Sunday, 12 March 2017

AKU DAN MASYARAKAT INDIA


Si comel Tamlikho yang hilang dan dijumpai wanita India.
Kawasan kejiranan Nurulsham ini dahulunya, sebelum dijadikan taman perumahan, ianya adalah kawasan estet getah, koko dan kelapa sawit. Kawasan ini dihuni oleh orang-orang india. Apabila dinaikkan taman perumahan, mereka ditawarkan membeli rumah-rumah di sini dengan harga murah.

Jadi, telah menjadi kebiasaan kami bertemu dan berinteraksi dengan masyarakat India di sini. Malahan rumah Nurulsham sendiri sering dikunjungi jiran-jiran berbangsa India, kerana suami Nurulsham boleh berubat. Biasanya mereka datang meminta bantuan suami apabila ada masalah anak tidak mendengar kata, ponteng sekolah, isteri lari dan sebagainya. Ada kalanya, mereka datang ke rumah untuk hantar ikan keli, biskut kering dan sebagainya sebagai menghargai bantuan suami Nurulsham. Memang harmonilah... memang seronok tinggal di sini.

Namun, Nurulsham ada kisah zaman jahil...hehe.... yang hendak dikongsikan di sini. Dalam cerita ini, Nurulsham akan menggunakan perkataan 'aku' sebagai kata ganti nama diri.... supaya dapat mood membaca novel...hehe. Boleh kan? Selamat membaca 😊

         Suasana malam itu amat gelap. Tidak kelihatan bulan dan bintang. Langit mendung dan suhu terasa amat sejuk. Di kiri kanan jalan, lampu-lampu jalan pun seperti mogok sama, tidak bercahaya. Kawasan kiri kanan jalan raya itu masih dalam pembinaan. Lubang pun banyak di sana-sini. Sejak jejambat itu dinaikkan, untuk memudahkan perjalanan keretapi laju dan kommuter di daerah selatan Seberang Perai ini, memang menjadi kebiasaan melihat jejambat separuh siap, bahan-bahan konkrit di sana-sini, sususan simen palung longkang dan macam-macam lagi di jalan-jalan besar sekitar daerah ini.

        Motorsikal kepunyaan ayah yang kami naiki menderam tatkala mendaki jejambat itu. Enjinnya sudah lama benar. Bunyinya seperti tidak larat lagi menanggung beban dua manusia ini.

        Dalam kegelapan malam, aku dapat mengagak ada orang sedang berjalan di hadapan kami, sambil menolak motorsikal. Semakin mereka kami dekati, semakin jelas kelihatan seorang wanita tua berbangsa India sedang menapak perlahan. Di hadapannya, seorang lelaki tua yang mungkin suaminya,sedang menolak sebuah motorsikal lama yang amat uzur.

       Hati aku jatuh ketika itu. Allahu Akbar... kasihan benar dengan nasib sesetengah orang. Jika dinilai keadaan mereka... entahlah... terasalah betapa bernasib baiknya aku. Walaupun aku sedang membonceng motorsikal lama, kami masih menaikinya... bukan menolaknya!

        Aku menepuk bahu suamiku, lalu berkata, "Abang...  berhenti, bang. Jom kita tolong pak cik dan mak cik india tu."

       Suamiku cepat sahaja meningkah, "Keadaan kita pun teruk,  jangan kalutlah nak tolong orang!"

         Aku terkejut mendengar tingkahnya. Jarang-jarang dia bersikap sedemikian. Lalu aku mencuba sekali lagi, "Kesian, bang. Jom berhenti, ya?"

        "Tak payahlah... orang India tu, tak payah kalutlah nak tolong!"

         Aku terdiam tidak berkutik. Entah mengapa garang benar suamiku malam itu. Selalunya, dia tidak begitu. Selama ini, dialah yang paling sibuk mahu berhenti bila melihat kenderaan rosak atau kemalangan. Kalau dia mendapat panggilan telefon walaupun di tengah malam, memberitahu ada kawan-kawan atau saudara terkandas di mana-mana, dia akan cepat sahaja pergi membantu.

        Entah mengapa juga, jawapannya malam itu kedengaran agak perkauman. Aku memang sukar menerima jawapan sebegitu. Suatu masa dahulu, sewaktu rumah sewaku terbakar di Indiana, ramai jiran-jiranku berbangsa Amerika yang menghulurkan bantuan tanpa mengira siapa keturunanku dan apa bangsaku.

        Aku cuba berlapang dada. Mungkin keadaan kami yang dalam kesukaran juga pada malam itu, membuatkan dia mengambil keputusan sedemikian. Mungkin... .

         Walaupun hatiku sedikit ralat, aku cuba juga menerima keadaan kami yang tidak berhenti membantu itu dengan hati yang berat.

          Namun, Allah itu tidak pernah membiarkan aku leka dan alpa dalam kesilapan. Aku memang tak boleh buat silap... adalah nanti sesuatu yang akan terjadi padaku.

          Keesokan harinya...

          Waktu zohor telahpun tiba. Aku bersiap-siap untuk bersolat. Anak bongsuku yang pada ketika itu berumur setahun tujuh bulan sedang bermain-main seorang diri di dalam bilikku.

