Terbaru- Mee tarik cara paling mudah!

Showing posts with label KESIHATAN. Show all posts
Showing posts with label KESIHATAN. Show all posts

Monday, 19 June 2017

AGAR-AGAR KERING HERBA (TANPA PEWARNA) ALA HERBAL CANDY


Assalamualaikum wrt dan salam sejahtera serta salam Ramadhan semua.

Anda semua biasa dengar dan pernah rasa agar-agar kering, kan? Anda tentu pernah tengok agar-agar kering berwarna-warni yang cantik dan berkristal. Ada juga yang berbau wangi. Kanak-kanak sangat sukakannya.

Hari ini Nurulsham nak cadangkan alternatif pada agar-agar ini. Kalau boleh apa kata kita cuba buat agar-agar kering tanpa menggunakan pewarna, kerana kita tahu pewarna sebenarnya sangat merbahaya.

Agar-agar kering dengan pewarna yang kuat. Ingat, pewarna amat merbahaya
apa lagi bila kita berikan jajan ini pada anak-anak kecil.


Sebagai gantinya, kita buat pula gar-agar kering pelbagai perisa, dengan menggunakan perisa asli.

Sewaktu Nurulsham mengembara dengan kawan-kawan di New Mexico, kami pernah beli dan makan candy berherba dari pokok kaktus. Rasanya sama dengan agar-agar kering kita dan ada pula unsur perubatan di dalamnya. Jadi, konsep kita di sini adalah untuk membuat agar-agar kering  ala herbal candy yang menyihatkan. Di barat, herbal candy adalah perkara biasa sebagaimana kita memakan makjun. Antara contoh herbal candy adalah Lozenges dan dihisap untuk merawat batuk dan panas badan.

Lozenges


Nota- Nurulsham akan tunjukkan cara buat agar-agar kering perisa lemon asli... dan anda boleh gunakan cara ini untuk perisa lain.. ya!

Kelapa, agar-agar, gula, gula batu, lemon, pudina
Untuk bahan-bahan agar-agar:

  1. Agar-agar 20 g dibasuh dan ditoskan
  2. Gula halus 300 g
  3. Gula batu 150 g
  4. Air 800 ml (separuh botol mineral 1.5 liter)
  5. Sebiji lemon, daun pudina, air kelapa, gula merah, teh dan asam jawa (anda boleh cuba bahan lain juga)
Cara-caranya. (Untuk agar-agar lemon terlebih dahulu)


1. Sagat halus kulit luar sebiji lemon dan masukkan
dalam acuan. Ini adalah untuk mencantikkan (hiasan)
agar-agar dan untuk aroma yang wangi

Nota - lemon sangat baik untuk merawat demam selsema

2. Perah lemon anda dan asingkan bijinya kerana bijinya pahit

3. Sementara itu, masukkan agar-agar, gula batu dan gula halus
dalam periuk bersih

4. Masukkan air dan masak pada api sederhana hingga gula
dan agar-agar hancur

5. Tapis agar-agar dan asingkan dalam 3 bekas

6. Tuang semula agar-agar dari bekas pertama. Ini adalah
untuk perisa lemon

Nota - Anda masih ada 2 bekas lagi agar-agar untuk anda
 cuba perisa lain

7. Kemudian, masukkan air lemon yang telah diperah tadi

8. Kacau sehingga mendidih kali ke dua

9. Tuang agar-agar ke dalam bekas berisi parutan
 kulit lemon

9.1. Biar agar-agar beku sebelum dipotong

9.2. Untuk memotong dengan cantik, anda boleh gunakan
pisau plastik pemotong agar-agar

10. Susun atas dulang dan keringkan 4 hingga 5 hari untuk
dapatkan agar-agar berkristal yang cantik
Anda boleh juga mencuba cara di atas untuk bahan-bahan herba menyihatkan yang lain. Tapi ingat, kulit, daun dan sebagainya jangan dimasukkan terlalu banyak kerana bahan-bahan ini akan mengundang kulat yang akan menyebabkan agar-agar anda cepat rosak dan kurang terawet.

Antara bahan yang boleh anda cuba.

1.  Daun pudina (herba yang sangat baik untuk menghambat angin dalam badan)
Nota - Potong kecil supaya daun pudina menyerap
lebih gula dan agar-agar anda terawet dengan
lebih baik

Cantik tak?  Rasanya agak berangin dan sejuk di mulut.
2. Air kelapa dan isinya (sedikit)- Sangat baik untuk mengalkalikan cecair dalam badan juga untuk menyejukkan badan.

Perisa kelapa yang sedap. Hm....

