Terbaru- Mee tarik cara paling mudah!

Showing posts with label TEKNOLOGI TELUR. Show all posts
Showing posts with label TEKNOLOGI TELUR. Show all posts

Monday, 10 April 2017

KEK COKELAT LEMBAP TANPA BAKING POWDER


Suka tak makan kek cokelat lembap? Nurulsham suka sangat-sangat. Dulu-dulu, Nurulsham akan beli tepung kek cokelat moist yang siap packing... balik tambah telur, air dan minyak... kemudian terus kukus.  Lama-kelamaan, Nurulsham perasan, setiap kali makan... Nurulsham akan migrain. Rupa-rupanya, Nurulsham tak tahan makan baking powder. Memang bau baking powder pun kuat sangat dalam adunan yang dibeli siap itu.

Kemudiannya, Nurulsham mula buat kek cokelat lembap sendiri, yang tiada langsung baking powder. Kek itu naik tinggi juga, sama seperti kek yang ada baking powder. Rahsianya adalah cara buat... iaitu teknik mencampur bahan sahaja. Tak perlu bantuan additive seperti baking powder dsbnya.

Lama-kelamaan, jiran-jiran dan saudara mara mula order dari Nurulsham... sehingga Nurulsham pun berniagalah kek cokelat lembap pula.

Okay... jom kita tengok bahan-bahannya.



  1.  serbuk koko   1 cawan
  2. susu pekat manis 1 cawan 
  3. air sejuk 1 cawan
  4. gula 1/2 cawan
  5. minyak 1 cawan
  6. tepung 1 1/4 cawan
  7. telur 4 biji
Bahan-bahan untuk topping
  1. susu pekat manis
  2. serbuk koko
  3. sedikit air
  4. gula atau cokelat manik urai
Cara-caranya.


Campurkan serbuk koko, gula, susu pekat manis, air dan minyak dalam periuk. Pasang api sederhana. Kacau bahan-bahan ini perlahan-lahan.


Masak sehingga pekat. Lihat ia mendidih beberapa lama.  Kemudian sejukkan dahulu adunan ini sebelum digunakan semula.

Nota penting:   Jika ia tidak sejuk, tepung yang akan dicampur nanti akan masak sewaktu bercampur dan rosak.


Ayak tepung ke dalam adunan cokelat yang telah sejuk tadi. Kacau perlahan sehingga sebati.




Sekarang lihat adunan tepung dan cokelat masak sejuk tadi. Cuba sendukkan adunan dan jatuhkann perlahan-lahan. Adunan yang jatuh itu sepatutnya nampak likat dan bertali (tidak putus).


Sementara itu, timbukkan telur sehingga kembang.


Telur yang telah kembang ini sangat ringan. Ia kelihatan bertanduk (seperti dalam gambar) bila penimbuk diangkat.

Masukkan 1 senduk telur kembang tadi ke dalam  adunan. Kaup perlahan-lahan (Ingat... kaup tidak sama dengan kacau) untuk sebatikan telur timbuk dalam adunan cokelat tadi.  Jangan terlalu kasar kerana ini akan membuatkan udara dalam telur timbuk  terlepas keluar.         

Ulang langkah ini untuk sendukkan telur ke dua dan seterusnya.

         
Ulang sehingga telur timbuk habis.


Sila rujuk video di atas untuk cara mengaup adunan supaya udara tidak terlepas keluar. Perlu hati-hati di sini kerana kita tidak menggunakan baking soda.


Masukkan adunan kek cokelat lembap anda dalam bekas dan susun dalam pengukus. Kukus selama 20 minit.


Sementara itu masakkan serbuk koko, sedikit air dan susu pekat manis untuk dijadikan topping. Kacau bahan ini perlahan-lahan sehingga sebati dan pekat. Apabila ia menggelegak, tutup api.


Tuang topping ke atas kek kukus anda dan taburkan cokelat manik urai.


Sejukkan dan sedia untuk dinikmati.

Selamat mencuba. Kek cokelat lembap ini amat sesuai untuk diniagakan. Juga sesuai sebagai juadah Ramadhan dan Syawal.

Selamat mencuba!

Friday, 17 March 2017

BUAT BAHULU SANTAN CARA TOK ANUM


Assalamualaikum sahabat Nurulsham...


Harini Nurulsham nak share resepi turun temurun yang autentik, sebab tiada campuran baking soda, pewarna atau bahan-bahan kimia yang lain. Resepi sihat ini Nurulsham belajar dari mak Nurulsham, Tok Anum namanya.

Nurulsham mula buat bahulu dari tahun empat, dan bahulu santan pula masa tahun enam. Masa tu Tok Anum tunjukkan cara sahaja. Nurulsham buat tiga kali barulah jadi betul-betul.

Masa tu juga, oven belum ada... jadi kami guna tin sebagai oven dan sabut sebagai bahan bakar di bahagian atas. Nostalgia betul... siapa yang pernah rasa pengalaman macam Nurulsham, sila angkat tangan.πŸ˜€πŸ˜€πŸ˜€

Ok lah, dah lama berceloteh... jom kita lihat resepinya.


