Friday, 5 May 2017

KAYA DI MANA???

Assalamualaikum dan salam sejahtera sahabat Nurulsham semua...

Sebagai seorang ahli matematik, ada satu kira-kira yang Nurulsham tak suka buat. Memang selalu Nurulsham cuba buat ... tapi tak pernah dapat jawapan yang memuaskan hati. Bukan sahaja tak memuaskan hati, jawapan yang Nurulsham dapat mesti negatif. Jadi Nurulsham dah give up... tak mahulah buat kira-kira ini lagi. Sebab dalam bab ini, ilmu kira-kira... atau ilmu hisab... atau ilmu matematik... sukar untuk jadi tepat.


Tapi hari ini, Nurulsham nak ajak anda buat pengiraannya dengan Nurulsham, boleh tak? Tolong kita ye... ☺❤☺

KUNCI KIRA-KIRA UNTUK PENDAPATAN DAN PERBELANJAAN RUMAH NURULSHAM UNTUK SEBULAN.

Pendapatan

  1. Gaji pokok         -      RM1100
  2. Overtime            -      RM  200

---------------------------------------------
Jumlah               -               RM1300

Perbelanjaan 1 (asas)

  1. Rumah        -          RM300
  2. Kereta         -          RM275
  3. Motorsikal  -          RM250
  4. Bil eletrik   -           RM  65
  5. Bil air         -           RM  30
  6. Bil Astro    -           RM  58* 

-----------------------------------------
Jumlah               -          -RM978
* terpaksa ambil.. kalau tak hanya boleh tengok 'tv kosong' sahaja


Perbelanjaan 2 (sekolah/kolej) 

  1. Anak 1     -           RM100
  2. Anak 2     -           RM100
  3. Anak 3     -           RM  60
  4. Anak 4     -           RM  60
  5. Anak 5    -            RM  60
  6. Anak 6    -            RM  90
  7. Anak 7    -            RM  90

-----------------------------------------
Jumlah               -        -RM580

Jom mula mengira---

RM1300 - RM978 - RM580 =  -RM250 (NEGATIF?)


Setelah Nurulsham kira dan kira, memang tetap negatif. Walaupun Nurulsham tambah pula dengan pendapatan Nurulsham yang sesekali dapat melalui pendapatan sampingan. Sebenarnya, 6 bulan kebelakangan ini Nurulsham tinggalkan dahulu kerja-kerja yang Nurulsham buat dalam berniaga makanan, mengajar tuisyen, buat networking, menulis novel, menterjemah... kerana memberi laluan pada diri untuk menghadiri temujanji dengan pakar. Ini adalah kerana, bila Nurulsham ambil ubat, Nurulsham mengalami dizziness... dan mengantuk sehingga tidak boleh bekerja seperti biasa. Jadi, pendapatan harian hanya bergantung sepenuhnya pada suami.

Suami pula, sejak diberhentikan dari kerja di bidang telekomunikasi satelit, beliau hanya buat kerja-kerja bertaraf bawah, dengan gaji yang rendah. Lagipun, kesihatan beliau juga tidak menentu kerana ada masalah kencing manis dan buah pinggang berpasir.

Kami pernah dikunjungi oleh pihak E-Kasih, menawarkan bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat, kerana kami berdua sakit, waktu itu jantung Nurulsham sangat bermasalah, ditambah pula dengan kesukaran berjalan... namun Nurulsham menolaknya dengan baik. Bagi Nurulsham, kami berdua masih boleh berfikir dan boleh berusaha. Bantuan itu lebih baik diberikan pada insan lain yang lebih memerlukan. Nurulsham juga menolak bantuan KWAPM, zakat dan sebagainya.

Arwah bapa pernah menasihati Nurulsham, "Jangan ambil duit bantuan, kerana kita tidak akan boleh keluar dari tembok kewangan selagi berharap pada bantuan."

Kami juga tidak memohon untuk BRIM dan sebagainya, walaupun tahun-tahun sebelum ini suami memang dapat tanpa memohon.

Bukanlah mahu bercerita tentang diri dan berbangga. Tiada apa yang hendak dibanggakan di sini. Cerita tentang sakit... satu cerita yang tidak seronok pun untuk diceritakan.  Cerita tentang gaji yang kecil... hanya membuka aib yang sepatutnya disimpan.

Nurulsham tidak menulis hal ini, kalau ia satu hal yang kosong. Nurulsham tidak berkongsi kalau sekadar mahu orang merasa simpati. Bukan sebab itu... bukan... dan bukan.

Oh ya, berbalik kita pada kiraan tadi.

