Wednesday 17 May 2017

CATATAN PUASA SAYUR NURULSHAM HARI KE-3

Atas permintaan seorang sahabat Nurulsham yang mengalami sakit kencing manis dan darah tinggi, Nurulsham kongsikan apa yang telah Nurulsham makan sepanjang 3 hari berpuasa sayur ini.

Oh ya! Anda tentu hairan kenapalah Nurulsham bersusah payah hendak berpuasa ala vegetarian pula, sedangkan tiada disebut hal ini dalam Al Quran dan hadis. Sebenarnya Nurulsham buat puasa sayur ini yang dicadangkan untuk tempoh 2 minggu sahaja, bertujuan untuk memberi kerehatan pada buah pinggang dari terpaksa bekerja keras memproses protin dari daging, ayam dan lauk-pauk yang lain.

Nurulsham selalu mengalami masalah bengkak tumit bila makan daging. Masalah ini telah 15 tahun Nurulsham hadapi. Setiap kali makan daging, esoknya Nurulsham sukar berjalan.  Pernah Nurulsham berpantang makan daging hingga setahun kerana tidak tahan akan kesan sakit tumit tersebut. Setelah berpantang, Nurulsham pergi ke hospital untuk memeriksa tahap asid urik dalam darah dan Nurulsham didapati normal.

Dari sinilah Nurulsham belajar tentang puasa sayur ini.  Ada saudara mara yang berkongsi masalah mereka dan bagaimana puasa sayur telah membantu dengan izin Allah supaya kesakitan mereka berkurang.

Perlulah diingatkan ini semua berdasarkan kesesuaian juga. Ada saudara Nurulsham yang semakin sembuh dari kencing manis bila berpuasa sayur, namun ada juga yang tidak berkesan walaupun berpuasa lama. Semua ini dengan izin Allah jua.

Okaylah, jom lihat jadual diet Nurulsham.

Hari 1

Sambal soya (soya direbus kemudian dibuat sambal) + tauhu
 goreng+bawang goreng+kentang goreng

Cendawan goreng tepung 

Buah putat dan sayur kangkung mentah

Pengalaman Hari pertama Nurulsham, Nurulsham jadi kemaruk makan. Nasi makan hingga 3 pinggan sekali makan.  Rupa-rupanya, kalau tak makan lauk, memang tenaga seperti tiada. Suami Nurulsham yang berpuasa putih juga jadi letih, menurutnya.

Hari ke 2

Nasi dimakan dengan sayur-sayuran juga, ditambah sambal soya semalam.

Oleh kerana badan suami agak lemah, Nurulsham siapkan bubur kacang kurang santan. Suatu masa dahulu sewaktu arwah bapa Nurulsham masih hidup, beliau mengamalkan makan kacang hijau rebus bersama nasi untuk menguatkan lutut beliau. 



Barulah suami Nurulsham nampak kuat sedikit, Alhamdulillah. Kacang hijau mengandungi sumber protin yang banyak dan sangat sesuai untuk menguatkan betis dan lutut. Nurulsham sendiri rasa kuat sedikit walaupun pada mulanya betis rasa kejang setelah makan bubur kacang hijau ini. Nurulsham berurut sedikit dan bertungku, dan kemudian Nurulsham sudah boleh berjalan dengan selesa.

Malam ke 2 berpuasa sayur, Nurulsham rebus lagi kacang hijau supaya suami dapat makan pagi esok sebelum pergi kerja.  Ada yang Nurulsham masukkan dalam plastik dan bungkus seperti aiskrim Malaysia, tujuannya jika kami sudah jemu makan kacang hijau ini ala-ala bubur, kami boleh makan ala aiskrim pula!


Syukurlah, anak-anak pun suka. Apabila ia jadi dalam bentuk frozen begini, Nurulsham sudah ada bekalan untuk dua hari.  Jadi Nurulsham tidak perlu lagi merebus kacang hijau untuk hari ke 3.

Hari ke -3



Untuk hari ke 3, Nurulsham buat air soya sebagai minuman berprotin, dan juga buat tauhu telur. Untuk tauhu telur ini, Nurulsham harus masukkan 3 biji telur ke dalam 3 cawan air soya. Jadi pada hari ke -3  Nurulsham puasa sayur, Nuruslham ada mengambil sedikit telur sebagai makanan berprotin.

Dengan makan makanan dari kekacang, kami tidaklah terasa kemaruk sangat hendak makan nasi dan lauk. Badan pun rasa kuat sedikit dan mata Nurulsham yang kerap kabur, rasa agak jelas sedikit hari ini.

Kesan dari berpuasa sayur 3 hari ini, Nurulsham tidak berhenti berpeluh dan kulit terasa agak pejal dan kejap melebihi hari biasa.  Nurulsham bersyukur dan berhasrat untuk meneruskan puasa sayur ini sebelum Ramadhan menjelang.

Semoga bermanfaat ya. Wassalam.

No comments:

Post a Comment