Showing posts with label TEKNOLOGI TEPUNG. Show all posts
Showing posts with label TEKNOLOGI TEPUNG. Show all posts

Saturday 20 May 2017

CENDOL SAGU YANG MENYEJUKKAN BADAN

Kebetulan hari ini suami Nurulsham bawa balik tiga pokok pandan yang besar-besar dari tempat kerjanya. Ada kerja melupuskan hutan pandan di sana, dan sayang pula rasanya dibiarkan daun pandan terbuang begitu sahaja.

Nurulsham teringat nak buat cendol sagu, apa lagi sekarang musim panas dan hampir bulan puasa pula. Cendol sagu Nurulsham ini sebenarnya cendol biasa ditambah dengan sagu yang dimasak pekat seperti kuih sagu, namun dicedok(bukan dipotong) dan ditambah ke dalam cendol biasa tadi.

Inilah kali kedua Nurulsham buat cendol asas. Yang kali pertama buat, cendolnya kurang cantik. Kali ni Alhamdulillah... tekstur cendolnya lebih licin, kental dan sedap dimakan.

Untuk resepi cendol asas bolehlah klik  resepi cendol.

Untuk resepi cendol sagu ini, ianya sama sahaja cuma Nurulsham tambahkan sagu pula menggantikan pulut dan kacang merah. Cendol sagu ini sangat baik untuk kesihatan kerana ia menyejukkan badan.

Tok Anum dahulu rajinlah buat cendol sagu ini pada bulan puasa. Kalau ada yang kena demam dan batuk pun, Tok Anum akan buatkan juga untuk kurangkan panas dalam badan.

Oleh kerana Nurulsham guna banyak daun pandan (12
helai yang besar-besar), cendol hari ini hijau cantik
tanpa pewarna tambahan.



Kacau adunan cendol anda hingga likat dan agak berkilat. (lihat video)

Menggunakan penapis, tenyeh cendol ke dalam air berais
(resepi penuh klik link  resepi cendol.)

Bahan-bahan untuk sagu pula:
  1. 1 cawan sagu (direndam dan ditoskan)
  2. 2 1/2 cawan air

Bahan-bahan kuah:
  1.  Air gula merah
  2. Santan sederhana pekat (campur sedikit garam dan kukus)
  3. Cendol (tidak wajib)
  4. Ais secukupnya

Cara-caranya untuk masakkan sagu:
  1. Sagu dibersihkan dan dimasak dengan air menggunakan api sederhana.
  2. Sentiasa kacau supaya sagu tidak berkerak dan nampak jernih cantik.
  3. Masak sehingga tidak tertinggal butir putih sagu (semua jadi jernih)
  4. Tuang dalam loyang atau acuan dan sejukkan untuk keraskan sedikit.
  5. Siapkan air gula merah. Masukkan air gula merah dalam mangkuk, kemudian cedok sagu yang telah dikeraskan tadi menggunakan sudu
  6. Masukkan santan dan cendol (jika ada) dan masukkan ketul ais
  7. Sedia untuk dinikmati di hari yang panas.


Cendol dicampur dengan sanrtan dan sedikit garam.  Sagu
 pula diambil secawan dan dimasak dengan 2 1/2
cawan air pada api sederhana, kemudian disejukkan
 dalam bekas sebelum dicedok.

Selamat mencuba!

Sunday 14 May 2017

7 LANGKAH MEMBENTUK ROTI BUN SERUNDING/ CHICKEN FLOSS BUN


Assalamualaikum dan salam sejahtera semua sahabat Nurulsham. Pagi ini sungguh segar dan Nurulsham happy sangat-sangat. Semalam anak lelaki sulung balik dari kerja dan bawa seekor ayam bakar lebihan dari tempat kerjanya iaitu di sebuah restoran nasi ayam.  Sayang pula tengok ayam tersebut. Semua orang dah kenyang jadi siapapun tak mahu makan. Jadi sambil tengok TV dengan suami dan anak-anak, tangan Nurulsham ni pun mulalah mengirai ayam tadi.
Inilah hasilnya....
Agak-agaknyalah... apalah Nurulsham nak buat dengan ayam ni, ya?
Nurulsham pun tambahlah serbuk cili (cili digoreng dalam minyak, dikisar dan disimpan), serbuk kunyit, garam dan gula... lalu mula menggoreng tanpa minyak.  Akhirnya jadilah serunding simple ala Nurulsham ni.  Anda kalau rajin tumbuklah jintan manis dan jintan putih sedikit ya dan masukkan masa menggoreng. Rasanya akan jadi lebih sedap.

