini mempunyai kecenderungan untuk membaca satu-satu isu atau topik. Contohnya... grup resepi tradisi, grup isi jawatan kosong, grup nasihat suami isteri dan sebagainya. Mereka ini ada masa untuk like, klik link anda dan sebagainya. Jangan terkejut, mereka ini amat menghargai anda, malahan ada yang sanggup hantar pesanan di FB anda kerana sangat teruja dengan post anda. Mereka ini adalah orang-orang yang tidak kenal pada anda dan sangat menghargai anda sebagai penulis. Jadi, nasihat Nurulsham, tulislah yang elok-elok dan berhemah, kerana hasilnya... anda akan dapat follower yang baik-baik. Niatkanlah tulisan anda sebagai sedekah.
Sekian dahulu dari Nurulsham hari ini. Semoga bermanfaat untuk anda. Selamat mencuba!

Friday, 5 May 2017

KAYA DI MANA???

Assalamualaikum dan salam sejahtera sahabat Nurulsham semua...

Sebagai seorang ahli matematik, ada satu kira-kira yang Nurulsham tak suka buat. Memang selalu Nurulsham cuba buat ... tapi tak pernah dapat jawapan yang memuaskan hati. Bukan sahaja tak memuaskan hati, jawapan yang Nurulsham dapat mesti negatif. Jadi Nurulsham dah give up... tak mahulah buat kira-kira ini lagi. Sebab dalam bab ini, ilmu kira-kira... atau ilmu hisab... atau ilmu matematik... sukar untuk jadi tepat.


Tapi hari ini, Nurulsham nak ajak anda buat pengiraannya dengan Nurulsham, boleh tak? Tolong kita ye... ☺❤☺

KUNCI KIRA-KIRA UNTUK PENDAPATAN DAN PERBELANJAAN RUMAH NURULSHAM UNTUK SEBULAN.

Pendapatan

  1. Gaji pokok         -      RM1100
  2. Overtime            -      RM  200

---------------------------------------------
Jumlah               -               RM1300

Perbelanjaan 1 (asas)

  1. Rumah        -          RM300
  2. Kereta         -          RM275
  3. Motorsikal  -          RM250
  4. Bil eletrik   -           RM  65
  5. Bil air         -           RM  30
  6. Bil Astro    -           RM  58* 

-----------------------------------------
Jumlah               -          -RM978
* terpaksa ambil.. kalau tak hanya boleh tengok 'tv kosong' sahaja


Perbelanjaan 2 (sekolah/kolej) 

  1. Anak 1     -           RM100
  2. Anak 2     -           RM100
  3. Anak 3     -           RM  60
  4. Anak 4     -           RM  60
  5. Anak 5    -            RM  60
  6. Anak 6    -            RM  90
  7. Anak 7    -            RM  90

-----------------------------------------
Jumlah               -        -RM580

Jom mula mengira---

RM1300 - RM978 - RM580 =  -RM250 (NEGATIF?)


Setelah Nurulsham kira dan kira, memang tetap negatif. Walaupun Nurulsham tambah pula dengan pendapatan Nurulsham yang sesekali dapat melalui pendapatan sampingan. Sebenarnya, 6 bulan kebelakangan ini Nurulsham tinggalkan dahulu kerja-kerja yang Nurulsham buat dalam berniaga makanan, mengajar tuisyen, buat networking, menulis novel, menterjemah... kerana memberi laluan pada diri untuk menghadiri temujanji dengan pakar. Ini adalah kerana, bila Nurulsham ambil ubat, Nurulsham mengalami dizziness... dan mengantuk sehingga tidak boleh bekerja seperti biasa. Jadi, pendapatan harian hanya bergantung sepenuhnya pada suami.

Suami pula, sejak diberhentikan dari kerja di bidang telekomunikasi satelit, beliau hanya buat kerja-kerja bertaraf bawah, dengan gaji yang rendah. Lagipun, kesihatan beliau juga tidak menentu kerana ada masalah kencing manis dan buah pinggang berpasir.