Bahan-bahan:
  1. Telur secawan
  2. Gula secawan
  3. Tepung satu suku cawan
  4. Lima helai daun pandan ditumbuk (daun pandan jangan dipotong, sebaliknya dipintal baru ditumbuk supaya bila memerahnya, ia tidak berkecai)
  5. Santan pekat setengah cawan
Cara-caranya;

  • Daun pandan yang telah ditumbuk hancur dicampur dengan santan pekat. Ramas-ramaskan seketika, kemudian perah campuran tadi dan tapis.
  • Pukul telur dan gula menggunakan mixer sehingga kembang. Kalau betul-betul nak ikut Tok Anum, boleh je timbuk dalam pasu macam orang dulu-dulu. Pasti autentik... hehe. Nurulsham hanya mencadang tapi sendiri tak sanggupπŸ˜‚πŸ˜‚πŸ˜‚
  • Lihat samada telur dan gula sudah kembang. Caranya, angkat penimbuk tadi, dan lihat cara telur jatuh. Sekiranya ia jatuh lambat, adunan sudah kembang. Lagi satu cara, cuba garis adunan telur gula itu menggunakan sudu. Jika garisan itu tidak bertaup kembali, maka cukup kembang

  • .
  • Tuangkan campuran pandan santan ke dalam adunan dan kacau sedikit.
  • Sekarang, ambil pengayak, ayakkan suku cawan tepung ke dalam adunan. Kaup dengan berhati-hati supaya tidak banyak udara terlepas keluar. Kita tidak menggunakan baking soda, jadi kita hanya berharap pada molekul udara di dalam adunan semata-mata.


  • Ayak lagi suku cawan tepung dan kaup lagi sehingga rata. Ulang sehingga tepung habis digunakan. Hati-hati, jangan sampai adunan nampak liat. Jika terjadi sedemikian, adunan sudah bantat, lebih baik dibuat bingka sahaja😯😯
  • Lengserkan acuan dengan sedikit minyak. Pasang oven dengan suhu 250 darjah celcius. Panaskan acuan tadi.
  • Setelah minyak cukup panas, tuangkan adunan ke dalam acuan. Bakar selama 40 hingga 50 minit.
  • Bahulu anda siap setelah ia nampak kekuningan. Anda boleh juga gunakan lidi dan cucuk ke dalam bahulu tadi. Jika lidi itu bersih setelah ditarik keluar maka bahulu anda sudah masak.
Nota:  bahulu ini akan berwarna hijau pucat. Jika anda mahu warnanya cantik, boleh sahaja tambahkan pewarna.... tapi dah kuranglah tahap autentiknya..hehe

Bahulu ini sangat lemak kerana ada santan. Dan jika disimpan sehari, lemaknya akan naik ke permukaan... sangat sedap dan berkrim... bau pandannya pula, sangat wangi... subhanallah.

Memang tak jemulah kalau makan. Teksturnya seperti bahulu, tapi ia lebih lemak dan wangi. Kulitnya garing dan sangat sedap.  Suami Nurulsham suka sangat bahulu santan ni. Katanya dia teringatkan kek suji yang aruah ibunya buat masa dia kecil-kecil dulu.

Nampak kan.. betapa nostalgianya bahulu ni.

Selamat mencuba.

Friday, 3 March 2017

CARA BUAT BAHULU MACAM ORANG DULU-DULU.

Nak cuba buat bahulu macam orang dulu-dulu, tak? Jom saya turunkan resepi mak saya, yang saya guna sampai hari ni. Insya Allah, rasa dia lain dari bahulu yg dibeli.Amaran- bahan2 tak cerewet, cuma telur, tepung dan gula... tapi proses membuatnya cerewet juga, maklumlah nak dapat rasa yang autentik tu.


Mula-mula, tepung digoreng tanpa minyak dengan api perlahan. Jaga-jaga nanti hangit. Rajin-rajin kacau no...
-Kata mak saya, nak tahu tepung dah elok kering , kita nampak debu-debu tepung tu melayang, maksudnya jadi ringan sebab dah cukup kering. Saya pula tambah satu petua lagi. Tepung yang baru digoreng dan masih mentah, baunya macam klorin. Sefaham saya, memang tepung diputihkan (bleached) sebab tu berbau klorin. Goreng sampai hilang bau tu dan timbul bau wangi.
-Ada orang jemur tepung ni untuk keringkan, tapi saya tak pernah buat. Kalau nak cuba boleh juga, tapi pastikan hari betul2 panas dan tak ada burung terbang atau haiwan lain lalu kat atas tepung yang dijemur tu.

-Nota penting- Kalau tepung betul2 kering, bahulu boleh tahan lebih dari sebulan, insya Allah.


