Terbaru- Mee tarik cara paling mudah!

Showing posts with label TEKNOLOGI MENGAWET. Show all posts
Showing posts with label TEKNOLOGI MENGAWET. Show all posts

Wednesday, 21 June 2017

HALUA KELAPA YANG LEMAK DAN SEDAP


Halua kelapa
Lebihan kelapa dari projek buat agar-agar kering ala candy berherba  Nurulsham buat pula halua kelapa. Anda tentu biasa dengar halua pala kan? Halua pala biasanya dijual di kedai tetapi tidak pula bagi halua kelapa. Halua kelapa ini biasanya ada dalam perayaan untuk dijadikan inti kuih atau dimakan sebegitu sahaja.

Hari ini jom kita buat halua kelapa warisan zaman berzaman ini. Rasanya manis dan lemak serta tahan lama kerana gula bertindak sebagai bahan pengawet pada hidangan ini.

halua pala
 Baik, jom kita lihat bahan-bahannya.

  1. Isi dari sebiji kelapa
  2. Gula batu 1/2 cawan
  3. Gula pasir 1 cawan
  4. Air 1 cawan
Cara-caranya:



1.  Kopek isi kelapa sehingga tinggal kulit arinya sahaja

2. Hiris keluar kulit ari kelapa

Kelapa yang telah dibuang kulit ari dan dibersihkan

3. Parut isi kelapa

Cantik kan isi kelapa yang telah siap diparut. Nampak
putih dan bersih.

3.1. Isi kelapa yang lebih kecil dan tidak dapat diparut
bolehlah dipotong nipis-nipis

4. Masak gula pasir, gula batu bersama air sehingga membuak

5. Masukkan kelapa yang telah diparut/hiris nipis tadi

6. Perlahankan api, Kacau hingga air gula menjadi kering
seperti menyira kuih keria


7. Setelah gula kering, letak halua anda di atas talam supaya
 cepat sejuk


Halua kelapa anda siap untuk dihidangkan.
Selamat mencuba!

Monday, 19 June 2017

AGAR-AGAR KERING HERBA (TANPA PEWARNA) ALA HERBAL CANDY


Assalamualaikum wrt dan salam sejahtera serta salam Ramadhan semua.

Anda semua biasa dengar dan pernah rasa agar-agar kering, kan? Anda tentu pernah tengok agar-agar kering berwarna-warni yang cantik dan berkristal. Ada juga yang berbau wangi. Kanak-kanak sangat sukakannya.

Hari ini Nurulsham nak cadangkan alternatif pada agar-agar ini. Kalau boleh apa kata kita cuba buat agar-agar kering tanpa menggunakan pewarna, kerana kita tahu pewarna sebenarnya sangat merbahaya.

Agar-agar kering dengan pewarna yang kuat. Ingat, pewarna amat merbahaya
apa lagi bila kita berikan jajan ini pada anak-anak kecil.


Sebagai gantinya, kita buat pula gar-agar kering pelbagai perisa, dengan menggunakan perisa asli.

Sewaktu Nurulsham mengembara dengan kawan-kawan di New Mexico, kami pernah beli dan makan candy berherba dari pokok kaktus. Rasanya sama dengan agar-agar kering kita dan ada pula unsur perubatan di dalamnya. Jadi, konsep kita di sini adalah untuk membuat agar-agar kering  ala herbal candy yang menyihatkan. Di barat, herbal candy adalah perkara biasa sebagaimana kita memakan makjun. Antara contoh herbal candy adalah Lozenges dan dihisap untuk merawat batuk dan panas badan.

Lozenges


Nota- Nurulsham akan tunjukkan cara buat agar-agar kering perisa lemon asli... dan anda boleh gunakan cara ini untuk perisa lain.. ya!

Kelapa, agar-agar, gula, gula batu, lemon, pudina
Untuk bahan-bahan agar-agar:

  1. Agar-agar 20 g dibasuh dan ditoskan
  2. Gula halus 300 g
  3. Gula batu 150 g
  4. Air 800 ml (separuh botol mineral 1.5 liter)
  5. Sebiji lemon, daun pudina, air kelapa, gula merah, teh dan asam jawa (anda boleh cuba bahan lain juga)
Cara-caranya. (Untuk agar-agar lemon terlebih dahulu)


1. Sagat halus kulit luar sebiji lemon dan masukkan
dalam acuan. Ini adalah untuk mencantikkan (hiasan)
agar-agar dan untuk aroma yang wangi

