Tuesday, 11 April 2017

AGAR-AGAR KEMENYAN RESEPI ZAMAN DULU-DULU

Ini adalah gambar hiasan diambil dari blog azian collection.

Pernah tak dengar nama kuih agar-agar kemenyan?  Orang-orang muda tentu tak pernah dengar kan? Kuih ni terkenal betul zaman Nurulsham kanak-kanak dahulu. Orang-orang tua suka buat, sebab rasanya sedap sangat.  Nak buat agar-agar ni pun tak sukar. Barang-barangnya pun tak mahal.


Masa Nurulsham bertunang dulu, kuih inilah yang jadi hantaran dari kami kepada pihak lelaki. Orang zaman dahulu bertunang simple je. Hantaran kuih-muih letak dalam pinggan sahaja. Tak perlu hias itu ini.

Yang kelakar tu, hari kenduri kahwin pun, pengantin bajunya warna lain-lain. Maklumlah zaman tu belum ada telefon.  Tak dapat nak bincang warna baju. Haha!

Seperti biasa... sukalah sangat terkeluar tajuk... ☺

Oklah, jom tengok bahan-bahan ye.

Bahan-bahan A:

  1. agar-agar 1/3 bungkus (kira-kira 5-7 g bagi bungkus 20 g)
  2. secawan  santan pekat
  3. secawan air
  4. Secubit dua garam



Dari kiri-  Agar-agar yang telah dibasuh, santan, agar-agar kering (20 gram)

Cara-cara:




Masukkan agar-agar, sedikit garam dan santan ke dalam periuk kecil. Tambahkan air sedikit demi sedikit sehingga agar-agar hapus (bahasa utara) ataupun sehingga paras cecair tinggi sedikit dari paras agar-agar. Lebih kurang secawan air juga. Boleh tambah air sedikit lagi jika anda nampak masih banyak agar-agar yang timbul ya.

 (jangan marah saya... ini cara ukuran tok nenek kita zaman dahulu. Tak pakai cm dan ml)





Hidupkan api.  Kacau agar-agar anda sehingga larut.  Masak lagi sehingga mendidih.





Ambil sedikit agar-agar santan yang menggelegak tadi dan titiskan di atas tudung periuk logam.  Hembus untuk sejukkan. 

Ini adalah cara orang dahulu untuk memeriksa samada agar-agar anda sudah sedia disejukkan. Jika titisan agar-agar tadi mengeras seperti agar-agar biasa, maka agar-agar sudah sedia. Jika titisan itu tidak beku, sebaliknya hancur bila dipegang atau ditekan, maka anda harus biarkan agar-agar di tungku dapur anda menggelegak lagi sehingga airnya tersejat sedikit.



Tapis agar-agar santan anda dalam bekas dan sejukkan.


Setelah agar-agar beku, potong agar-agar anda berbentuk kiub.

Lihat agar-agar kiub dalam pinggan putih

Bahan-bahan B:


  1. 2/3 bungkus agar-agar (dari bungkusan 20 g)
  2. 1 ketul gula kabung atau secawan gula merah
  3. 4 cawan air 
  4. Gula secukupnya (jika masih kurang manis)
  5. Daun pandan
Gula kabung



Cara-caranya:



Masak air dengan gula dan daun pandan sehingga gula hancur. Tapis untuk buang kotoran.


Masukkan agar-agar dalam air gula, dan lihat adakah gula hapus ataupun tinggi sedikit dari agar-agar. Jika tidak tambahkan air sedikit lagi.

Jika terlebih pula sila kurangkan.


Masak agar-agar gula pula dengan api sederhana sehingga hancur.


Periksa tahap masak/kesediaan agar-agar gula menggunakan cara tadi iaitu dengan menitiskan sedikit agar-agar anda atas tudung periuk logam untuk melihat kekentalannya.


Tapis agar-agar gula anda dalam bekas atau loyang.



Masukkan agar-agar santan kiub ke dalam agar-agar gula. Sejukkan seketika, kemudian simpan dalam peti ais untuk mengeraskannya.

Potong kecil-kecil dan hidangkan pada hari panas. Hm... sedapnya... .

Masa Nurulsham buat berniaga bulan puasa dulu, ramai mak cik-makcik dan nenek-nenek yang beli agar-agar ni. Mereka siap tanya lagi, "Mana hang belajaq buat agaq-agaq ni... ."

Hahaha!

Bye semua!

No comments:

Post a Comment