Terbaru- Mee tarik cara paling mudah!

Showing posts with label RESEPI. Show all posts
Showing posts with label RESEPI. Show all posts

Monday, 29 May 2017

KUIH BADAK BERENDAM CARA TOK ANUM RESEPI ZAMAN BERZAMAN

Assalamualaikum dan salam sejahtera semua sahabat Nurulsham.  Hari ini Nurulsham sempat 'teropong' satu lagi resepi tradisional yang Tok Anum buat sepanjang bulan Ramadhan untuk tempahan majlis berbuka puasa dan untuk jualan di pasar Ramadhan.

Nurulsham belanja gambar Tok Anum sedang buat kuih
warisan ni. ❤☺☺☺.

Kata Tok Anum, kuih ini orang Parit panggil Badak Berendam atau Puteri Mandi. Tetapi, setahu Nurulsham badak berendam ada inti di dalamnya. Puteri Mandi pula di luarnya bersalut kelapa parut dimasak dengan gula merah.

Jadi, menghormati peninggalan warisan orang-orang di sana, Nurulsham akan ambil namanya sebagaimana yang Tok Anum sebutkan. Harapan Nurulsham, tiadalah pertikaian di sini..ya.

Perlulah Nurulsham ingatkan, resepi orang tua-tua ini, jarang-jarang ada ukurannya. Cara mereka menilai adunan dah elok atau belum adalah melalui deria rasa seperti memicit, menyentuh, merasa dan sebagainya. Nurulsham harap anda bersabar, ya!

Baiklah, jom tengok bahan-bahannya.  ☺☺☺☺

santan pekat secukupnya
gula secukupnya
  1. Tepung pulut 1 kg
  2. Tepung gandum 1 cawan sebagai pelekat
  3. Daun pandan 5 helai ditumbuk dan diambil airnya.
  4. Air secukupnya (Tok Anum tunjukkan koleh yang biasa dia gunakan untuk bancuh kopi)
  5. Gula secukupnya
  6. Santan secukupnya
  7. Sedikit garam
Cara-caranya:

Cara yang Tok Anum gunakan memang autentik. Selama ini Nurulsham lihat doh kecil-kecil puteri mandi  ini biasanya di rebus dalam air mendidih hingga timbul baru diangkat (macam kuih buah melaka), tetapi.... cara Tok Anum sangat berlainan dan sangat menyedapkan. (Ini rahsia sebenarnya!!!) 

Orang-orang tua di sana yang ajar begini, menurut beliau. Jom kita tengok ya.


1.   1 kg tepung pulut + tepung gandum secawan digaul
 dengan air pandan dan air biasa  yang ditambah
sedikit semi sedikit. Gaul hingga semua tepung
sebati dan melekat antara satu sama lain.

1.1.  Setelah itu mulalah menguli tetapi perlahan-lahan sahaja.
Tidak perlu uli kuat seperti uli roti pula, ya.

1.2 .  Atas - ambil air sedikit-sedikit untuk lembutkan doh

gambar sebelah bawah  -  koleh kopi Tok Anum

1.3. Tambahkan air sedikit demi sedikit degan cara rendam
 tangan dalam air dan kemudian  uli lagi doh anda. Tepung
pulut ini sangat mudah rapuh (tidak melekat sesamanya)
bila kurang air.

1.4.  Pesan Tok Anum, jangan terlebih air pula kerana doh
akan jadi liat dan kembang selepas dimasak nanti

2 . Bulat-bulatkan doh seperti dalam gambar. Lihat doh anda tidak
rapuh atau retak. Kalau ada retak, doh tak cukup air


3. Picit bahagian atas doh dengan hujung jari. Tujuannya adalah
supaya kuih anda nanti timbul sedikit seperti sampan dalam air.
Selain itu, lubang ini juga boleh menakung kepala santan
yang sedap, manis dan lemak nanti.