Kami pernah dikunjungi oleh pihak E-Kasih, menawarkan bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat, kerana kami berdua sakit, waktu itu jantung Nurulsham sangat bermasalah, ditambah pula dengan kesukaran berjalan... namun Nurulsham menolaknya dengan baik. Bagi Nurulsham, kami berdua masih boleh berfikir dan boleh berusaha. Bantuan itu lebih baik diberikan pada insan lain yang lebih memerlukan. Nurulsham juga menolak bantuan KWAPM, zakat dan sebagainya.

Arwah bapa pernah menasihati Nurulsham, "Jangan ambil duit bantuan, kerana kita tidak akan boleh keluar dari tembok kewangan selagi berharap pada bantuan."

Kami juga tidak memohon untuk BRIM dan sebagainya, walaupun tahun-tahun sebelum ini suami memang dapat tanpa memohon.

Bukanlah mahu bercerita tentang diri dan berbangga. Tiada apa yang hendak dibanggakan di sini. Cerita tentang sakit... satu cerita yang tidak seronok pun untuk diceritakan.  Cerita tentang gaji yang kecil... hanya membuka aib yang sepatutnya disimpan.

Nurulsham tidak menulis hal ini, kalau ia satu hal yang kosong. Nurulsham tidak berkongsi kalau sekadar mahu orang merasa simpati. Bukan sebab itu... bukan... dan bukan.

Oh ya, berbalik kita pada kiraan tadi.

Negatif (-)RM250 ini baru di separuh jalan pengiraan. Nurulsham belum masukkan lagi beberapa perkara:


  1. Belanja makan seharian  lebih kurang RM20 didarab dengan 30 hari?
  2. Belanja peralatan sekolah anak-anak
  3. Belanja tambahan hospital/klinik
  4. Internet dan bil telefon 
  5. Tayar pecah, brek rosak,paip tercabut dll jika ada
  6. Bagi duit pada mak di kampung
  7. Sesekali teringin bawa anak keluar makan malam di restoran 
  8. Bagi sedekah
  9. dan macam-macam lagi...
Siapa di sini yang ada pengalaman seperti Nurulsham suami isteri? Pening tak kalau anda berada di dalam keadaan kami ini.

Sebenarnya, Nurulsham dan suami... kami sama-sama pening berada dalam keadaan ini. Bayangkan, kalau ikut perbelanjaan paling jimat pun... mungkin kami perlu ada lebih dari dua ribu ringgit sebulan.

Anda bagaimana?

Seorang saudara Nurulsham yang punya anak tiga orang dan bergaji RM7000.00 sebulan (tapi suaminya tidak bekerja).. menurut beliau, baru-baru ini di awal tahun... beliau terpaksa berbelanja guna duit sumbangan ( tak pasti duit sumbangan apa) kerana tidak cukup wang untuk belanja di awal tahun.

Seorang lagi sahabat Nurulsham... beliau bekerja sendiri dengan pendapatan mengajar tuisyen sebanyak RM2000 sebulan, dan isterinya bekerja kerajaan (mungkin bergaji melebihi RM3000) ... pernah keluar air mata kerana anak beliau minta kasut bola dan beliau tak mampu belikan.  Nilai wang kini tidak setinggi mana walaupun dari segi digitnya terasa besar... kan?

Inilah yang membuatkan Nurulsham terfikir lama (pondering) dan sangat dalam. Nurulsham jadi kabur... apakah inti kepada persoalan ini. Apakah akar  yang belum dapat kita gali... sehingga kita tidak dapat memahami semua ini. Kaya itu di mana? Rezeki itu apa dan bagaimana? Tapi yang nyatanya... ada satu kesimpulan yang Nurulsham buat setelah melihat keadaan yang diceritakan tadi.

Kesimpulan dari hipotesis --  'Rezeki itu bukan semata-mata wang'

Jika rezeki itu wang, sudah tentulah Nurulsham yang suaminya bergaji RM1300 sebulan dan punya anak tujuh inilah yang terpaksa makan duit sumbangan... bukannya saudara Nurulsham yang bergaji RM7000.  Bukankah itu logiknya... kan?