Belahan kelapa yang cantik. Di sebelah adalah air kelapa

Nota - Untuk membelah kelapa, anda harus menetak di
tengah-tengan antara 2 mata (lihat gambar). Tempurung
 di situ lebih lembut dari di bahagian lain

3. Asam jawa - sangat baik untuk menyejukkan badan dan mencuci usus.
Ambil perahan asam jawa yang pekat
4. Gula merah - untuk menyejukkan badan dan alternatif pada gula putih

5. Teh-  unsur kelat di dalam teh baik untuk merawat cirit-birit

dari kiri- pekatan teh, gula merah dan asam jawa (dibawah)
Dari hadapan ke belakang - agar-agar gula merah, asam jawa dan teh.
Cantik tak warnanya?


Anda boleh mencuba bahan-bahan lain mengikut kreativiti anda, namun pastikan anda mendapat perahan pekat dan kurangkan menggunakan unsur pepejal seperti daun, bunga dll yang boleh menarik kulat dan mengganggu proses mengering dan mengawet.

Inilah hasilnya.... agar-agar herba yang sudah cukup kering. Cantik tak?


Selamat mencuba!

Anda boleh merujuk resepi agar-agar kering di sini juga. Sila klik  agar-agar-kering.dapur umi

Update 27 Jun

Terbaru Nurulsham cuba perisa asli lain pula iaitu nenas,
timun dan halia dan juga perisa yang pernah dicuba
sebelum ini iaitu pudina


Thursday, 18 May 2017

BAYAM GORENG TEPUNG RANGUP

Bayam goreng tepung yang sangat rangup dan sedap.
Anda pernah tak beli bayam goreng tepung di pasaran. Kalau anda pergi ke Kundasang di Sabah, inilah kudapan yang dijual di dalam peket di serata gerai. Betul tak? Mungkin sebab daun bayam di sana gemuk-gemuk dan lebar, jadi mudahlah dibuat goreng celup tepung ini.

Hari ini Nurulsham balik kampung dan sama-sama mengutip ulam-ulaman di sekitar rumah mak Nurulsham iaitu Tok Anum.  Dapatlah Nurulsham ulam putat, daun janggus, daun bayam dan cili padi. Tok Anum hendak beri Nurulsham daun bebuas dan mulberi tapi Nurulsham rasa hasil kutipan hari ini sudah lebih dari mencukupi. Dah seraga penuh pun... .

Daun janggus, putat, bayam dan cili api
(cili api tak nampak dlm gambar)
Lalu bermulalah proses nak buat bayam celup tepung ni.  Daun bayam dibasuh selawat terlebih dahulu.

Nurulsham gunakan tepung beras sahaja. Boleh juga campurkan tepung jagung kalau mahu bayam anda lembut sedikit. Tepung beras membuatkan bayam anda rangup dan agak keras tapi tahan lama.

Tambahkan serbuk cili, garam, kunyit dan secalit kapur makan. 

Kemudian bancuh adunan ini dengan sedikit air sehingga dapat bancuhan sederhana pekat.  Sementara itu panaskan minyak dalam kuali.


Celupkan daun bayam dalam bancuhan tepung, kemudian goreng dalam minyak sehingga kekuningan.


Toskan minyak. Sejukkan bayam goreng celup anda kemudian bolehlah disimpan dalam bekas kedap udara.

Selamat mencuba!


Monday, 8 May 2017

SUP AYAM BARLI ALA NURULSHAM

Assalamualaikum dan salam sejahtera sahabat Nurulsham semua.  Hari ini Nurulsham nak kongsikan cara buat sup ayam barli yang sangat enak dan baik untuk kesihatan.  Sebenarnya semasa aruah bapa Nurulsham masih ada dahulu, dia menasihatkan Nurulsham supaya buat sup barli. Bagus katanya. Dia dapat tahu dari kawannya seorang berbangsa cina. Namun, aruah bapa tidak pernah menceritakan apakah kebaikan makan sup barli ini.

Sup ayam barli

Nurulsham pun buatlah carian di internet, lalu terjumpalah artikel yang sangat menarik tentang sup barli ini. Kebetulan pula dua hari lepas Nurulsham memang ada membeli barli berharga RM1.00, bawa pulang dan rebus dapat seperiuk besar. Tujuannya untuk mencuci darah. Lagipun Nurulsham baru sahaja terkena penyakit kencing tak lawas.

Barli seringgit tadi begitu banyak hingga tidak habis pula. Nurulsham ambil dan sejuk bekukan. Syukurlah kanjinya banyak dan airnya pun sudah hampir kering. Jika tidak, bila disejuk bekukan, air akan bertukar menjadi kristal (ais batu) lalu barli akan rosak (jadi benyal). 