4. Susun doh kecil comel ini dalam loyang yang telah ditabur
gula secukupnya

Nota- maksudnya, cara tradisi ini tidak menggalakkan anda
 mengacau gula. Hanya biar rasa manis itu sebati sendiri
melalui proses pemanasan, resapan dan perolakan sewaktu
 dikukus.

Inilah yang membezakan cara Tok Anum dan cara orang lain.
Cara yang biasa digunakan, doh dimasak dalam air mendidih,
kemudian barulah dicampur dengan kuah santan yang dimasak
berasingan

nota- lihat gula di dasar loyang

5. Tambahkan kepala santan + garam  (maksud Tok Anum,
 santan pekat) dan kukus sehingga kepala santan
memekat naik tetapi  jangan hingga pecah minyak.

Nota- maaf, Nurulsham tiada gambar kuih ini yang dan
siap sebab Nurulsham terpaksa balik awal dari rumah
Tok Anum.

Setelah siap, bolehlah dicedok ke dalam mangkuk dan dinikmati panas atau sejuk.

Selamat mencuba!


Sunday, 21 May 2017

RENDANG PEDAS TOK ANUM RESEPI ZAMAN BERZAMAN

Nurulsham belanja gambar foto sedang masak rendang. Happy
sangat sebenarnya sebab dah lama tak buat rendang legend ni.

Assalamualaikum dan salam sejahtera semua. Lama dah Nurulsham teringin buat rendang ala Tok Anum ni. Tok Anum, emak Nurulsham berasal dari Parit di Perak. Orang sana pandai buat Rendang Tok, tapi Rendang Ala Tok Anum ini dah diubah suai untuk sesuaikan dengan selera orang Pulau Pinang. Dapat resepi ni pada Nurulsham, Nurulsham ubah sikit lagi dengan menambahkan serbuk kari. Ini kawan Nurulsham dari Johor yang ajarkan.

Rendang ni memang sedap. Nurulsham masa jual pizza dulu hari-hari buat rendang ni, sebab Nurulsham jual Pizza Rendang. Doakan Nurulsham ada masa ya untuk poskan ke sini resepi Pizza Rendang pula ya.

Ok, jom tengok bahan-bahannya.

  1. Ayam 1 ekor  dipotong 16
  2. Bawang besar 3 biji (kisar)
  3. Halia 2 ibu jari (kisar)
  4. Daun pandan 1 helai disimpul
  5. Kerisik RM1.00
  6. Serbuk kari 1 senduk
  7. Daun kunyit 3 helai dihiris nipis
  8. Gula merah 1 senduk
  9. Kunyit 2 sudu besar
  10. Asam gelugor 5 keping
  11. Serai 3 batang (kisar)
  12. Cabai kering 20-30 biji digunting dan direbus untuk lembutkan dan buang biji (kisar)
  13. Santan pekat dari sebiji kelapa atau lebih kurang 1/2 kg santan siap perah
  14. garam dan gula secukupnya

Cara-caranya.



1. Kisar bahan-bahan- cili rebus, bawang,
halia,serai sehingga hancur

1.1. Sementara itu basuh selawat ayam sehingga
bersih
2.  Masukkan ayam, santan, dan semua bahan-bahan lain.
2.1.  Pasang api sederhana, dan kacau bahan-bahan
 anda sesekali

Cantikkan warnanya!

3. Masak hingga naik minyak dan daging
ayam cukup lembut.


Sedia dihidang bersama lemang. Sedap sangat!

Selamat mencuba!

Saturday, 13 May 2017

BENDI GORENG TEPUNG

Assalamualaikum dan salam sejahtera sahabat Nurulsham semua.  Hari ini Nurulsham nak kongsi satu lagi resepi yang Nurulsham sangat-sangat suka dan tak pernah tahu cara membuatnya. Nurulsham tak tahu apa namanya resepi ini, jadi Nurulsham letak sahaja namanya Bendi Goreng Tepung.