Nota- Serunding begini mampu tahan berbulan-bulan di dalam peti sejuk. Syarat, banyakkan gula dan kunyit dan goreng hingga betul-betul kering.

Pagi ini Nurulsham dapat idea nak buat chicken floss bun, atau bun serunding ayam yang ada dijual di bakeri. Hm... seronoknya... tak dapat dibayangkan sedapnya....! Hehe, belum buat tapi angan-angan bukan main lagi ye!

Jadi, kalutlah Nurulsham siapkan barang-barang untuk bun manis dan mula menguli. Nurulsham tak akan cerita cara buat sweet bun ye. Anda klik di sini resepi bun manis.

Baik, jom lihat cara membentuk bun serunding anda.
1.  Bulat-bulatkan doh anda dan tinggalkan
doh 10 minit untuk kuatkan gluten.

2. Lapik lapangan dengan minyak, kemudian
canaikan doh anda

3. Taburkan serunding ayam tadi
4. Gulung doh leper anda  supaya serunding
berada di dalam bun

5. Susun doh dalam loyang yang telah
 diminyakkan


Langkah 1-5- sila rujuk video jika kurang jelas.

6.  Campurkan putih telur bersama sedikit madu.
Boleh juga tambahkan susu tepung ditambah
air sedikit.

6.1- Sapukan di atas doh bun anda menggunakan
berus. boleh sahaja guna hujung jari jika
tiada berus.

Langkah 6-  Sila rujuk video jika kurang faham.

7. Akhirnya, taburkan bijan, keju mozarella
dan serunding ayam . Bakar dalam oven pada
suhu 250 darjah celcius atas dan bawah
selama 40 minit atau hingga kulit roti
nampak kekuningan.
Sedapnya!!!

Selamat mencuba!

Friday 12 May 2017

5 LANGKAH MUDAH UNTUK BUAT ISI LAKSAM

Assalamualaikum sahabat Nurulsham semua.  Anda suka makan laksam tak?  Nurulsham dan anak-anak suka sangat makan laksam ni sampai sanggup belajar. Ada kalanya, kami buat kuah laksa Penang, tapi kami makan dengan laksam yang dibuat sendiri.  Mengapa pula ya begitu?

Sebabnya, laksa kering yang direbus itu kurang baik untuk badan. Kalau orang sakit, tambahan pula yang melibatkan keradangan (dalam bahasa kita disebut angin), memanglah tidak bagus makan laksa kering ini. Kalau kata orang tua-tua, laksa ini adalah makanan yang dimasak dua kali...iaitu masak kali pertama ialah sewaktu penghasilannya, kemudian diawet dengan cara tertentu, kemudian bila hendak makan kita harus rebus semula.

Jadi, sebagai alternatifnya, Nurulsham belajarlah buat isi laksam ini (kuahnya Nurulsham tak pandai).

Baiklah, jom kita tengok bahan-bahannya:

  1. Tepung beras 3 cawan
  2. Tepung gandum 1/2 cawan
  3. Sedikit garam
  4. 1 senduk minyak
  5. Air 4 cawan
Cara-caranya:
  
1. Satukan bahan-bahan dan kacau sehingga sebati

2. Panaskan air dalam satu kuali besar.                

2.1.  Letakkan tapak logam di dasar kuali. Kemudian
letakkan loyang

2.2. Minyakkan loyang (Nurulsham guna pizza pan)

2.3. Tudung peralatan yang disediakan dengan tudung periuk.
Tunggu sehingga loyang panas.

3. Setelah loyang panas, tuangkan satu senduk bancuhan tadi
sehingga rata ke seluruh loyang.

3.1.  Tudung semula kuali anda dan tunggu sehingga adunan
yang dituang menjadi jernih
4.  Setelah jernih angkat loyang dari kuali

4.1.  Gantikan loyang baru yang diminyakkan,
ulang langkah tadi.

5. Gulungkan laksam anda dan sedia untuk dipotong dan dimakan!


Selamat mencuba!


Sunday 7 May 2017

5 LANGKAH UNTUK SIAPKAN CENDOL (ASAS)



Assalamualaikum dan salam sejahtera semua sahabat Nurulsham,

Hari ini Nurulsham nak share cara buat cendol. Terus terang Nurulsham tak pandai buat cendol dan memang sedang belajar. Dulu aruah ibu mertua memang pernah tunjuk caranya, dan kami buat sama-sama. Tapi Nurulsham  tidak ingat berapa banyak pecahan tepung yang digunakan. Resepi hari ini pun Nurulsham ambil dari google.