Jadi ingat ya kawan-kawan, kalau hendak buat makanan frozen, pastikan partikel air tidak banyak dalam makanan tersebut. Partikel air ini akan berubah menjadi kristal, lalu keluar dari makanan tersebut. Bila kita nyahbekukan, makanan tersebut akan rosak kerana ada ruang kosong di dalamnya kerana partikel air tadi telah keluar. Secara seninya (mikroskopik), bolehlah Nurulsham umpamakan ketiadaan air tadi seperti runtuhnya tiang yang memegang makanan tersebut lalu makanan tersebut runtuh (dalam skala besar kita katakan sebagai benyal).

Lebihan barli yang akan disejukbekukan
Sumber dari internet klik bubur talbinah ada menceritakan tentang hadis nabi berkenaan bubur barli yang berupaya merawat kesihatan hati dan kesedihan.  Jadi memang ada persamaan dengan ilmu moden di mana barli mencuci darah... kerana fungsi hati kita juga adalah untuk membuang racun dalam tubuh kita (darah). Hebatnya... .

Baiklah, jom kita lihat bahan-bahannya.

  1. Barli direbus hingga keluar kanji 
  2. Ayam
  3. Halia, bawang besar dan bawang putih dihiris nipis
  4. Lobak merah dan kentang dibuang kulit dan dipotong sederhana besar
  5. Tomato, sawi dipotong sederhana
  6. Sedikit gula batu dan garam untuk rasa
  7. Secawan santan pekat
  8. Rempah-rempah, kulit kayu manis, bunga cengkih dan lawang, jintan manis, lada hitam


Bahan-bahan- Barli sejukbeku, ayam, lobak merah,
bawang besar dan putih, tomato, ubi kentang, sawi, santan,
 rempah sup, garam, gula batu

Rempah-rempah, dan bahan untuk memberi rasa pada sup
dipotong sederhana.

Cara-caranya:
1. Dalam periuk besar, tumis bawang halia dan rempah-rempah sehingga berbau wangi.


2.  Masukkan ayam, ubi kentang, tomato, dan lobak merah. Kacau hingga rata.


3. Tambah kan air sehingga separas bahan-bahan tadi. Tambahkan gula batu dan garam. Kacau rata.

4. Perlahankan api, tudung periuk dan biar bahan-bahan tadi mereneh.

5. Siapkan barli rebus, sayur sawi dan santan.

6. Setelah bahan direneh agak lembut, masukkan barli, sawi dan santan. Masak lagi sehingga menggelegak.


7. Sup ayam barli anda siap untuk dinikmati. Nampak tak barli ada di sekitar bahan-bahan sup anda? Sedap sangat sup ini.. .

Selamat mencuba!

Klik untuk artikel Makanan Sunnah Bubur Talbinah Barli
Klik untuk artikel Sup ayam ala Cik Sunah

Friday, 28 April 2017

KHASIAT TUNGKU BESI TRADISIONAL BERBALUT DAUN MENGKUDU BAGI PESAKIT TULANG BELAKANG BAHAGIAN LOWER BODY.

Assalamualaikum sahabat Nurulsham di mana sahaja anda berada.

Seperti yang Nurulsham ceritakan sebelum ini, Nurulsham kebiasaannya akan bertungku dua kali seminggu. Hanya sewaktu Nurulsham mengikut rawatan dan makan ubat saraf baru-baru ini sahaja Nurulsham berhenti bertungku. Ini adalah kerana daun mengkudu sendiri mempunyai enzimnya yang tersendiri di mana Nurulsham khuatir ia akan berlawan dengan bahan kimia dalam ubatan.

gambar kredit kepada yuitsumuni.com -tungku yang baik
harus sedikit berbentuk pipih dan seperti penyauk di
 muncungnya.
Sewaktu Nurulsham bertemu pakar terapi tulang belakang di Jabatan Fisioterapi, Nurulsham memang disarankan bertungku menggunakan tungku air untuk merawat otot-otot yang keradangan di sekitar tulang Nurulsham yang mengalami prolapse.  Bertungku itu tidaklah membantu masalah tulang, tetapi ia membantu mengurangkan keradangan di otot sekitar tulang yang bermasalah.

Sejak dua hari kebelakangan ini, Nurulsham sakit sangat pinggang ke bawah. Nurulsham berhenti sekejap ubat saraf, dan kembali bertungku. Alhamdulillah, sakit di pinggang sudahpun berkurang.

Jom Nurulsham share khasiat bertungku mengikut pengalaman Nurulsham, dan bukannya mengikut pembacaan di mana-mana. Ini hanyalah tips-tips dari orang-orang tua di sekitar Nurulsham. Tindakbalas pemulihan badan Nurulsham dan anda semua mungkin ada persamaan atau perbezaan. Jadi, pandai-pandailah anda memilih untuk mengikut mana yang bersesuaian dan banyakkan yakin bahawa ikhtiar itu adalah wajib tetapi kesembuhan itu adalah pemberian Allah secara mutlak.


