Tuesday, 13 June 2017

KEROPOK LOBAK MERAH DAN KEISTIMEWAAN TEPUNG UBI KAYU

Assalamualaikum wrt wbt dan salam Ramadhan buat semua pembaca blog Nurulsham.

Nurulsham mengalu-alukan anda mengikuti blog ini tidak kira di mana anda berada. Terharunya kerana ada juga kunjungan dari pelbagai negara seperti dari Jepun, Nigeria, Arab Saudi, Indonesia, Brunei dan sebagainya. Ini menunjukkan betapa ramainya orang kita di negara luar dan amat memerlukan resepi-resepi makanan tradisi sebagai rujukan.

 Antara tujuan asal Nurulsham wujudkan blog ini adalah untuk menghimpun seni lama dari nusantara dan luar. Antaranya resepi-resepi tradisi, teknik mengawet cara lama tanpa bahan kmia, teknik perubatan tradisional yang banyak melibatkan perubahan tekanan, haba dan pelbagai lagi.

Sesuai sebagai seorang saintis juga, biasanya Nurulsham akan cuba buat semula perkara-perkara yang Nurulsham pelajari atau dengar dari orang-orang tua. Sesetengah resepi yang Nurulsham pernah buat di sini, adalah sebagai satu eksperimen. Ada kalanya Nurulsham dah ulang buat berkali-kali kerana tak menjadi. Jadi dalam konteks ini, Nurulsham bukanlah seorang pakar tetapi seorang yang mencuba.

Antara tujuan blog ini adalah untuk mengajak anda cuba mencabar diri mencuba pelbagai resepi dan tidak semata-mata mahu membeli barang siap semata-mata. Ini semua adalah adventure... sangat menarik dan mengujakan.  Kerja-kerja sebegini ini ada kebahagiaannya yang tersendiri. Tak rugi kalau anda mencuba.

Keropok lobak merah ini Nurulsham dapat inspirasi dari orang Indonesia sebenarnya. Nurulsham ada melihat di You tube, satu situasi di mana terlalu banyak bahan buah-buahan dan sayur-sayuran yang bermusim dan pelbagai teknik mengawet telah dicuba di sana. Antara cara mengawet adalah dengan menjadikannnya keropok yang dikeringkan. Subhanallah... mereka amat kreatif dan sangat kuat bekerja.

Pun begitu, resepinya tidaklah dinyatakan dengan jelas.  Jadi resepi Nurulsham hari ini adalah satu percubaan yang agak berjaya dengan izin-Nya juga supaya kita dapat berkongsi ilmu yang baik dan menyihatkan ini.

Jomlah kita lihat bahan-bahannya.
  1. 1 cawan lobak merah yang telah disagat
  2. 2 hingga 3 cawan tepung ubi
  3. sedikit garam untuk rasa
Cara-caranya.

1. Basuh selawat lobak merah yang telah dibuang kulitnya

2. Sagat lobak merah anda sehalusnya

Lihat tekstur lobak yang disagat ini

3. Masukkan tepung ubi (secawan terlebih dahulu) dan garam.
Gaulkan bahan-bahan.

4. Tambah tepung ubi lagi dan gaul sehingga sebati.
 Kemudian cuba kepal-kepalkan doh anda dan lihat
adakah bentuknya kekal. Jika tidak tambahkan
lagi tepung ubi.

5. Setelah doh anda boleh dikepal, balut dengan daun pisang
 yang telah dilayur di atas api.

Nota- Daun pisang yang dilayur diatas api amat liat dan
 tidak mudah terkoyak sewaktu anda membentuknya
 untuk membalut

Doh yang telah dibalut

6. Susun di dalam pengukus dan kukus selama 40 minit

7. Setelah dikukus masak, keluarkan doh dari balutan
dan susun diatas talam. (Nota- Anda akan lihat
doh ini sangat melekit)

8. Jemur doh anda di terik mentari selama 2 jam
atau sehingga luar doh tidak melekit

Nota- lihat kulit doh sudah pejal dan tidak melekit

9. Hiris doh ini menjadi kepingan nipis.

10. Jemur semula kepingan ini sehingga betul-betul kering.
Memerlukan 2 hari pada musim kemarau dan
sehingga 5 hari pada hari biasa.

Nota- Jika tidak cukup kering, keropok anda tidak akan
 mengembang bila digoreng.

11. Seterusnya goreng dalam minyak banyak dan panas dan perhatikan keropok
lobak merah anda mengembang 2 kali ganda. Jika keropok anda cukup nipis,
ia akan mengembang dengan cantik. Nurulsham tak potong doh keropok
 ini dengan cukup nipis, jadi keropok mengembang agak lambat. Pun begitu
keropok ini cukup rangup bila dipatahkan dan tidak lembik di bahagian tengah.

(Maaf gambar kurang jelas)

Nota: Ada juga cadangan supaya doh yang baru dikukus disimpan 2 hari supaya cukup
kental, kemudian barulah disagat menggunakan penyagat yang cukup tajam untuk
mendapatkan kepingn yang cukup nipis. Anda boleh sahaja mencubanya.
 Tepung ubi kayu adalah sejenis tepung yang amat istimewa kerana ia tiada protin di dalamnya dan hanya ada kanji semata-mata. Maksudnya tepung ini amat halus dan tiada gluten. Ia sesuai sebagai bahan gam, dalam kes ini, ia melekatkan  lobak merah yang telah disagat.

Sifat tepung ini juga amat istimewa di mana ia akan mengeras dan menjernih bila dijemur kering, tapi mengembang dengan cantik setelah digoreng. Jadi tepung ubi amat sesuai digunakan dalam pembuatan keropok.

Untuk lebih info tentang tepung ubi, sila klik karakter tepung ubi kayu dan characteristic of tapioka starch

Sekian dahulu dari Nurulsham. Selamat mencuba!


No comments:

Post a Comment