Tuesday, 16 May 2017

CENDAWAN GORENG ALA ORANG BERNIAGA (BOLEH DIFROZENKAN SEHINGGA SEBULAN)


Cendawan goreng popcon kali ini agak berminyak sebab tidak dimasukkan telur
dalam adunan tepungnya. Jadi tepung agak menyerap minyak. Jika anda mahu
ia tak berminyak, jangan lupa gaul telur pada cendawan.

Assalamualaikum dan salam sejahtera sahabat Nurulsham semua.

Minggu ini selama dua minggu Nurulsham dan suami berpuasa ala vegetarian. Suami buat puasa putih manakala Nurulsham buat puasa sayur. Apa agaknya beza puasa putih dan puasa sayur ya?  

Puasa putih bermaksud tidak mengambil makanan daging merah seperti daging lembu, kerbau dan kambing, sementara yang lain boleh dimakan. Orang berpuasa putih ini juga biasanya tidak mengambil udang, ikan dsbnya dan hanya mengambil susu dan telur sahaja dari sumber berdarah.

Puasa sayur pula bermaksud tidak mengambil apa-apa makanan berasaskan darah seperti daging, ikan, ayam termasuk susu dan telur ayam. Setahu Nurulsham inilah yang dipanggil vegan.

Sumber protin bagi pengamal puasa sebegini biasanya diambil dari kekacang seperti kacang soya, kacau hijau, kacang dhal dan sebagainya.

Tentu anda tertanya-tanya mengapa kami mengamalkan puasa ala vegetarian ini. Sebenarnya suami Nurulsham kebelakangan ini berasa kurang sihat. Beliau memang ada masalah buah pinggang dan kencing manis. Atas nasihat beberapa orang saudara yang pernah mengamalkan puasa ala vegetarian ini selama sebulan, kandungan gula dalam darah dapat distabilkan dan buah pinggang juga dapat berehat kerana tidak perlu teruk memproses protin yang memang banyak dalam lauk pauk terutamanya daging haiwan berkaki empat.

Amalan puasa vegetarian ini juga ada dibuat oleh pengamal-pengamal tarekat dalam usaha mendekatkan hati dengan Sang Pencipta. Amalan makan makanan ala vegetarian ini dapat melembutkan hati. Malahan, pernah diamalkan di Eropah dan Amerika Syarikat zaman dahulu, hamba abdi tidak diberi makan daging kerana khuatir mereka jadi keras hati dan melawan tuannya.

Jadi, anda tidak perlulah rasa wajib mengamalkannya. Ini hanyalah pilihan untuk pesakit dan pengamal rohani. Siapa yang nak cuba dan rasai manfaatnya, silalah amalkan seminggu dua.

Baiklah, eloklah kita teruskan pada bahan-bahan untuk resepi kali ini.

  1. Cendawan tiram 5 pokok
  2. Tepung jagung 1 senduk (boleh dilebihkan jika anda mahu seluruh cendawan berpalut dengan tepung)
  3. Tepung suji 3 sudu
  4. Jintan manis direndam untuk dilembutkan dan ditumbuk halus
  5. Sedikit kunyit, serbuk cili dan garam
  6. Sebiji telur (bagi pengamal puasa sayur, jangan masukkan telur)
Cara-caranya:



1. Koyak-koyakkan cendawan dan basuh kemudian toskan
sehingga kering

2. Taburkan tepung suji ke atas cendawan. Tepung suji agak
kasar dan berbiji. Ia dibuat dari jagung dan sedap rasanya.

3. Gaulkan cendawan dalam bancuhan telur, Kemudian
 masukkan cendawan+telur in i kedalam bekas bertutup.
(pengamal puasa sayur jangan masukkan telur)

3.1.  Tuangkan bahan-bahan lain ke dalam bekas dan tutup bekas.
Kemudian goncang-goncangkan bekas sehingga semua bahan
sebati dan rata di sekeliling cendawan


4. Panaskan api dan goreng cendawan sehingga warnanya
keperang-perangn. Setelah itu boleh kaut keluar cendawan
goreng ini dan letak dalam penapis untuk keluarkan minyak.

4.1-  Jika anda hendak buat cendawan frozen, anda hanya perlu
goreng separuh masak sahaja, tapis dan sejukkan kemudian
simpan dalam bekas bertutup di dalam peti sejuk beku.

Nota- Nuruulsham pernah usahakan tanaman cendawan
dan goreng 5 kg cendawan frozen sehari.


5.  Cendawan yang siap digoreng bolehlah dimakan dengan
nasi, tempe goreng sambal, ulam-ulaman dan kekacang.
Anda akan berasa badan agak ringan setelah
seminggu mengamalkan puasa sayur ini

Selamat mencuba!

Jom lawat projek penanaman cendawan Nurulsham. Projek ini dijalankan pada tahun 2014 dengan membuat bangsal kayu berdindingkan dawai mata punai dan plastik hitam (berlubang). Cendawan sangat mahukan suhu gelap dan kelembapan yang tinggi.


Kami perlu menjirus bumbung bangsal 2 kali sehari, menanam tumbuhan sejuk di sekeliling bangsal seperti pokok pisang, dan sentiasa menyembur sabun antikulat ke lantai dan dinding bangsal.
 Cendawan ini akan menbesar dengan cepat iaitu dalam masa 2 jam ia telah berkembang dengan cantik.
 Ada kalanya, ia sekecil C (gambar di bawah) pada awal pagi, namun petangnya ia mula berkembang dan cepat layu jika tidak dipetik.
Projek ini sungguh menyeronokkan. Nurulsham mencari peluang lagi untuk menanam cendawan secara kecil-kecilan di rumah, In shaa Allah.

Bye semua!

No comments:

Post a Comment