Resepi hari ini memang menggamit nostalgia. Sewaktu Nurulsham belajar di Indiana dahulu, memang makanan sebegini ada dijual di restoran-restoran di sana. Bendi yang agak kecil dan lembut sebegini dipanggil okra.  Sedap sangat-sangat bila digoreng deep-fried (minyak banyak) dengan tepung namun Nurulsham tak pernah terfikir bagaimanalah caranya hendak membuat makanan yang Nurulsham suka ini.

Sehinggalah Nurulsham terjumpa resepi dari seorang sahabat di FB, Puan Mageswari Ghaneson, esok tu juga Nurulsham buat bendi goreng yang sedap ni. Cuma tak sempat update di blog... baru hari ini berkesempatan.

Terima kasih banyak-banyakx1000 Puan Mageswari untuk resepi
yang sedap ni. Klik link Mageswari Ghaneson untuk banyak lagi
resepi yang sedap-sedap.

Jom kita lihat bahan-bahannya:
  1. Tepung beras
  2. Tepung jagung
  3. Serbuk kunyit 
  4. Serbuk cili
  5. Garam
  6. Jintan manis&putih ditumbuk 
  7. Sebiji telur (Nurulsham yang tambah sendiri sebab Nurulsham tak ada kuali special macam Puan Mageswari, jadi terpaksa pakai kuali biasa dan guna minyak. Tujuan telur digunakan adalah untuk menyerap lebihan minyak)

Bahan-bahan- bendi dibelah dua, tepung jagung dan tepung
 beras, garam, cili kering digoreng kemudian dikisar, kunyit
 serbuk, jintan manis dan jintan putih direndam dan ditumbuk

Cara-caranya:

1. Siapkan bahan-bahan 


2. Tambah telur dan gaul semuanya sehingga sebati


3. Panaskan minyak dan mula menggoreng. Lebih sedap dan
wangi jika boleh ditambah daun kari


4. Tada!!!!  Sedia untuk dihidang. Hm... tak sabar
nak makan. Sedap sangat!!!
Nurulsham makan dengan nasi paas-panas. Bila nasi dah habis, Nurulsham ratah sahaja bendi goreng ni. Hm... manalah berat badan tak naik..  semuanya nampak sedap...!

Thursday, 27 April 2017

6 LANGKAH UNTUK BUAT SENDIRI BERGEDIL LIAT BERDAGING. (KENTANG DIGORENG)

Bergedil liat dimakan dengan sup.

Pernah tak anda makan mee sup, atau soto... dan anda jumpa bergedil sebegini? Bergedilnya liat, dan harus dikunyah. Bila makan rasa puas hati sangat-sangat sebab bergedil ni tak lembik dan tak berminyak.

Nurulsham dapat resepi ini dari kawan sekolah dua tahun sudah. Hari ini baru sempat buat. Kredit untuk Puan Rafidah Ghazali yang memberi resepi yang awsome ini...

Mari kita lihat bahan-bahannya:



  1. Kentang 6 biji (dipotong sederhana tebal dan digoreng)
  2. Bawang besar 2 biji (dipotong nipis dan digoreng)
  3. Cili merah 1/2 biji dimayang halus
  4. Daun sup dan daun bawang secukupnya, dipotong kecil
  5. Segenggam daging direbus kemudian dipotong halus
  6. Tepung jagung 2 sudu sebagai pelekat
  7. Sedikit lada hitam ditumbuk kasar
  8. Garam secukup rasa
  9. 2 biji telur dipukul untuk dicelup
  10. Tepung jagung untuk membalut bergedil
  11. Minyak banyak untuk menggoreng
Cara-caranya:


1. Goreng kentang yang dipotong nipis... pastikan
hingga kekuningan





2. Lenyekkan. Proses ini lebig sukar kerana
kentang goreng lebih liat dari kentang rebus
3. Setelah dilenyek, masukkan tepung jagung, daun
sup dan bawang, daging, cili merah, bawang goreng ,
 lada hitam dan garam.
4. Gaul-gaulkan, dan kemudian uli sehingga liat
5.  Bulat-bulatkan bergedil anda. Panaskan minyak. Siapkan
 telur dan tepung untuk mencelup sebelum digoreng
6.  Gorengkan bergedil anda.
Anda akan dapat rasa bergedil ini lain sedikit dengan bergedil yang biasa kita makan dan beli di kedai. Bergedil ini dibuat liat atas tujuan supaya ia menjadi sangat sedap dan tidak hancur bila terendam dalam sup panas.

Anda harus cuba. Memang sangat-sangat sedap... .

Selamat mencuba.

Untuk resepi bergedil kentang di rebus klik...5-langkah-menyediakan-bergedil-sayur..
Untuk Resepi Kuetiau Homemade klik sini 

Tuesday, 25 April 2017

SIPUT LALA/RETAK SERIBU MASAK CABAI SERAI KUNYIT ORANG BAGI.

Assalamualaikum sahabat semua. Jangan terkejut dengan tajuk resepi hari ini. Nurulsham tulis begini sebab hampir semua bahan memang orang bagi hari ni. Tak sangka, rezeki banyak, syukur Alhamdulillah.

Sekarang ini musim siput lala di utara ni. Siput ini terlalu banyak. Kata jiran Nurulsham, dia pergi ke Bukit Tambun baru-baru ini untuk sama-sama mengutip siput lala ini. Ramainya orang di gigi air, dari pagi sampai ke malam.

Inilah yang dikatakan rezeki. Allah beri pada hamba-hambanya. Ramai yang mengutip lala ini, akan dijual pada pemborong dengan harga sekitar RM1.50 hingga  RM2.00. Pemborong pula kumpul-kumpul, bersihkan kotoran dan buang serpihan kulit kerang, kayu dan sebagainya. Mereka berkerja hingga jam 2 pagi. Kemudian peniaga-peniaga datang sekitar jam 3 pagi untuk beli siput lala ini dengan harga RM3.00 sekilo. Peniaga pula akan ke pasar atau jual dari rumah ke rumah dengan harga RM5.00 hingga RM6.00 sekilo.




Demikianlah yang diceritakan oleh adik bongsu Nurulsham, namanya Nurul Shuhada... hehe, sama tak nama kita?

Adik diberhentikan kerja baru-baru ini kerana kilang tempat kerjanya hendak ditutup. Sejak itu, dia akan membuat dadih dan jual di sekolah-sekolah. Ada kalanya, dia buat roti, pizza, kek dan sebagainya untuk dijual.

Baru-baru ini, adik datang dengan wajah yang sedih sangat-sangat, membawa satu kotak polisterin masih berbaki 25 bekas dadih.  Katanya, dia tersilap buat lebih dadih, lalu banyak yang tak habis.  Dia dalam keadaan demoralized. Katanya, dia sudah sampai ke satu masa Allah menduganya dengan kewangan. Kali ini buat apa pun tak jadi. Jual apa pun tak laku. Kerja eksekutif juga...  baru naik pangkat... dah kilang pula kena tutup.  Dadih yang tak habis ini, akan buat modalnya tersangkut.

Sedih kan... kalau kita pinjamkan telinga dan hati kita untuk mendengar masalah orang.  Tapi itulah kata Rasulullah. Jika saudaramu datang dalam keadaan perlu sangat pada nasihat, maka kamu bertanggungjawab menasihatinya. Tak semua orang bercerita masalah untuk mendapat nasihat dari kita. Ada orang, dia bercerita hanya untuk meluahkan perasaan. Maka jadilah pendengar yang baik.

Tapi ada orang, dia datang dalam keadaan sangat perlu pada idea, nasihat, buah fikiran dari kita. Ini kita harus peka.

Seorang sahabat Nurulsham pernah memberitahu, ada kalanya, orang datang pada kita dan minta bantuan kita... kala itu dia terpaksa 'berkongsi maruahnya' yang disimpan rapi. Janganlah kita ambil lewa, apa lagi mengatanya dari belakang. Itu maruahnya!

Oh ya, berbalik pada cerita adik tadi... .

Melihat kesedihannya, Nurulsham ambil dadih-dadihnya, lalu pergi ke rumah jiran-jiran dan bertanya jika jiran-jiran mahu beli dadih.  Nurulsham beritahu, ini dadih adik... adik nak jual untuk dapatkan balik modal. Subhanallah... jiran-jiran Nurulsham pun memang ohsem... masing-masing bantu dan habis terjuallah dadih adik Nurulsham itu.

Alhamdulillah... Nurulsham dapat lihat sinar keceriaan terpancar kembali ke wajahnya. Ada setitis air jernih gugur di matanya.

Sedih kan... .  Tapi syukur Alhamdulillah.

Bukan mudah nak mengembalikan kepercayaan seseorang pada dirinya sendiri. Bila percaya diri ini hilang... hidup bagai tidak bererti. Kita sebagai orang yang melihat dengan hati, harus menghulur bahu berkongsi bebannya.

Dua hari kemudian, adik berniaga siput lala!  Subhanallah, seorang anak gadis sepertinya telah menjadi begitu kuat, sehingga sanggup jam tiga pagi bertemu pemborong siput lala, membeli... dan seawal jam 7 pagi dia sudah berada di luar pasar untuk berniaga.

Hari pertama beliau berniaga, habis terjual 30 kg siput lala.

Hari ini beliau berniaga, habis terjual 50 kg siput lala. So amazing!

Musim siput lala ini, rezeki Allah tersebar begitu luas... pada pengutip-pengutip lala yang gigih menahan panas mentari, pada pemborong yang mencuci dan bekerja hingga lewat malam dan awal pagi.. dan pada penjual-penjual kecil seperti adik Shuhada... yang mungkin berkongsi kisah yang sama seperti adik.

Dan tak terkecuali.. pada Nurulsham juga... yang dapat dua kilogram lala percuma sumbangan dari kakak kedua Nurulsham pagi ini. Dari kelmarin teringin siput ini tapi stok habis... .

2 kilo lala menunggu untuk digoreng. Untuk basuh lala,
sila rendam seketika dalam air bersih supaya lala
dapat luahkan kekotoran dalam isinya.
Okaylah... jom lihat bahan-bahannya...  (Jap... nak kesat mata jap... mata masuk habuk pulak pagi ni.. =( )

Inilah asas kepada resepi SIPUT LALA/RETAK SERIBU MASAK CABAI SERAI KUNYIT ORANG BAGI hari ini...


  1. Siput lala 2 kg (Kak Khiarani bagi)
  2. Cili boh siap berbawang (Adik ipar bagi)
  3. Serai dititip (dari kebun Cik Tun jiran dekat rumah)
  4. Daun kunyit sehelai dikoyak-koyak (dari pasu Tok Ju jiran sebelah rumah)
  5. Bawang besar, halia dimesin
  6. Asam keping dan serbuk kunyit
  7. Garam dan gula secukupnya
Cara-caranya:

1. Panaskan minyak. Masukkan bahan 2 hgga 6 dan tumis
hingga naik minyak
2. Setelah naik minyak dan berbau wangi, masukkan
 siput lala dan kacau seketika dengan api sederhana.
3.  Kacau seketika dan rasa kuahnya jika ada manis
dari lala. Kemudian masukkan garam secukup rasa.
Masukkan juga gula jika anda tidak dapat merasa
manis dari lala
Tudung kuali dan biarkan lala masak dengan api perlahan.