Gambar-gambar di atas diambil dari google.
Mula-mula kita lihat bahan-bahannya.




  1. Tepung beras 125gram atau 1 cawan
  2. Tepung ubi 50 gram (hampir 1/2 cawan)
  3. Tepung kacang 20 gram (1/5 cawan)
  4. Air 200 ml
  5. 5 helai daun pandan ditumbuk dan diambil airnya (lebih kurang 500ml).
  6. Air kapur 1 sudu kecil (ingat... air kapur, bukannya kapur pepejal ya!)
  7. sedikit garam
  8. Santan dan air gula melaka/merah secukupnya untuk di makan dengan cendol.
Cara-caranya.

Masak gula melaka dalam air. Gunakan api sederhana.


1. Campurkan 3 jenis tepung tadi, air, air pandan, air kapur
dan garam. Kacau sehingga bancuhan sebati 

2. Kacau bancuhan tadi di atas api sederhana sehingga
agak liat dan berkilat.
2.1.  Tutup api. Sementara anda mengacau tadi, jerang air
di dalam periuk yang lebih besar.
2.2.  Periuk bancuhan yang telah masak kemudiannya diletakkan
 di atas periuk berair panas. Ini adalah untuk mengelakkannya
 menjadi keras sebelum ditekan dalam acuan lubang.
3. Sediakan air ais dan penapis berlubang besar.
3.1. Ambil satu senduk adunan cendol dan tenyehkan di
dalam penapis berlubang.
3.2.   Cendol halus yang terhasil biarkan
 jatuh dalam air ais supaya ia mengeras dan tidak melekit.
3.3. 

4. Tenyeh hingga habis adunan. Simpan cendol yang terhasil
dalam air ais. air ini mengandugi kapur dari cendol
jadi ia lambat basi.


5.  Hidangkan bersama santan, air gula melaka/merah, kacang, pulut dan ais.
(Gambar ehsan dari Google)

Selamat mencuba!!

Untuk cendol orang berniaga, klik sini.

Thursday 4 May 2017

MEE TARIK ALA AXIAN ASIAN FOOD CHANNEL

Mee tarik tabur kuah pedas, minyak bijan , siput lala dan
 sayur salad. Sedap dan kental  sangat-sangat...yum yum!

rujuk cara buat mee tarik terbaru di Youtube:


Inilah salah satu dari impian Nurulsham yang Nurulsham ingatkan sampai mati pun tak mampu buat...huhuhu. Tapi dengan izin Allah, hari ni jadi juga mee tarik yang merupakan kepakaran masyarakat cina ini.

Sebenarnya, Nurulsham juga ada darah cina sebelah aruah bapa. Nenek moyang sebelah aruah bapa dahulu adalah bangsa cina Islam dari Selatan China. Mereka datang dan buka kampung di tanah Kedah ini (sekarang Seberang Perai). Moyang Nurulsham, dipanggil nama Tok Penghulu Bakar, atau Tok Kaq adalah penghulu pertama di kampung  Tasek Chempedak ini. Kalau datang ke kampung ini, masih boleh jumpa orang-orang tua bermata sepet, putih melepak dan bertubuh kecil yang merupakan dari keturunan nenek moyang Nurulsham juga.

Okay... dah habis cerita tentang salasilah...  . Haha! Suka keluar tajuk... kan?

Jom kita lihat resepi Mee Tarik Ala Axian ini. Axian adalah pengacara makanan yang sangat Nurulsham minati. Beliau memandang pembuatan makanan sebagai satu seni, satu perjalanan sejarah dan satu keindahan hidup penuh kebahagiaan.


Kenal tak orang yang Nurulsham maksudkan ni?  Nurulsham paling suka bila dia ketawa.. kelakar benar bunyinya! Seronok betul tengok beliau tarik mee ni supaya jadi halus dan panjang dalam satu siri perjalanan beliau melihat mee tarik Bak Kut Teh. Beliau seorang yang amat merendah diri... so humble... dan sangat perihatin dengan orang-orang tua.

Aduila... terkeluar tajuk lagi. Maaf ya.  Jomlah kita cepat-cepat lihat bahan-bahannya.☺☺☺☺☺

  1.  2 cawan tepung
  2. Semangkuk air (yang ini Nurulsham tak pasti sukatannya. Tapi Nurulsham akan ajar cara mengagak air)
  3. Sedikit garam untuk rasa. (jangan terlalu masin)
  4. Minyak 1/4 cawan
Untuk siapkan memelukan.
  1. Banyak minyak (untuk 'memujuk' tepung)
  2. Air masak menggelegak (untuk merebus mee)
Cara-caranya.