Kemudian, sukat gula dan telur sama banyak. Maksudnya, kalau gula secawan, telur pun secawan. Telur ni cuba cari yang baru. Nak tahu, pecahkan sebiji dan tengok kuning telur tak pecah. Nampak cantik seketul. Telur baru ni, boleh juga kita check dengan cara direbus sebiji. Kalau kulit melekat masa kopek, maksudnya itu telur baru. Nota penting! --- Jangan pakai telur gred A. Telur ni besar sangat dan telur putihnya banyak, jadi air banyak dan bahulu jadi melekat pada acuan. Telur itik dan ayam kampung paling elok, tapi mahal kan? Apa yang saya biasa buat, saya cari telur gred c yang baru. Alhamdulillah, hasilnya memang cantik dan harganya pun murah juga bagi orang yang minat berniaga bahulu secara komersial.
Pukul telur dan gula sampai kembang. Petua nak tahu telur dah kembang, angkat pemukul telur dan tengok cara telur tu jatuh. Kalau dia jatuh laju, maksudnya belum kembang. Lagi satu, boleh juga ambil sudu dan gariskan permukaan telur yg kembang tadi. Kalau garisan tadi tak bertaup semula, kekal, maksudnya telur dan cukup kembang.
Boleh saja digunakan mixer, tapi kalau nak lagi sedap bolehlah dicuba pukul telur pakai penimbuk macam tok kita dulu2.... Saya hanya cadangkan tapi sendiri tak sanggup buat.... hehe.
Tiba giliran untuk masukkan tepung, ni kena berhati-hati lebih sikit. Pastikan tepung tadi dah sejuk. Kalau tepung panas, saya pernah kena dah, telur tu jadi macam masak bila kena tepung. Ingat ya...
Ayak satu senduk tepung guna penapis ke dalam adunan telur dan gula yang kembang tadi. Kemudian, kaup (kaup tak sama dengan kacau, sila ambil perhatian) adunan perlahan-lahan supaya bercampur elok. Kemudian, ayak lagi satu senduk tepung dan ulang kaup adunan untuk mencampur. Masa ni tak boleh kasar. Sebab bahulu lama tak pakai baking soda, kita kena jaga udara dalam telur yang kembang itu supaya tak banyak terlepas keluar. Perhatikan permukaan adunan tadi.
Ambil spatula dan sapu atas permukaan adunan. Kalau licin, boleh ayak tepung lagi sehinggalah bila disapukan spatula sekali lagi, kita nampak adunan itu bersarang halus2. Nota ---Kalau sarangnya besar, adunan belum cukup tepung. Kalau tak bersarang langsung dan nampak liat, adunan dah bantat.
Kata mak saya, biasanya kalau telur secawan, tepungnya lebih kurang secawan juga. Tapi, masih kena check rupa adunan tu bersarang atau tidak untuk pastikan bahulu jadi elok.
Masa saya baru belajar dulu, saya campurkan adunan sedikit2 dan tengok rupa sarangnya. Pakai mangkuk kecil dan masukkan adunan telur kembang tadi

sesenduk dua saja. Tepung dalam dua sudu, masih kena ayak. Lepas tu masuk dalam acuan dan bakar. Anda boleh juga cuba sedikit dulu. Kalau dah yakin baru boleh buat banyak sekali.
Dah siap, panaskan acuan dalam oven dan lengserkan minyak pada acuan tersebut. Nota- acuan lama ni kerap melekat, jadi biasanya orang lama tak bagi kena air. Kalau dah kena air, mungkin sebab nak basuh, sila jemur acuan di panas terik, sampai betul2 kering, kemudian baru digunakan macam biasa. Minyak yang nak lengserkan di acuan pula, bolehlah dipanaskan terlebih dahulu menggunakan kuali bersih, kemudian goreng sebiji telur dalam minyak tadi. Telur itu kemudiannya diasingkan, dan minyak ini bolehlah dibuat melengser acuan.
Acuan yang dah cukup panas berhaba, bolehlah dimasukkan adunan... dan bakar hingga kekuningan.
Selamat mencuba. Bahulu jenis ni sangat ringan dan garing kulit luarnya. Memang sedap dan asli, serta tak berminyak. Makan pun tak jemu sebab dia ringan. Selalunya bahulu makan sebiji pun dah kenyang, tapi yang ini boleh makan lebih... dengan izin Allah juga, jangan lupa tu...
Sesuai dibuat secara komersial kerana bahan2nya murah dan mudah didapati. Insya Allah, sama2lah kita berkongsi ilmu yang baik ini.

Sepatah dua kata dari penulis.

Terima kasih kerana melawat blog Nurulsham. Semoga anda mendapat manfaat darinya.

Nurulsham menjemput anda melihat aktiviti terbaru Nurulsham iaitu membuat bedak sejuk di rumah tanpa peralatan canggih. Nurulsham dah cuba dan jadi cantik bedak sejuk tersebut. Sila klik link ini 12 langkah mudah buat bedak sejuk tradisi

Selamat menonton. 

Wassalam.