Tuesday 23 May 2017

ROTI BURGER ALA NURULSHAM

Roti burger Nurulsham ditambah dengan kerepek bayam, telur mata kerbau, sambal, tomato dan taugeh. Semuanya homemade!
Assalamualaikum dan salam sejahtera sahabat Nurulsham semua di mana sahaja anda berada.

Nurulsham suka sangat makan roti. Pernah sekali waktu mengandung, Nurulsham nak makan roti sahaja dan tak mahu makan nasi. Tapi, roti yang dibeli biasanya ada bahan penambah yang Nurulsham memang allergy.  Jadi, mahu tidak mahu terpaksalah belajar buat roti sendiri.

Roti burger inilah yang paling Nurulsham suka buat. Memang best sebab bila siap kita boleh tambah apa-apa sahaja sesedap rasa... kan?

Oh ya! Untuk resepi asas bun manis, sila klik bun manis asas

Untuk membentuk roti burger adalah perkara paling mudah. Anda hanya perlu bulat-bulatkan menggunakan teknik yang Nurulsham tunjukkan di link di atas, ya.


1. Bulat-bulatkan doh dan simpan seketika.


2. Masukkan dalam acuan atau terus atas talam logam


3. Sapu pelicau (susu tepung+air masak) yang dibancuh
pekat.

4. Taburkan bijan

5. Biarkan doh naik selama 30 minit, kemudian bakar
dalam oven api atas bawah selama 30 minit pada suhu 250
darjah celcius

6. Pastikan kulit roti berwarna agak cokelat. Jika kurang
cokelat warnanya atau sekadar keperangan dikhuatiri
kulit roti tidak cukup keras


7. Belah bahagian tengah roti untuk dimasukkan isi burger

Wah! Burger anda siap untuk dinikmati.
Selamat mencuba!

Monday 22 May 2017

KERABU MANGGA KELAPA PARUT DISANGAI

Assalamualaikum dan salam sejahtera sahabat Nuruulsham semua.  Pernah tak anda makan kerabu mangga? 

Nurulsham suka sangat kerabu mangga ini. Ada beberapa jenis kerabu mangga yang Nurulsham pernah rasa contohnya mangga masam ditumbuk dengan ikan kering dan cili padi, kerabu mangga Thai (ala somtam), sambal mangga dan yang ini: kerabu mangga dengan kelapa parut disangai.


Kerabu mangga ini sedap dimakan dengan ulam-ulaman seperti pegaga, kemangin, beluntas dll
Nurulsham belajar buat kerabu mangga jenis ini dari Cik Ayu, iaitu biras Nurulsham. Cara ini biasa dibuat oleh orang-orang di kampung beliau di Titi Serong, sebuah kawasan penempatan bersawah yang sangat luas dan tentunya banyak pokok mangga, kan...?

Baiklah, jom kita lihat bahan-bahannya.
  1. Buah mangga putik
  2. Cili padi
  3. Kelapa disangai (goreng tanpa minyak)
  4. Ikan bilis goreng
  5. Garam dan gula secukup rasa.
  6. Ulam-ulaman
Cara-caranya:



1.  Sangai kelapa selama 5 minit sehingga sedikit perang

1.1. Kelapa yang telah siap disangai

Bahan-bahannya- kelapa sangai, ikan bilis goreng, bunga
 kantan, cili padi, mangga

Bahan-bahan ulaman


2. Sagat mangga halus-halus


2.1. Mangga siap disagat. Cantik kan?

2.2. Bunga kantan dimayang halus.


3. Tumbuk kelapa, cili padi dan ikan bilis goreng


3.1. Tumbuk hingga sederhana lumat

4. Campurkan bahan yang ditumbuk bersama hirisan bunga kantan dan mangga.
Gaul sehingga sebati. Jangan lupa tambah garam dan gula.

5. Kerabu yang lemak-lemak, masam, manis dan pedas ini siap dihidang
bersama ulam-ulam.
5.1. Sedap sangat dimakan dengan nasi, atau diratah dengan ulam terutamanya ulam pegaga gajah.

Selamat mencuba!

ROTI GOLOK CINNAMON ALA NURULSHAM

Kenapa ada 'Ala Nurulsham' pula ya?  Sebenarnya resepi roti golok viral yang anda lihat sebelum ini diambil dari resepi adunan donat, kemudian dipintal seperti mendandan rambut. Dan oleh kerana dandan ini mudah terbuka bila digoreng, maka roti golok ini dibakar supaya bentuknya tetap elok.
Jadi, oleh kerana hari ini Nurulsham berhasrat untuk membuat roti burger sebab suami suka makan... dan kebetulan pula ada doh lebih, Nurulsham pun mendandanlah doh ini supaya jadi seperti roti golok. Tak sempat dah sebenarnya nak buat doh baru roti golok yang sebenar.

Apa bezanya roti yang Nurulsham buat ni? 

Roti yang Nurulsham buat ini menggunakan tepung protin tinggi, jadi rotinya akan naik lebih lagi. Waktu memasak dan mengulinya juga lebih lama.

Untuk cara buat dan uli doh, sila klik bun asas.

Seterusnya, untuk membentuk dandan, sila rujuk cara-caranya di bawah ini.

1. Doh dibiarkan selama 1/2 jam atau setelah ia
 naik dua kali ganda. Jangan lupa tudungkan doh
anda supaya tidak terkena angin, ya.