1. Di atas dulang, tuang sedikit minyak, garam
dan air ke atas tepung.

2. Gaul-gaulkan bahan sehingga sebati. Jaga-jaga dengan
air. Tuangkan sedikit demi sedikit sambil gaul tepung,
sehinggalah semua tepung telah sebati dengan air.
3. Jika doh rasa terlalu keras, anda boleh tambah air...
tetapi ada kaedahnya. Lubang-lubangkan
doh dengan hujung jari anda. Kemudian titiskan air,
 (seeloknya guna tangan anda juga) ke dalam
 lubang-lubang kecil itu. Kemudian teruskan menguli
sehingga doh cukup kental semula.

3.1.  Sesekali  penyek-penyekkan doh anda
dengan penumbuk anda. Kemudian uli lagi.
Ulang langkah ini hingga doh jadi betul-betul
kental dan kenyal tetapi lembut.


                                   
3.2.  Bentukkan doh memanjang dan pintalkan. Uli semula, kemudian pintal lagi.  Buat banyak kali supaya gluten dalam tepung menjadi sangat kuat.


4. Dengan meminyakkan tangan anda sedikit,
 uli doh memanjang. Gulung membulat doh yang sudah
memanjang ini supaya tidak melekat
antara satu sama lain.

4.1 . Susun begini, pastikan ada sedikit minyak
di doh.

4.2. Biarkan doh berlingkar seketika atau rehatkan doh



4.3. Lihat video. Lingkaran yang telah direhatkan tadi kini diletakkan di tempat tinggi, dan siapkan talam atau besen di tempat yang lebih rendah. Minyakkan tangan anda lagi. Kemudian anda ulang langkah tadi (langkah 4.2) pada doh anda. (Sila lihat video.)

4.4.   Anda harus seolah-olah 'memujuk' doh ini dengan cara menggesek/gosok/memintal doh dan buat lingkaran di dalam talam (bawah) pula supaya doh kurang melekat antara satu sama lain. Proses ini akan menguatkan lagi gluten dalam tepung.


5.1. Sekarang, anda boleh mula menarik
 (Mee Tarik ....   kan namanya?) doh anda
 menjadi semakin halus perlahan-lahan.
 Anda akan takjub melihat doh ini boleh
ditarikkan tanpa terputus. Anda tidak
 boleh kasar ketika ini, ya! Untuk lebih jelas,
sila lihat video di bawah.


6. Mee anda sudah cukup halus dan sedia untuk
dicelur/dimasak. Panaskan air sehingga menggelegak . \
Masukkan sedikit minyak dalam air. Masukkan mee
mentah anda

6.1. Rebus mee selama 3 minit atau sehingga
mee tarik anda sedikit jernih dan timbul.
Kacau menggunakan lidi atau copstik jika ada
 mee yang melekat.

6.2.  Siapkan sos pedas, lauk pauk, minyak bijan, minyak
bawang putih... atau apa sahaja mengikut kesukaan
 anda. Gaul-gaulkan mee anda dan taburkan sayur-sayuran.
 Mee tarik anda sedia dihidang.  Hm... sedapnya... .

6.3 Percaya tak, dari tepung, air, minyak dan garam (di sebelah kiri gambar.)..
dah jadi mee tarik yang cantik dan wangi (di sebelah kanan gambar)

Selamat mencuba!  Tadi anak-anak Nurulsham makan mee ini, mereka kata, "Sedapnya ibu... lagi sedap dari ramen!"   Ramen adalah mee jepun yang mereka beli sepeket RM5.00, rebus dan makan seperti makan Maggi.


Klik link di bawah untuk lebih teknik~
  1. Untuk mee kuning homemade  klik  
  2. Untuk kuetiau homemade klik
  3. Untuk belajar sifat gluten tepung klik  

Tuesday 2 May 2017

RESEPI CIPTAAN NURULSHAM ~ APPLE CINNAMON ROLL/BUN GULUNG KULIT KAYU MANIS DENGAN EPAL





Anda tentu tahu pai epal, hidangan manis dan harum yang dibuat dari kulit pai berintikan epal dan serbuk kulit kayu manis.

Kemudian, anda juga  pernah mendengar atau rasa sediri Cinnamon bun atau cinnamon roll atau roti gulung berinti kulit kayu manis, yang tak kurang aroma harumnya, apa lagi waktu baru siap dibakar.

