Monday, 10 April 2017

TENGAHARI DI WARUNG CENDOL PULUT

Hari ni Nurulsham meneman suami ke Klinik Kesihatan Simpang Ampat. Oleh kerana orang agak ramai, kerani di situ meminta kami pergi makan dahulu, kerana menurut beliau, giliran kami mungkin lebih dari sejam tempoh menunggu.

Lalu kami pun keluar untuk makan dan berhenti di sebuah warung cendol yang nampak menarik.

Sambil menunggu cendol yang dipesan tiba, Nurulsham melihat sekitar warung itu yang kemas dan bersih.

Barang-barang kelengkapan perniagaan beliau boleh dikatakan semuanya dari stainless steel, sehinggalah kepada mangkuk cendolnya.  Banyak kereta berhenti di warung beliau. Nampaknya orang ramai selesa makan di situ.

Sempat ambil gambar beliau sedang siapkan cendol pulut untuk kami.
Harga cendol pulut RM3.00.  Nurulsham tertarik melihat peralatan dan
perkakasan berniaga beliau yang nampak kemas.

Setelah siap cendol untuk kami, beliau sempat duduk sekejap. Orangnya ramah. Bertanya dan berbual dengan kami menggunakan bahasa yang baik. Nurulsham respect cara pembawaan beliau berniaga.


Lihat meja dan mangkuk cendol pun dari stainless steel. Cendol pulutnya penuh bekas, dan santannya sangat pekat. Aisnya dimesin.

Nurulsham sempat bertanya, "Cendol ni encik buat sendiri ya?"

Nurulsham bertanya sebab cendol beliau kelihatan tidak jernih seperti cendol siap yang dijual di pasar. Cendol yang siap dijual di pasar lebih kental dan jernih. Setahu Nurulsham, cendol siap itu ada ditambah tepung pulut sedikit.

Aruah ibu mertua Nurulsham dahulu sewaktu hayatnya pernah tunjukkan cara buat cendol dari tepung beras. Cendolnya tidak jernih dan tidak kental. Lembut dan sedap dimakan.

Cendol yang dibuat anak muda nampak macam cendol aruah ibu mertua.

Dia mengakui bahawa dia membuat cendol itu sendiri. Jawapannya, "Kalau kita beli yang orang lain buat, hari mereka cuti... putuslah bekalan kita, kan?"

Betul juga.  Good idea!

Lagipun, kalau buat sendiri, modal lebih murah, Tak perlu pakai pengawet, boleh kawal penggunaan pewarna, boleh jaga kebersihan serta kesucian dan sebagainya.

Anak muda ini, siangnya berniaga cendol dan malam pula beliau ada perniagaan online.  Bagus betul anak muda zaman sekarang. Pemikiran mereka luas dan terbuka kerana banyak peluang dan bantuan teknologi. Cuma tinggal mahu merealisasikan atau tidak sahaja.

Anak muda pula kuat tenaga dan lebih cerdas. Jika bersungguh-sungguh... In shaa Allah cerah masa hadapan.


In shaa Allah, Nurulsham akan cari semula acuan cendol ibu mertua yang dibuat dari tempurung kelapa. Kemudian Nurulsham tunjukkan cara buat cendol ala aruah ibu mertua di sini. Cendol yang aruah ibu mertua buat dahulu, tak perlu makan campur kacang merah, dan macam-macam bahan lain seperti sekarang. Tapi, sedapnya... subhanalllah. Nurulsham boleh makan cendolnya tanpa ais!

Ini adalah peluang perniagaan yang baik. Dah ramai penjual cendol yang berjaya yang Nurulsham jumpa. Bulan puasa adalah masa yang sangat baik untuk menjalankan perniagaan ini.

Selamat berniaga pada sahabat-sahabat yang menghubungi Nurulsham untuk mendapatkan resepi-resepi untuk berniaga. Nurulsham doakan anda sukses. In sha Allah, rezeki Allah ada di mana-mana. Usahakan dan sabar banyak-banyak ya.

Bye semua... Wassalam.

No comments:

Post a Comment