Daun mengkudu biasanya bertambah cantik
sekiranya pokoknya ditumpang oleh kerengga. Kerengga
akan makan serangga perosak yang datang ke
tanaman ini.
Tungku yang masih berbalut daun mengkudu besar.
Tungku ini dibeli di pasaraya dan agak baik buatannya
serta lama panasnya.
Nota : Jangan jirus tunggu dengan air kerana
ia akan mengubah sifat unsur besi  di dalam
tungku membuatkan tungku tidak panas lama.

Proses memanaskan tungku boleh dibuat dengan meletakkan
muncung atau bahagian tengah tungku di atas api
perlahan.
Nota : Api perlahan lebih baik kerana haba sempat
bergerak dari luar masuk ke dalam tungku,
 membuatkan tungku mampu panas lebih lama.
Tungku akan dilapik dengan daun sekitar 5 hingga 10 helai,
kemudian dibalut dengan sehelai kain batik lalu
diikat. Harus ada sehelai lagi kain batik kedua
(tanpa tali) untuk membalut tungku ketika ia
paling panas di waktu baru diangkat dari api.
Kain batik kedua ini akan dibuka selapis demi
selapis apabila kepanasan tungku berkurang.
CARA BERTUNGKU BAGI PESAKIT TULANG BAHAGIAN LOWER BODY

1. Ketika tungku baru di balut, anda akan nampak wap air daun
mengkudu  yang panas akan keluar.  Jangan biar wap itu
terlepas. Anda harus segera cari selimut tebal dan balut
badan anda serta letakkan tungku berhampiran dengan
badan anda. Anda disarankan berkemban. Wap ini
 bertindak sebagai sauna. Nikmatilah wap ini dan
berehatlah sekitar setengah jam.


2. Mengkudu mempunyai khasiat antidepressant yang
boleh mengurangkan stress. Buah mengkudu sendiri
mempunyai bahan kimia semulajadi dalam bentuk enzim
yang membantu pembentukan serotonin dalam badan kita yang
mampu memberi rasa tenang dengan izin Allah.
Wap dari mengkudu memanaskan badan dan membantu
mengeluarkan peluh-peluh lama yang tersumbat
  @ peluh jantan.

Dalam keadaan masih berbalut selimut, letakkan tungku di
bahagian belakang pinggang. Mulakan dengan sebelah
dahulu, kemudian alih badan anda, lalu biarlah sebelah
 lagi pinggang anda  menekan tungku tersebut. Inilah antara
 sebab tungku berbentuk pipih lebih baik dari
tungku tebal. Tungku pipih lebih selesa diletakkan di bahagian
bawah badan anda.

1.  Di dalam keadaan masih berbalut selimut, tungku pula perut
anda dalam keadaan anda di atas tungku, bukannya
tungku di atas anda. Kita tidak mahu perut anda menahan
 beban berat dari tungku, sebaliknya kita mahu otot
 perut terkena kepanasan tungku. Tujuannya adalah
semata-mata untuk memanaskan perut anda. Menurut
 seorang pakar akupunktur berbangsa cina,
perut buncit berasal dari perut yang sejuk. Perut
yang sejuk mengundang masuknya angin ke dalam
 rahim dan usus.  Maksudnya, perut buncit bukanlah
semata-mata kerana lemak. Ia boleh juga disebabkan
organ dalaman yang tidak sihat.

2. Pakar fisioterapi juga memberitahu, bila otot perut
 kendur dan lemah, ia akan menarik otot-otot lain di sekitar
 menyebabkan berlakunya kelemahan otot sehingga
 tidak dapat menyokong tulang belakang. Pesakit
 disk prolapse misalnya harus kerap membuat senaman
perut untuk memastikan otot perut cukup kuat, bagi
 membantu mengurangkan kesakitan di tulang belakang
Boleh juga bertungku dalam keadaan duduk
untuk menguatkan otot paha, punggung , vagina,
 betis dan tapak kaki. Semua ini dapat membantu
menyokong tulang belakang anda melalui cara mewujudkan
otot-otot sekitar  yang kuat dan dapat berdikari tanpa
 perlu bergantung sepenuhnya pada tulang 
belakang (lower back). Pastikan badan anda 
tetap berbalut dengan selimut.

Nota- Ini adalah bertungku untuk menguatkan otot sekitar tulang belakang, bukannya bertungku untuk wanita berpantang.  Harus dibuat setiap minggu sekitar dua kali seminggu dan terus istiqomah. Semoga anda diberi kesihatan untuk menjalani hidup seharian.
Jika anda tiada tungku besi, anda boleh pergi ke sungai mencari batu
 bulat yang leper untuk dijadikan tungku batu