⃠⃠⃠⃠⃠⃠⃠⃠⃠⃠

Suatu hari, Nurulsham menaiki bas ekspress ke Kuala Lumpur. Dalam perjalanan, Nurulsham nampak sebuah bukit yang mengunjur tinggi di Perak. Lalu Nurulsham nampak ada air terjun yang turun dari puncak bukit tersebut.

Apa yang pelik dalam tulisan Nurulsham tadi.... . Perasan tak?

Baiklah... Nurulsham tuliskan sekali lagi... 'ada air terjun yang turun dari puncak bukit'. Pelik tak?

Kalau itu adalah puncak bukit... dan ada pula air turun tidak berhenti-henti dari situ... di manakah sumber airnya? Itu kan puncak bukit?
Nurulsham ada ambil gambar sebab sangat kagum, namun
dah terlalu lama dan gambar pun dah hilang.

Yang Nurulsham lihat bukanlah air terjun di Tapah,
tetapi di satu tempat hampir juga dengan
air terjun ini.
Kalau dikorek balik pengetahuan geografi Fizikal yang Nurulsham pernah belajar di sekolah... dan juga melalui peajaran Climatic Changes yang Nurulsham pernah pelajari di universiti... memang perkara ini amatlah tidak logik, walaupun tidak dinafikan ada awan di situ yang secara alaminya membekalkan titisan air di puncak bukit... masih... masih lagi tidak dapat memberi jawapan pada kekaguman Nurulsham ini.

Tapi, ada sesuatu yang Nurulsham dapat. Allah mahu menunjukkan kuasanya pada diri Nurulsham yang suka bertanya ini. Allah mahu tunjukkan, "Ini kuasa Kami memberi rezeki... tidak ter'hitung' olehmu wahai insan yang kerdil."

Air yang tidak dapat digali puncanya ini... adalah salah satu dari bukti kekuasaan-Nya. Banyak lagi bukti yang ada... Fikirlah menggunakan akalmu, Wahai Makhluk!

Bukanlah tulisan ini sengaja hendak menukar perspektif anda terhadap duit. Duit juga penting di zaman tatkala segalanya harus dibeli. Tulisan ini hanyalah sebagai satu pembuka lorong tambahan pada tanggapan kita terhadap rezeki selama ini... yang bukanlah hanya pada wang semata-mata.

Mohon ampun maaf, segala ilham dari Allah Taala. Jika ada kesilapan pun... Dia juga yang mengilhamkannya!

Wassalam.

WAHAI WANITA.... INILAH PERKARA YANG HARUS DIJAGA BILA UMUR MENGINJAK 40-AN

Assalamualaikum sahabat Nurulsham semua. Apa khabar hari ini? Nurulsham tiada apa-apa tips terbaik di sini, hanya mahu berkongsi pengalaman diri sendiri dan sahabat di sekeliling yang sedang melalui usia yang penuh cabaran ini... iaitu usia 40-an.

Sepanjang pemerhatian Nurulsham yang tidak seberapa ini, usia empat puluhan inilah satu usia yang paling banyak cabaran untuk diri sendiri. Cabaran itu datang dari luar dan dari dalam diri.

 Mengapa Nurulsham berkata sedemikian? Bukanlah Nurulsham memandang rendah pada kelompok umur lain. Tidak... . Usia 30-an juga ada cabarannya yang tersendiri, tetapi waktu ini biasanya cabaran adalah dalam bentuk membesarkan anak-anak, menaikkan kerjaya dan segala yang tidak tertumpu sangat pada diri. Waktu ini anak-anak baru membesar, bagi wanitanya... waktu inilah masih sibuk mengurus bayi dan sebagainya. Pendek kata, masa untuk orang lain... .

Bila menginjak umur 40-an ini, anak-anak sudah mula membesar, melalui zaman remaja, matang dan sudah boleh berdikari. Waktu inilah para ibu yang selama ini 'memberi diri' pada anak-anak... mula rasa lapang dan dapat 'mengambil semula dirinya'. Kalau yang berkerjaya pula, waktu ini  mereka mula berada di tahap yang lebih selesa. Tak hairanlah kita akan lihat ramai yang kembali menjaga penampilan diri, mencari semula kawan-kawan lama satu sekolah, boleh mengikuti program bercuti dengan kawan-kawan ke luar negara... dan ada juga yang sempat berjumpa semula kekasih lama di laman sosial.

