Sebenarnya, ada banyak resepi patty yang anda boleh cari melalui blog dan sebagainya. Nurulsham pun belajar dari blog dan you tube. Tetapi, sebab Nurulsham buat untuk berniaga... dan kerja ini menjadi rutin, maka lama kelamaan Nurulsham diberi ilham oleh Allah tentang cara yang paling cepat dan paling sesuai dengan permintaan.
Yang penting bahan asasnya, yang selalu Nurulsham guna waktu berniaga, iaitu daging atau ayam, sedikit tepung jagung atau tepung gandum sebagai pelekat, sedikit telur sebagai pelembut dan pelembap, sedikit garam, bawang besar... untuk rasa dan juga untuk pelembap. Pandai-pandailah anda variasikan sukatannya, ya.... jangan sampai terlebih lembap kerana terlebih telur dan bawang atau terlebih keras kerana terlebih tepung. Yang lain tu, adalah rempah-rempah dan cili untuk perasa. Yang ni Nurulsham akan selalu ubah ikut permintaan pelanggan. Ada kalanya Nurulsham tambahkan oregano... ikut suka hatilah... maklumlah, hidup ni kan kena ada adventure sikit kan... 😊
Kemudian, apa yang Nurulsham buat, ialah masukkan bahan-bahan ke dalam blender kering, lalu bahan tadi akan dikisar sehingga hancur dan melekat sesamanya.
Anda harus faham, daging terutamanya daging lembu, mempunyai protin yang tinggi. Apabila dikisar secukupnya, protin tadi akan membentuk rantaian yang panjang dan kuat sesamanya, lalu daging hancur itu akan melekat-lekat. Sebab itu, jika anda terlebih masukkan bawang dan telur, daging anda akan kurang melekat, lalu anda terpaksa tambah lebih tepung untuk melekatkannya semula.
Tapi kalau hanya semata-mata daging (dan garam) tanpa bahan-bahan lain, daging anda akan menjadi sangat kuat melekat antaranya, dan anda sebenarnya sudah berjaya membuat bebola daging yang biasa dibuat oleh orang-orang cina. Jika diganti dengan ikan, maka jadilah bebola ikan (untuk membuat bebola ikan atau daging, cuba lihat di you tube untuk teknik menguli).
Okay... sambung resepi patty. Maaf Nurulsham telah terkeluar tajuk sekejap 😀.
Adunan yang telah siap dikisar, anda bulat-bulatkan mengikut saiz patty yang anda mahu untuk roti anda. Kemudian, barulah anda leperkan. Oleh kerana adunan anda cukup melekit antaranya, Nurulsham ada satu teknik yang Nurulsham gunakan sewaktu berniaga. Ini rahsia Nurulsham tau... tapi hari ni dah bocorlah nampaknya...haha.
Anda cuba dapatkan plastik nipis yang selalu peniaga nasi lemak gunakan tu, yang dilapik dengan kertas surat khabar tu lah... . Anda letakkan bola daging (yang dibulat-bulatkan tadi) di atas plastik, dan lapik satu lagi plastik di atas bebola. Dapatkan satu piring, lalu anda tekan di bahagian atas plastik sehinggalah adunan menjadi leper membentuk patty.
Jangan tarik keluar plastik pelapik itu, kerana khuatir patty anda akan patah atau terkoyak. Sebaliknya, anda terus masukkan patty beserta pelapik plastik tadi ke dalam freezer. Apabila patty tadi telah keras sedikit, barulah anda tarik keluar pelapiknya, dan patty tadi sesuai untuk digoreng. Patty yang berpelapik ini boleh disimpan lama dalam freezer.
Nurulsham pernah buat stok untuk berniaga seminggu, dan bila hendak gunakan, Nurulsham akan nyahbekukan. Jika anda hendak sejukbekukan, pastikan bawang dimasukkan dalam kuantiti yang sedikit sahaja. Bawang adalah dari keluarga sayuran, jadi ia mempunyai lompang air yang banyak, yang akan menjadi kristal sewaktu disejukbekukan.... dan kristal ini apabila cair, dia akan meninggalkan banyak rongga berair pada patty anda lalu patty anda akan hancur.
Patty anda harus digoreng dengan sedikit mentega, dan anda akan lihat ia akan mengecut sedikit. Setelah siap masak, bolehlah anda siapkan burger anda mengikut selera anda.
Selamat mencuba. Enjoy!
Nota- Maaf Nurulsham memang kadang-kadang rasa terpaksa berhenti cepat-cepat kerana tangan mudah kejang.
No comments:
Post a Comment