Negatif (-)RM250 ini baru di separuh jalan pengiraan. Nurulsham belum masukkan lagi beberapa perkara:


  1. Belanja makan seharian  lebih kurang RM20 didarab dengan 30 hari?
  2. Belanja peralatan sekolah anak-anak
  3. Belanja tambahan hospital/klinik
  4. Internet dan bil telefon 
  5. Tayar pecah, brek rosak,paip tercabut dll jika ada
  6. Bagi duit pada mak di kampung
  7. Sesekali teringin bawa anak keluar makan malam di restoran 
  8. Bagi sedekah
  9. dan macam-macam lagi...
Siapa di sini yang ada pengalaman seperti Nurulsham suami isteri? Pening tak kalau anda berada di dalam keadaan kami ini.

Sebenarnya, Nurulsham dan suami... kami sama-sama pening berada dalam keadaan ini. Bayangkan, kalau ikut perbelanjaan paling jimat pun... mungkin kami perlu ada lebih dari dua ribu ringgit sebulan.

Anda bagaimana?

Seorang saudara Nurulsham yang punya anak tiga orang dan bergaji RM7000.00 sebulan (tapi suaminya tidak bekerja).. menurut beliau, baru-baru ini di awal tahun... beliau terpaksa berbelanja guna duit sumbangan ( tak pasti duit sumbangan apa) kerana tidak cukup wang untuk belanja di awal tahun.

Seorang lagi sahabat Nurulsham... beliau bekerja sendiri dengan pendapatan mengajar tuisyen sebanyak RM2000 sebulan, dan isterinya bekerja kerajaan (mungkin bergaji melebihi RM3000) ... pernah keluar air mata kerana anak beliau minta kasut bola dan beliau tak mampu belikan.  Nilai wang kini tidak setinggi mana walaupun dari segi digitnya terasa besar... kan?

Inilah yang membuatkan Nurulsham terfikir lama (pondering) dan sangat dalam. Nurulsham jadi kabur... apakah inti kepada persoalan ini. Apakah akar  yang belum dapat kita gali... sehingga kita tidak dapat memahami semua ini. Kaya itu di mana? Rezeki itu apa dan bagaimana? Tapi yang nyatanya... ada satu kesimpulan yang Nurulsham buat setelah melihat keadaan yang diceritakan tadi.

Kesimpulan dari hipotesis --  'Rezeki itu bukan semata-mata wang'

Jika rezeki itu wang, sudah tentulah Nurulsham yang suaminya bergaji RM1300 sebulan dan punya anak tujuh inilah yang terpaksa makan duit sumbangan... bukannya saudara Nurulsham yang bergaji RM7000.  Bukankah itu logiknya... kan?

⃠⃠⃠⃠⃠⃠⃠⃠⃠⃠

Suatu hari, Nurulsham menaiki bas ekspress ke Kuala Lumpur. Dalam perjalanan, Nurulsham nampak sebuah bukit yang mengunjur tinggi di Perak. Lalu Nurulsham nampak ada air terjun yang turun dari puncak bukit tersebut.

Apa yang pelik dalam tulisan Nurulsham tadi.... . Perasan tak?

Baiklah... Nurulsham tuliskan sekali lagi... 'ada air terjun yang turun dari puncak bukit'. Pelik tak?

Kalau itu adalah puncak bukit... dan ada pula air turun tidak berhenti-henti dari situ... di manakah sumber airnya? Itu kan puncak bukit?
Nurulsham ada ambil gambar sebab sangat kagum, namun
dah terlalu lama dan gambar pun dah hilang.

Yang Nurulsham lihat bukanlah air terjun di Tapah,
tetapi di satu tempat hampir juga dengan
air terjun ini.
Kalau dikorek balik pengetahuan geografi Fizikal yang Nurulsham pernah belajar di sekolah... dan juga melalui peajaran Climatic Changes yang Nurulsham pernah pelajari di universiti... memang perkara ini amatlah tidak logik, walaupun tidak dinafikan ada awan di situ yang secara alaminya membekalkan titisan air di puncak bukit... masih... masih lagi tidak dapat memberi jawapan pada kekaguman Nurulsham ini.

Tapi, ada sesuatu yang Nurulsham dapat. Allah mahu menunjukkan kuasanya pada diri Nurulsham yang suka bertanya ini. Allah mahu tunjukkan, "Ini kuasa Kami memberi rezeki... tidak ter'hitung' olehmu wahai insan yang kerdil."

Air yang tidak dapat digali puncanya ini... adalah salah satu dari bukti kekuasaan-Nya. Banyak lagi bukti yang ada... Fikirlah menggunakan akalmu, Wahai Makhluk!

Bukanlah tulisan ini sengaja hendak menukar perspektif anda terhadap duit. Duit juga penting di zaman tatkala segalanya harus dibeli. Tulisan ini hanyalah sebagai satu pembuka lorong tambahan pada tanggapan kita terhadap rezeki selama ini... yang bukanlah hanya pada wang semata-mata.

Mohon ampun maaf, segala ilham dari Allah Taala. Jika ada kesilapan pun... Dia juga yang mengilhamkannya!

Wassalam.

No comments:

Post a Comment