Siput lala anda sedia dimakan setelah anda lihat cengkerangnya terbuka.
Bagaimana... bestkan dapat rezeki yang begini. Nurulsham hari ini makan dengan penuh syukur. Entah bagaimanalah orang-orang yang belum dapat makan hari ini ya. Ada sebenarnya, orang-orang yang belum makan, atau sukar sangat nak dapat makanan.  Paling kerap Nurulsham jumpa adalah pelajar-pelajar lelaki budak-budak U yang sedang struggle dengan pelajaran mereka. Kesian... .

Baiklah, selamat mencuba! Bye semua... .

p/s :  Maaf atas celoteh yang terlebih panjang. 'Ter'emosi pulak hari ni...hehe.

Sunday, 23 April 2017

7 LANGKAH CARA ORANG BERNIAGA MENYEDIAKAN BERGEDIL SAYUR DENGAN TEPUNG JAGUNG

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Hari ini Nurulsham nak kongsi cara buat bergedil yang Nurulsham pernah belajar dari seorang pekerja sewaktu Nurulsham berniaga nasi lauk campur dahulu. Bergedil ini lain dari yang Nurulsham pernah buat kerana ia banyak tepung jagung dan boleh digoreng dalam minyak yang banyak (deep fried).  Sewaktu kami berniaga dahulu, bergedil ini sangat laku. Pekerja Nurulsham itu, iaitu Cik Ayu yang juga merupakan biras Nurulsham akan buat satu guni kecil dalam 3 1/2 hingga 5 kilo sehari untuk dijual.


Jom kita lihat resepinya.

Bahan-bahannya:

  1. Ubi kentang 4 biji
  2. Tepung jagung 2 senduk
  3. Bawang besar dimayang 2 biji
  4. Daun bawang dihirid halus 1 pokok
  5. Daun sup dihiris halus 1 pokok
  6. Cabai hidup dimayang 1 biji 
  7. Lada hitam ditumbuk kasar
  8. Telur untuk mencelup
  9. Tepung jagung untuk disalut
Cara-caranya:

1.  Rebus kentang hingga empuk. Kopek kulitnya.

2. Lenyekkan kentang hingga gebu
3. Masukkan tepung jagung, cili merah, bawang besar,
daun sup, daun bawang dan lada hitam.
4. Gaul hingga sebati dan sedikit liat. Liat itu datang
dari tepung.

5. Bulat-bulatkan doh seperti bola. Bancuh telur hingga
sebati dan siapkan tepung untuk menggolek.
6 .  Rendam bebola dalam telur dan kemudian golekkan
bebola kentang di atas tepung sehingga agak tebal.

Nota- lebih mudah bancuh telur dalam mangkuk
kerana lebih mudah ketika merendam bebola kentang nanti.
6. Goreng begedil dalam minyak banyak (deep fried)
Sewaktu awal menggoreng, sila leperkan bebola
anda supaya dari bentuk bebola
 menjadi bentuk bergedil
7. Goreng sehingga kekuningan, angkat dan toskan bergedil anda.
Bergedil sudah siap dihidang dengan sos cili atau di
makan dengan nasi

Senang sahaja kan buat bergedil ni. Selama ni Nurulsham malas nak buat bergedil bila memikirkan kentang suka menyerap minyak dan sangat lembut hingga sukar dialih atau diterbalikkan waktu memasak.  Menggunakan resepi ini, kerja membuat bergedil menjadi lebih mudah.

Sekian dulu dari Nurulsham, selamat mencuba!


Update 10.48 pagi 24 April

Kasih Abadi Tak penah makan begedil.. jd nok ty ni bgedil ni mkn dgan apa.. mcm mne cara mkn ..jgn kejam saya hnya ingin tau...
UnlikeReply14 mins
Nurolshamshi Saidin Makan dengan nasi, buat macam lauk juga. Orang dulu2 kan susah... takde lauk, jadi buat bergedil untuk ganti lauk. Sekarang ni orang buat makan sahaja dengan sos
LikeReplyJust now