Inilah hidangan-hidangan yang terkenal di negara Eropah. Hidangan sebegini direka untuk mengatasi cuaca sejuk (dengan mengambil banyak kulit kayu manis dalam masakan) dan mengatasi lebihan hasil kutipan epal di musim luruh yang terlalu banyak, sehingga dibuat epal cider, pai epal, cuka epal, jem epal dan sebagainya.

Teknologi makanan melibatkan buah-buahan seperti epal dan beri sebenarnya terjadi kerana manusia harus terus hidup di dalam cuaca dingin melampau yang tiada makanan. Lalu terciptalah jem, jeruk dan sebagainya. Untuk teknik mengawet jem sila klik Jem Nenas Ala Bavaria .

Hari ini Nurulsham hendak mengajar roti baru ciptaan Nurulsham iaitu Bun Gulung Kulit Kayu Manis Dengan Epal.  Anda jangan risau, resepi ini tidak mahal. Epal masih boleh dibeli dengan harga 60 sen sebiji... lebih murah dari buah pisang montel yang berharga seringgit sebiji. (Bukan sengaja hendak membanding... hanya mengajak anda mengubah pandangan sahaja)

Sewaktu Nurulsham belajar di Indiana, pokok epal ini boleh didapati sepanjang jalan dan lorong. Buahnya terbiar dan tidak berjaga. Kalau orang tua lama yang rajin, mereka akan kutip, buat jem, sider atau dijadikan pektin dan dibotolkan!

Keadaan yang sama boleh dilihat di Malaysia. Pokok betik begitu mudah hidup dimana-mana pun. Betik juga adalah buah yang boleh dibuat jem... dan buahnya yang muda boleh dibuat pektin atau bahan pemekat untuk jem dan acar (chuttney).

Baiklah, jomlah kita lihat resepi kita. Habis sudah dengan ilmu teknologi makanan ya..hehe!

Bahan-bahannya.


  1. Doh bun manis 300 gram (rujuk   Resepi Bun Asas)
  2. 3 biji epal, dikupas dan disagat (jangan kisar dalam blender kerana ia akan jadi berair)
  3. 2 sudu butter
  4. 1/2 sudu kulit kayu manis dikisar halus
  5. 1 senduk gula (kurangkan jika anda tidak suka manis)
  6. gula dan kulit kayu manis dikisar untuk tabur.




Cara-caranya:

1. Gaulkan epal, gula, serbuk kulit kayu manis dan butter.
Perah sedikit air lebihan dari epal.

2. Masak dengan api perlahan. Kacau kerap sehingga
 epal menjadi perang dan berkilat. Harus pastikan air
lebihan mengering.
2.1.  Inti epal yang sudah siap kering. Nurulsham kacau
guna lidi. Sangat mudah!
3.  Sapu tepung pada doh anda dan canaikan.

4. Sapu inti epal sehingga rata.
5. Taburkan sedikit serbuk gula dan cinnamon/kayu manis
menggunakan penapis atau pengayak
6.1.  Lihat video untuk cara menggulung doh dan memotong.

6.2.   Gulung rapat doh canai anda dan potong mengikut saiz
yang sama. Jangan terlalu pendak potongan kerana ia akan
jadi kurang cantik


7. Minyakkan loyang dan susun doh bun 
gulung berinti anda.

8.1.  Lihat video untuk proses melicau. Jangan risau, jika anda tiada berus, boleh sahaja gunakan jari. 


8.1- Jangan lupa licau atau sapukan campuran
putih telur, sediktit air dan susu di atas kulit
doh roti anda sebelum biarkan ia mengembang.
Kemudian tabur sedikit bijan.

8.2.   Simpan doh (di tempat bertutup untuk elakkan
kulit doh kering) setengah jam atau hingga doh
mengembang dua kali ganda.

8.3 Bakar dalam oven menggunakan api atas
 bawah pada suhu 250 darjah selama 40 minit
 atau sehingga warnanya keperangan dan berbau harum.

9. Taburkan campuran gula dan serbuk cinnamon sebaik
sahaja bun anda dikeluarkan dari oven.
Keistimewaan bun kali ini adalah kerana ia mempunyai inti epal yang sederhana manis dan sedap. Memang tidak puas makan. Anak-anak Nurulsham semuanya sukakan bun gulung ini. Anda pun boleh mencubanya.

Best sangat-sangat! Nampak tak inti epal tu?

Selamat mencuba. Jangan patah semangat. Nurulsham doakan anda semua, di Malaysia, Indonesia, Brunei, UAE, Singapura, Amerika Syarikat, Germany... dan semua peminat blog ini... dalam keadaan sihat dan dimudahkan semua urusan.

Bye semua!