          Aku membuka kunci mangga di pintu pagar, namun tidak membiarkan pintu terbuka. Mangga yang telah terbuka tadi kubiarkan masih di selak pintu. Tujuannya adalah supaya bila anak-anakku pulang dari sekolah, mereka boleh membuka mangga sendiri tanpa perlu memanggil aku yang sedang bersolat.

        Setelah selesai, aku masuk semula ke dalam bilik, lalu mula bersolat. Anak bongsuku masih lagi bermain-main sendirian di belakangku.

        Keadaan terasa begitu sunyi. Anakku pun tidak mengganggu solatku hari ini. Aku sempat juga membuat solat sunat dua rakaat.

        Namun, tatkala aku di rakaat terakhir solat sunat itu, aku terdengar bunyi orang mengetuk pintu pagar dengan kuat, sambil memekik, "Adik! Adik!" Suaranya kedengaran melenggok seperti suara wanita bangsa india.

       Aku terkocoh-kocoh menghabiskan solat apabila panggilan itu seperti tidak tahu berhenti. Selepas memberi salam, aku berlari ke luar tanpa sempat membuka telekung.

       Di hadapan mataku, kelihatan seorang wanita berbangsa India yang sudah agak berumur, memakai baju blaus kapas berlengan pendek dan berkain batik. Wajahnya kelihatan serius, seperti marah sahaja lagaknya. Argh... apa pula kali ini, tidak dapat kubayangkan kemungkinannya.

     "Ini you punya anak ka?" dia bertanya dengan nada garang.

     Anak? Aku tidak faham apa yang dikatakannya. Namun, tiba-tiba mataku tertancap pada satu susuk tubuh kecil berseluar biru, tanpa pakaian dan tanpa kasut. Allahu Akbar! Itu anak bongsuku! Bagaimana dia boleh berada dengan wanita itu. Bukan kah tadi dia berada di... ? 

      Aku melopong sambil membulatkan mata. Memang terkejut betul aku. Tidak terkeluar apa-apa perkataan dari mulutku. Hanya rasa bersalah, kerana aku sedar sesuatu telah berlaku atas kelalaianku!

       "Ini adik punya anak ka?" dia bertanya sekali lagi.

        Aku cepat mengangguk sambil terkebil-kebil. "Ya, anak saya. Aunty jumpa di mana?" tanyaku kembali.

      "Saya jumpa di depan sana, dia mahu pergi kedai."

       Ya Allah! aku rasa bagai mahu pitam. Bila pula dia keluar, dan sejak bila dia pandai membuka mangga besar ini? Sungguh aku tidak sedar yang dia kini sudah pandai membuka mangga sendiri dari selak pintu.

       Aku memeluk anak kecilku yang mempamerkan berwajah tidak bersalah itu. Ya lah... apa yang dia tahu. Bercakap pun belum boleh!

       Lalu kenyanglah aku mendengar leteran hari ini. Ohhh... .

       Dari cerita-ceritanya yang terselit di celah-celah leteran itu, tahulah aku yang wanita itu telah berjumpa anakku sendirian, lalu membawa anakku dari satu rumah ke rumah yang lain di lorong ini..  untuk bertanyakan siapakah ibu kepada si kecil. Mujurlah ada seorang wanita cina yang kenal anakku, lalu menunjukkan rumahku pada wanita tua itu.

      Aku memeluk anakku sambil mengalirkan air mata, dan tangan wanita itu kusalam dan kukucup berkali-kali. Tak tahulah apa yang akan terjadi jika anakku tidak ditemuinya. Tak dapat kufikirkan. Seramnya rasa hatiku ini... .

       Wanita itu berlalu. Tinggallah aku bersama anak kecilku. Aku terdiam sebentar. Kejadian hari ini sangat aneh pada firasatku. Seperti ada sesuatu yang Allah mahu aku fikirkan.

        Lama aku termenung. Lalu datanglah ingatan tentang peristiwa semalam.  Oh...  inilah sebenarnya. Aku memang ada khilaf semalam. Aku tidak tegas!

      Sepatutnya semalam, bila aku sedar yang aku di pihak yang benar, aku harus bertegas dengan suamiku. Sepatutnya kami berhenti membantu suami isteri berbangsa india itu semalam. Sekurang-kurangnya berhenti untuk bertanya khabar mereka!

      Sehingga hari ini, aku masih terfikir... apalah yang akan terjadi padaku jika anakku langsung tidak ditemui. Allah itu Maha Pengasih. Dihantarnya malaikat yang membantu, melalui seorang berbangsa lain yang sebelumya tidak kami peduli untuk mengambil berat!

       Semoga kisahku ini menjadi pengajaran buat kita semua. Apa bangsa dan agama pun, semuanya adalah makhluk, diciptakan Allah untuk saling melengkapi.  Meletakkan label, mengecilkan mereka... adalah tidak wajar sama sekali, kerana ia sama seperti kita memperkecilkan kehebatan Allah mencipta kepelbagaian.  Fikiran kita ini yang harus luar dan terbuka. Harus ada sikap menerima jika kita mahu diterima... kan?

      Sekian dahulu kongsi cerita dariku. Semoga bermanfaat. Wassalam.

       
       





       

2 comments: