Thursday, 11 May 2017

JELI KELAPA BERKRIM ALA RESTORAN THAI

Jeli kelapa berkrim ala Restoran Thai
Pertama kali Nurulsham bertemu hidangan yang sedap ini adalah sewaktu kami sekeluarga pergi ke Hadnyai kira-kita 13 tahun yang lalu.  Jeli kelapa ini sangat special kerana diletakkan dalam buah kelapa, dan dijual dengan harga RM5.00 sebiji. Di bahagian atasnya, diletakkan krim dari santan kelapa yang sangat lemak dan sedap.

Balik dari sana, Nurulsham cuba buat tapi tak pernah jadi. Kemudiannya, adik Nurulsham pula berkecimpung dalam pembuatan jeli kelapa lalu memberitahu, Nurulsham harus gunakan jeli Konnyaku jika mahu jeli kelapa ini jadi bergedik-gedik teksturnya. Jika menggunakan agar-agar biasa, teksturnya lebih brittle, atau mudah pecah dan rapuh.

Jeli Konnyaku lebih kenyal teksturnya.
Bagi anda yang menjaga  pengambilan makanan secara halalan toyyiba, bolehlah selidik lagi ya. Apa yang Nurulsham tahu, Jeli konnyaku bukanlah gelatin, sebaliknya ia berasal juga dari keluarga jagung atau rumput yang dikenali sebagai konjak (sila klik untuk rujukan).  Ia menghasilkan sejenis tepung berkanji ala gelatin, sebagai bahan ganti bagi ramai pengamal vegan (orang yang tidak makan makanan dari sumber berdarah).

Jeli konjak diambil dari ubi keladi konjak

Tumbuhan keladi yang dikenali dengan nama konjak


Gelatin pula diambil dari dua sumber, iaitu dari dalam tulang sum-sum atau dari kulit khinzir. Jadi anda harus selidik lagi jika sesuatu bahan itu mengandungi gelatin. Dewasa ini ada sumber gelatin dari tulang lembu yang disembelih, namun Nurulsham tidak tahu adakah harganya kompetetif dengan gelatin tidak halal.

Baik, jom kita teruskan pada resepi kita.  Bahan-bahannya ialah:


  1. 300-500 ml  air dan isi lembut dari sebiji kelapa muda
  2. Air sejuk  ditambah sehingga campuran air dan air kelapa menjadi 1500 ml (1 botol air mineral besar)
  3. Sehelai daun pandan
  4. 1-2 senduk gula (Ingat, dalam peket Konnyaku jeli sudah ada gula ya!)
  5. Separuh peket Konnyaku Jeli 


Air + isi kelapa + air sejuk + daun pandan = 1500 ml
Untuk krim di atas jeli kelapa
  1. Santan pekat RM2.00
  2. Sedikit garam
  3. Gula pasir 1 sudu (jangan lebih kerana krim santan akan jadi berat)

Santan segar untuk krim atas jeli
Cara-caranya:

1. Dalam satu periuk bersih, masukkan campuran air kelapa(1500 ml) bersama
jeli konnyaku dan gula. Pasang api sederhana dan kacau bancuhan anda
dengan kerap sehingga mendidih.

2. Sila lihat jika jeli sudah cukup sesuai untuk dikeraskan.
Caranya, ambil sudu logam dan ceduk cecair jeli anda.
Biarkan seketika dalam peti sejuk. Kemudian periksa
adakah ia berubah menjadi pepejal.

2.1.  Jika ya, jeli anda sudah sedia untuk dibekukan.

3. Siapkan bekas untuk anda tuang jeli yang baru mendidih
tadi. Nurulsham siapkan kelapa muda yang Nurulsham
dah ambil air dan isinya, juga beberapa cawan
plastik untuk menyimpan jeli


4. Tuangkan dalam bekas yang bersesuaian sehingga
hampir atau 3/4 penuh

5.  Krim santan pekat, garam dan gula ditimbuk hingga ringan.

5.1.  Tuangkan 1 sudu atau secukupnya di atas jeli anda            

5.2.  Anda akan lihat krim santan tenggelam seketika ke dasar jeli,
kemudian ia akan timbul ke permukaan jeli semula
kerana ketumpatannya  yang rendah


6. Sejukkan seketika di suhu  luar, kemudian barulah
dimasukkan dalam peti ais untuk mendapatkan suhu dingin
yang segar untuk jeli anda
6.1  Cantik kan?
Jeli anda sedia untuk dinikmati!

Sedapnyaaaa....!

Selamat mencuba!

Mencari yang halal itu adalah wajib.

No comments:

Post a Comment