Ada cerita kawan-kawan Nurulsham yang bercerai berai pada umur ini, kerana mahu bersatu semula dengan kekasih lama.  Sedih kan?

Ingat-ngat ya...!
Pengalaman Nurulsham sendiri yang pernah membesarkan tujuh orang anak, sekarang inilah Nurulsham rasa lapang semula, dan dapat menulis semula, bersosial di laman sosial seperti FB dan Whattsapps dan sebagainya. Tidak Nurulsham nafikan dugaannya... Subhanallah. Nurulsham sebagai public figure yang ada peminat... lebih lagilah harus berjaga-jaga. Peminat wanita tiada masalah. Bila tiba pada peminat lelaki?

Nurulsham sendiri tak boleh sombong dengan peminat. Peminat harus dihargai kerana tanpa mereka, Nurulsham tidak dapat berkongsi hasil karya. Cuma bila tiba pada peminat fanatik dari berlainan jantina... memang harus berhati-hati dan banyak berdoa supaya Allah sentiasa menjaga kita agar tidak terjebak.

Boleh berurusan dengan berlainan jantina, namun harus berhati-hati... kawanku, apa lagi bila kita berada di private massage. Wanita ini kaum yang manja. Tanpa kita sedar, ada kalanya kemanjaan kita itu kita beri secara "pukul rata" tidak kira siapa di hadapan kita. Yang melihat itu ada kalanya jadi berkenan tanpa kita sedari.

Kebelakangan ini, kita yang sudah di umur mok cik-mok cik ini, masih dapat melihat betapa mesranya kawan-kawan berlainan jantina dalam group rakan sekolah lama. Ada kalanya, hingga di luar kawalan cara melawaknya. Tak tahu nak cakap bagaimana.... cuma nasihat Nurulsham... berhati-hatilah... ya!

Ada lagi cabaran ke dua yang terjadi kerap pada umur ini. Kalau yang tadinya, kita berada di zon selesa...  rupa-rupanya ada pula sahabat-sahabat kita yang di kala ini jugalah... diberhentikan kerja, dan mengalami masalah kewangan yang teruk hingga jatuh harga diri. Ada yang dibenci isteri, dipandang rendah oleh mertua dan sebagainya... .  Mereka ini jarang kita jumpa dalam group sosial kita. Kenapa? Kerana mereka 'mengundurkan' diri mereka... rendah diri dan tidak mahu bersosial.
Pernah kah kita tertanya, mengapa sahabat kita ini sangat diam, tidak mahu bercerita... tidak menyahut bila diajak berjenaka? Mengapa....?

Dan ada juga... yang diuji dengan penyakit, sehingga tidak mampu bergembira seperti kawan-kawan yang lain.  Biasanya, mereka ini sukar bercerita. Dan kita pula tidak bertanya, atau terlupa untuk bertanya kerana masalah kita pun juga sama banyaknya...  pada firasat kita. Nurulsham ada sahabat yang mula menjadi hampir buta di usia ini, ada yang sudah meninggal kerana sakit jantung, kencing manis dan kanser. Nurulsham sendiri pun sakit dan harus menerima rawatan ulangan. Namun, Nurulsham bersyukur kerana masih berkesedaran dan boleh berfikir. Ada sahabat Nurulsham yang meninggal baru-baru ini setelah berbelas tahun hilang kewarasan kerana sakit meriyan. Itulah... sakit inilah merupakan cabaran yang amat besar buat kita di umur ini.

Semua ini adalah dugaan. Yang lapang, ada segalanya dan sihat, ingatlah... ini adalah dugaan. Yang sakit, bercerai-berai, dibuang kerja... ini juga adalah dugaan. Allah sedang 'memanggil' kita untuk rapat padanya. Life begins at fourty... kalimat ini amat benar. Inilah usia kita untuk menjadi matang, lalu diberi Allah pelbagai dugaan yang tidak terfikir di benak kita yang terbatas ini.

Berhati-hatilah sahabatku. Kembalilah pada kebiasaan berdoa sebanyaknya. Berharaplah pada-Nya tanpa rasa longgar. Semoga diri kita sentiasa di bawah pemerhatian-Nya. Amin... .

Monday, 10 April 2017

TENGAHARI DI WARUNG CENDOL PULUT

Hari ni Nurulsham meneman suami ke Klinik Kesihatan Simpang Ampat. Oleh kerana orang agak ramai, kerani di situ meminta kami pergi makan dahulu, kerana menurut beliau, giliran kami mungkin lebih dari sejam tempoh menunggu.

Lalu kami pun keluar untuk makan dan berhenti di sebuah warung cendol yang nampak menarik.

Sambil menunggu cendol yang dipesan tiba, Nurulsham melihat sekitar warung itu yang kemas dan bersih.

Barang-barang kelengkapan perniagaan beliau boleh dikatakan semuanya dari stainless steel, sehinggalah kepada mangkuk cendolnya.  Banyak kereta berhenti di warung beliau. Nampaknya orang ramai selesa makan di situ.

Sempat ambil gambar beliau sedang siapkan cendol pulut untuk kami.
Harga cendol pulut RM3.00.  Nurulsham tertarik melihat peralatan dan
perkakasan berniaga beliau yang nampak kemas.

Setelah siap cendol untuk kami, beliau sempat duduk sekejap. Orangnya ramah. Bertanya dan berbual dengan kami menggunakan bahasa yang baik. Nurulsham respect cara pembawaan beliau berniaga.


Lihat meja dan mangkuk cendol pun dari stainless steel. Cendol pulutnya penuh bekas, dan santannya sangat pekat. Aisnya dimesin.

Nurulsham sempat bertanya, "Cendol ni encik buat sendiri ya?"

Nurulsham bertanya sebab cendol beliau kelihatan tidak jernih seperti cendol siap yang dijual di pasar. Cendol yang siap dijual di pasar lebih kental dan jernih. Setahu Nurulsham, cendol siap itu ada ditambah tepung pulut sedikit.

Aruah ibu mertua Nurulsham dahulu sewaktu hayatnya pernah tunjukkan cara buat cendol dari tepung beras. Cendolnya tidak jernih dan tidak kental. Lembut dan sedap dimakan.

Cendol yang dibuat anak muda nampak macam cendol aruah ibu mertua.

Dia mengakui bahawa dia membuat cendol itu sendiri. Jawapannya, "Kalau kita beli yang orang lain buat, hari mereka cuti... putuslah bekalan kita, kan?"

Betul juga.  Good idea!

Lagipun, kalau buat sendiri, modal lebih murah, Tak perlu pakai pengawet, boleh kawal penggunaan pewarna, boleh jaga kebersihan serta kesucian dan sebagainya.

Anak muda ini, siangnya berniaga cendol dan malam pula beliau ada perniagaan online.  Bagus betul anak muda zaman sekarang. Pemikiran mereka luas dan terbuka kerana banyak peluang dan bantuan teknologi. Cuma tinggal mahu merealisasikan atau tidak sahaja.

Anak muda pula kuat tenaga dan lebih cerdas. Jika bersungguh-sungguh... In shaa Allah cerah masa hadapan.


In shaa Allah, Nurulsham akan cari semula acuan cendol ibu mertua yang dibuat dari tempurung kelapa. Kemudian Nurulsham tunjukkan cara buat cendol ala aruah ibu mertua di sini. Cendol yang aruah ibu mertua buat dahulu, tak perlu makan campur kacang merah, dan macam-macam bahan lain seperti sekarang. Tapi, sedapnya... subhanalllah. Nurulsham boleh makan cendolnya tanpa ais!

Ini adalah peluang perniagaan yang baik. Dah ramai penjual cendol yang berjaya yang Nurulsham jumpa. Bulan puasa adalah masa yang sangat baik untuk menjalankan perniagaan ini.

Selamat berniaga pada sahabat-sahabat yang menghubungi Nurulsham untuk mendapatkan resepi-resepi untuk berniaga. Nurulsham doakan anda sukses. In sha Allah, rezeki Allah ada di mana-mana. Usahakan dan sabar banyak-banyak ya.

Bye semua... Wassalam.