Tuesday 25 April 2017

SIPUT LALA/RETAK SERIBU MASAK CABAI SERAI KUNYIT ORANG BAGI.

Assalamualaikum sahabat semua. Jangan terkejut dengan tajuk resepi hari ini. Nurulsham tulis begini sebab hampir semua bahan memang orang bagi hari ni. Tak sangka, rezeki banyak, syukur Alhamdulillah.

Sekarang ini musim siput lala di utara ni. Siput ini terlalu banyak. Kata jiran Nurulsham, dia pergi ke Bukit Tambun baru-baru ini untuk sama-sama mengutip siput lala ini. Ramainya orang di gigi air, dari pagi sampai ke malam.

Inilah yang dikatakan rezeki. Allah beri pada hamba-hambanya. Ramai yang mengutip lala ini, akan dijual pada pemborong dengan harga sekitar RM1.50 hingga  RM2.00. Pemborong pula kumpul-kumpul, bersihkan kotoran dan buang serpihan kulit kerang, kayu dan sebagainya. Mereka berkerja hingga jam 2 pagi. Kemudian peniaga-peniaga datang sekitar jam 3 pagi untuk beli siput lala ini dengan harga RM3.00 sekilo. Peniaga pula akan ke pasar atau jual dari rumah ke rumah dengan harga RM5.00 hingga RM6.00 sekilo.




Demikianlah yang diceritakan oleh adik bongsu Nurulsham, namanya Nurul Shuhada... hehe, sama tak nama kita?

Adik diberhentikan kerja baru-baru ini kerana kilang tempat kerjanya hendak ditutup. Sejak itu, dia akan membuat dadih dan jual di sekolah-sekolah. Ada kalanya, dia buat roti, pizza, kek dan sebagainya untuk dijual.

Baru-baru ini, adik datang dengan wajah yang sedih sangat-sangat, membawa satu kotak polisterin masih berbaki 25 bekas dadih.  Katanya, dia tersilap buat lebih dadih, lalu banyak yang tak habis.  Dia dalam keadaan demoralized. Katanya, dia sudah sampai ke satu masa Allah menduganya dengan kewangan. Kali ini buat apa pun tak jadi. Jual apa pun tak laku. Kerja eksekutif juga...  baru naik pangkat... dah kilang pula kena tutup.  Dadih yang tak habis ini, akan buat modalnya tersangkut.

Sedih kan... kalau kita pinjamkan telinga dan hati kita untuk mendengar masalah orang.  Tapi itulah kata Rasulullah. Jika saudaramu datang dalam keadaan perlu sangat pada nasihat, maka kamu bertanggungjawab menasihatinya. Tak semua orang bercerita masalah untuk mendapat nasihat dari kita. Ada orang, dia bercerita hanya untuk meluahkan perasaan. Maka jadilah pendengar yang baik.

Tapi ada orang, dia datang dalam keadaan sangat perlu pada idea, nasihat, buah fikiran dari kita. Ini kita harus peka.

Seorang sahabat Nurulsham pernah memberitahu, ada kalanya, orang datang pada kita dan minta bantuan kita... kala itu dia terpaksa 'berkongsi maruahnya' yang disimpan rapi. Janganlah kita ambil lewa, apa lagi mengatanya dari belakang. Itu maruahnya!

Oh ya, berbalik pada cerita adik tadi... .

Melihat kesedihannya, Nurulsham ambil dadih-dadihnya, lalu pergi ke rumah jiran-jiran dan bertanya jika jiran-jiran mahu beli dadih.  Nurulsham beritahu, ini dadih adik... adik nak jual untuk dapatkan balik modal. Subhanallah... jiran-jiran Nurulsham pun memang ohsem... masing-masing bantu dan habis terjuallah dadih adik Nurulsham itu.

Alhamdulillah... Nurulsham dapat lihat sinar keceriaan terpancar kembali ke wajahnya. Ada setitis air jernih gugur di matanya.

Sedih kan... .  Tapi syukur Alhamdulillah.

Bukan mudah nak mengembalikan kepercayaan seseorang pada dirinya sendiri. Bila percaya diri ini hilang... hidup bagai tidak bererti. Kita sebagai orang yang melihat dengan hati, harus menghulur bahu berkongsi bebannya.

Dua hari kemudian, adik berniaga siput lala!  Subhanallah, seorang anak gadis sepertinya telah menjadi begitu kuat, sehingga sanggup jam tiga pagi bertemu pemborong siput lala, membeli... dan seawal jam 7 pagi dia sudah berada di luar pasar untuk berniaga.

Hari pertama beliau berniaga, habis terjual 30 kg siput lala.

Hari ini beliau berniaga, habis terjual 50 kg siput lala. So amazing!

Musim siput lala ini, rezeki Allah tersebar begitu luas... pada pengutip-pengutip lala yang gigih menahan panas mentari, pada pemborong yang mencuci dan bekerja hingga lewat malam dan awal pagi.. dan pada penjual-penjual kecil seperti adik Shuhada... yang mungkin berkongsi kisah yang sama seperti adik.

Dan tak terkecuali.. pada Nurulsham juga... yang dapat dua kilogram lala percuma sumbangan dari kakak kedua Nurulsham pagi ini. Dari kelmarin teringin siput ini tapi stok habis... .

2 kilo lala menunggu untuk digoreng. Untuk basuh lala,
sila rendam seketika dalam air bersih supaya lala
dapat luahkan kekotoran dalam isinya.
Okaylah... jom lihat bahan-bahannya...  (Jap... nak kesat mata jap... mata masuk habuk pulak pagi ni.. =( )

Inilah asas kepada resepi SIPUT LALA/RETAK SERIBU MASAK CABAI SERAI KUNYIT ORANG BAGI hari ini...


  1. Siput lala 2 kg (Kak Khiarani bagi)
  2. Cili boh siap berbawang (Adik ipar bagi)
  3. Serai dititip (dari kebun Cik Tun jiran dekat rumah)
  4. Daun kunyit sehelai dikoyak-koyak (dari pasu Tok Ju jiran sebelah rumah)
  5. Bawang besar, halia dimesin
  6. Asam keping dan serbuk kunyit
  7. Garam dan gula secukupnya
Cara-caranya:

1. Panaskan minyak. Masukkan bahan 2 hgga 6 dan tumis
hingga naik minyak
2. Setelah naik minyak dan berbau wangi, masukkan
 siput lala dan kacau seketika dengan api sederhana.
3.  Kacau seketika dan rasa kuahnya jika ada manis
dari lala. Kemudian masukkan garam secukup rasa.
Masukkan juga gula jika anda tidak dapat merasa
manis dari lala
Tudung kuali dan biarkan lala masak dengan api perlahan.


Siput lala anda sedia dimakan setelah anda lihat cengkerangnya terbuka.
Bagaimana... bestkan dapat rezeki yang begini. Nurulsham hari ini makan dengan penuh syukur. Entah bagaimanalah orang-orang yang belum dapat makan hari ini ya. Ada sebenarnya, orang-orang yang belum makan, atau sukar sangat nak dapat makanan.  Paling kerap Nurulsham jumpa adalah pelajar-pelajar lelaki budak-budak U yang sedang struggle dengan pelajaran mereka. Kesian... .

Baiklah, selamat mencuba! Bye semua... .

p/s :  Maaf atas celoteh yang terlebih panjang. 'Ter'emosi pulak hari ni...hehe.

No comments:

Post a Comment