Nota - lemon sangat baik untuk merawat demam selsema

2. Perah lemon anda dan asingkan bijinya kerana bijinya pahit

3. Sementara itu, masukkan agar-agar, gula batu dan gula halus
dalam periuk bersih

4. Masukkan air dan masak pada api sederhana hingga gula
dan agar-agar hancur

5. Tapis agar-agar dan asingkan dalam 3 bekas

6. Tuang semula agar-agar dari bekas pertama. Ini adalah
untuk perisa lemon

Nota - Anda masih ada 2 bekas lagi agar-agar untuk anda
 cuba perisa lain

7. Kemudian, masukkan air lemon yang telah diperah tadi

8. Kacau sehingga mendidih kali ke dua

9. Tuang agar-agar ke dalam bekas berisi parutan
 kulit lemon

9.1. Biar agar-agar beku sebelum dipotong

9.2. Untuk memotong dengan cantik, anda boleh gunakan
pisau plastik pemotong agar-agar

10. Susun atas dulang dan keringkan 4 hingga 5 hari untuk
dapatkan agar-agar berkristal yang cantik
Anda boleh juga mencuba cara di atas untuk bahan-bahan herba menyihatkan yang lain. Tapi ingat, kulit, daun dan sebagainya jangan dimasukkan terlalu banyak kerana bahan-bahan ini akan mengundang kulat yang akan menyebabkan agar-agar anda cepat rosak dan kurang terawet.

Antara bahan yang boleh anda cuba.

1.  Daun pudina (herba yang sangat baik untuk menghambat angin dalam badan)
Nota - Potong kecil supaya daun pudina menyerap
lebih gula dan agar-agar anda terawet dengan
lebih baik

Cantik tak?  Rasanya agak berangin dan sejuk di mulut.
2. Air kelapa dan isinya (sedikit)- Sangat baik untuk mengalkalikan cecair dalam badan juga untuk menyejukkan badan.

Perisa kelapa yang sedap. Hm....

Belahan kelapa yang cantik. Di sebelah adalah air kelapa

Nota - Untuk membelah kelapa, anda harus menetak di
tengah-tengan antara 2 mata (lihat gambar). Tempurung
 di situ lebih lembut dari di bahagian lain

3. Asam jawa - sangat baik untuk menyejukkan badan dan mencuci usus.
Ambil perahan asam jawa yang pekat
4. Gula merah - untuk menyejukkan badan dan alternatif pada gula putih

5. Teh-  unsur kelat di dalam teh baik untuk merawat cirit-birit

dari kiri- pekatan teh, gula merah dan asam jawa (dibawah)
Dari hadapan ke belakang - agar-agar gula merah, asam jawa dan teh.
Cantik tak warnanya?


Anda boleh mencuba bahan-bahan lain mengikut kreativiti anda, namun pastikan anda mendapat perahan pekat dan kurangkan menggunakan unsur pepejal seperti daun, bunga dll yang boleh menarik kulat dan mengganggu proses mengering dan mengawet.

Inilah hasilnya.... agar-agar herba yang sudah cukup kering. Cantik tak?


Selamat mencuba!

Anda boleh merujuk resepi agar-agar kering di sini juga. Sila klik  agar-agar-kering.dapur umi

Update 27 Jun

Terbaru Nurulsham cuba perisa asli lain pula iaitu nenas,
timun dan halia dan juga perisa yang pernah dicuba
sebelum ini iaitu pudina


Tuesday, 13 June 2017

KEROPOK LOBAK MERAH DAN KEISTIMEWAAN TEPUNG UBI KAYU

Assalamualaikum wrt wbt dan salam Ramadhan buat semua pembaca blog Nurulsham.

Nurulsham mengalu-alukan anda mengikuti blog ini tidak kira di mana anda berada. Terharunya kerana ada juga kunjungan dari pelbagai negara seperti dari Jepun, Nigeria, Arab Saudi, Indonesia, Brunei dan sebagainya. Ini menunjukkan betapa ramainya orang kita di negara luar dan amat memerlukan resepi-resepi makanan tradisi sebagai rujukan.

 Antara tujuan asal Nurulsham wujudkan blog ini adalah untuk menghimpun seni lama dari nusantara dan luar. Antaranya resepi-resepi tradisi, teknik mengawet cara lama tanpa bahan kmia, teknik perubatan tradisional yang banyak melibatkan perubahan tekanan, haba dan pelbagai lagi.

Sesuai sebagai seorang saintis juga, biasanya Nurulsham akan cuba buat semula perkara-perkara yang Nurulsham pelajari atau dengar dari orang-orang tua. Sesetengah resepi yang Nurulsham pernah buat di sini, adalah sebagai satu eksperimen. Ada kalanya Nurulsham dah ulang buat berkali-kali kerana tak menjadi. Jadi dalam konteks ini, Nurulsham bukanlah seorang pakar tetapi seorang yang mencuba.

Antara tujuan blog ini adalah untuk mengajak anda cuba mencabar diri mencuba pelbagai resepi dan tidak semata-mata mahu membeli barang siap semata-mata. Ini semua adalah adventure... sangat menarik dan mengujakan.  Kerja-kerja sebegini ini ada kebahagiaannya yang tersendiri. Tak rugi kalau anda mencuba.

Keropok lobak merah ini Nurulsham dapat inspirasi dari orang Indonesia sebenarnya. Nurulsham ada melihat di You tube, satu situasi di mana terlalu banyak bahan buah-buahan dan sayur-sayuran yang bermusim dan pelbagai teknik mengawet telah dicuba di sana. Antara cara mengawet adalah dengan menjadikannnya keropok yang dikeringkan. Subhanallah... mereka amat kreatif dan sangat kuat bekerja.

Pun begitu, resepinya tidaklah dinyatakan dengan jelas.  Jadi resepi Nurulsham hari ini adalah satu percubaan yang agak berjaya dengan izin-Nya juga supaya kita dapat berkongsi ilmu yang baik dan menyihatkan ini.

Jomlah kita lihat bahan-bahannya.
  1. 1 cawan lobak merah yang telah disagat
  2. 2 hingga 3 cawan tepung ubi
  3. sedikit garam untuk rasa
Cara-caranya.

1. Basuh selawat lobak merah yang telah dibuang kulitnya

2. Sagat lobak merah anda sehalusnya

Lihat tekstur lobak yang disagat ini

3. Masukkan tepung ubi (secawan terlebih dahulu) dan garam.
Gaulkan bahan-bahan.

4. Tambah tepung ubi lagi dan gaul sehingga sebati.
 Kemudian cuba kepal-kepalkan doh anda dan lihat
adakah bentuknya kekal. Jika tidak tambahkan
lagi tepung ubi.

5. Setelah doh anda boleh dikepal, balut dengan daun pisang
 yang telah dilayur di atas api.

Nota- Daun pisang yang dilayur diatas api amat liat dan
 tidak mudah terkoyak sewaktu anda membentuknya
 untuk membalut

Doh yang telah dibalut

6. Susun di dalam pengukus dan kukus selama 40 minit

7. Setelah dikukus masak, keluarkan doh dari balutan
dan susun diatas talam. (Nota- Anda akan lihat
doh ini sangat melekit)

8. Jemur doh anda di terik mentari selama 2 jam
atau sehingga luar doh tidak melekit

Nota- lihat kulit doh sudah pejal dan tidak melekit

9. Hiris doh ini menjadi kepingan nipis.

10. Jemur semula kepingan ini sehingga betul-betul kering.
Memerlukan 2 hari pada musim kemarau dan
sehingga 5 hari pada hari biasa.

Nota- Jika tidak cukup kering, keropok anda tidak akan
 mengembang bila digoreng.

11. Seterusnya goreng dalam minyak banyak dan panas dan perhatikan keropok
lobak merah anda mengembang 2 kali ganda. Jika keropok anda cukup nipis,
ia akan mengembang dengan cantik. Nurulsham tak potong doh keropok
 ini dengan cukup nipis, jadi keropok mengembang agak lambat. Pun begitu
keropok ini cukup rangup bila dipatahkan dan tidak lembik di bahagian tengah.

(Maaf gambar kurang jelas)

Nota: Ada juga cadangan supaya doh yang baru dikukus disimpan 2 hari supaya cukup
kental, kemudian barulah disagat menggunakan penyagat yang cukup tajam untuk
mendapatkan kepingn yang cukup nipis. Anda boleh sahaja mencubanya.
 Tepung ubi kayu adalah sejenis tepung yang amat istimewa kerana ia tiada protin di dalamnya dan hanya ada kanji semata-mata. Maksudnya tepung ini amat halus dan tiada gluten. Ia sesuai sebagai bahan gam, dalam kes ini, ia melekatkan  lobak merah yang telah disagat.

Sifat tepung ini juga amat istimewa di mana ia akan mengeras dan menjernih bila dijemur kering, tapi mengembang dengan cantik setelah digoreng. Jadi tepung ubi amat sesuai digunakan dalam pembuatan keropok.

Untuk lebih info tentang tepung ubi, sila klik karakter tepung ubi kayu dan characteristic of tapioka starch

Sekian dahulu dari Nurulsham. Selamat mencuba!