2. Setelah itu, anda harus tumbuk doh anda untuk
mengeluarkan angin. Kini doh anda sedia untuk dicanai.
3. Menggunakan pisau doh, potong doh sebanyak
50 gram setiap satu
3.1. Sila pastikan ada 3 potong doh untuk membuat
setiap sebiji roti golok anda


3.2. Sila timbang jika mahu bentuknya 
sama besar.

4. Bulat-bulatkan doh anda. Setiap 3 ketul ini adalah 
untuk satu roti golok.

5. Ambil 3 doh dan uli memanjang untuk membentuk dandan
5.1. Picit hujung ketiga-tiga doh panjang tadi
supaya melekat sesamanya.
5.2.  Mulakan mendandan seperti mendandan tocang rambut
5.3. Picit hujung dan kejapkan supaya tidak terbuka
6. Siapkan pelicau, iaitu susu tepung ditambah sedikit air suam.
 Kacau sehingga kelikatannya kurang sedikit dari kelikatan
 susu pekat manis.
6.1. Sapu pelicau atas kulit bun anda, kemudian simpan
selama 1/2 jam untuk menunggu doh naik lagi.

7.  Bakar doh dandan anda dengan api atas bawah pada suhu
250 darjah selama 30 minit.

Nota- abaikan roti kacang di sebelah kiri
8.  Setelah roti siap dibakar, sapukan butter atau margerin
berkualiti (kerana anda hendak makannya mentah,
elakkan margerin murah ya) di atas kulit roti anda.


9.   Taburkan gula halus. Nurulsham gunakan pengayak/penapis
kerana gula Nurulsham ditambah sedikit serbuk cinnamon/kulit
 kayu manis untuk menyedapkan lagi roti golok ini.
Roti golok ala Nurulsham sudah sedia dimakan. Baunya wangi sangat kerana ada serbuk kulit kayu manis.
Sedapnya makan sampai tak sempat angkat kepala!

Memang sedap sangat roti ni. Sekejap sahaja dah licin 3 biji roti ni. Menyesal pula tak buat banyak-banyak tadi. Hehe!

Baiklah, untuk resepi roti golok viral (resepi ala donat), sila rujuk resepi di bawah ya!

Resepi ini Nurulsham ambil dari group FB, Masak Apa Hari ni..   .
RESEPI ROTI GOLOK VIRAL

Bahan-bahan:
● 1 Cawan air suam
● 1 Peket yis
● 4 Sudu gula
● 2 Sudu susu pekat
● 2 sudu planta
● 3 1/2 cawan tepung
● 1 biji telur
.
Cara-cara:
1. Campurkan yis dan air, biarkan yis rehat dan berbuih.
2. Telur dipukul sedikit.
3. Campurkan susu pekat, gula, planta dan telur ke dalam bekas berisi tepung  dan kacau hingga  sebati.
4. Curah bancuhan yis sedikit-sedikit ke dalam tepung tadi (Ikut pada keperluan tepung, ada masa tak perlu guna kesemua air bancuhan yis tadi. Asalkan uli menjadi doh yang lembut dan tidak melekat ditangan dah ok)
5. Rehatkan dalam sejam atau sehingga doh kembang 2 kali ganda.
6. Kemudian tumbuk-tumbuk doh yang sudah kembang tadi dan uli hingga cantik licin.
7. Boleh lah dibentuk dan diletakkan dalam bekas.
8. Rehatkan doh sekali lagi. Biar naik 2 kali ganda.
9. Sapu campuran susu tepung dan air suam (likat) ke atas kulit doh anda
10. Bakar menggunakan api atas dan bawah lebih kurang 30 minit atau sehingga masak dengan suhu 250˚c.
11. Keluarkan dan sejukkan atas redai, kemudian sapu permukaan roti dengan marjerin atau butter cup dan tabur dengan gula halus, siap.
.
Selamat Mencuba!

JOM KENAL ULAM-ULAMAN

Hari ni adik Nurulsham, Mimi namanya datang ke rumah bawa ulam-ulaman dan sayur-sayuran dari rumahnya. Apabila beliau mendengar Nurulsham buat Puasa Sayur, beliau pun sama teruja dan dikutipnya pucuk-pucuk muda dari kebun untuk diberikan pada Nurulsham.

Pucuk-pucuk kayu yang dibawanya semuanya menarik-menarik belaka. Asyik betul Nurulsham dengar penerangan beliau tentang khasiat setiap sayur-sayuran tersebut.

1. Beluntas
2. Selasih
3. Belalai gajah
4. Kemangin

1.  Bunga kantan
2. Pegaga   Gajah
3.  Belalai gajah
4.  Ceri Barbador
5. Selasih  
6.  Ulam Raja
7.  Kemangin
8. Pucuk Limau Purut
9.  Cili Padi/ Cabai Melaka
10. Ulam Raja
11.  Kemangin
12.Selasih
13. Bayam Pasir/kampung

Berikut Nurulsham senaraikan ilmu tentang ulam herba yang Nurulsham dapat dari Puan Mimi.


  • Belalai Gajah - mencegah kanser (namun tidak disyorkan pada orang yang sudah terkena kanser). Daun Belalai gajah ini sangat sedap dibuat goreng tumis dengan ikan bilis dan bawang putih. Nurulsham dah buat. Sedap sangat.
  • Selasih-  melancarkan darah. Dimakan begitu sahaja dengan sambal.
  • Kemangin- mewangikan peluh, Boleh juga dibuat ubat lelah dengan cara mengupar dan menyapunya di dada, baik untuk tenaga dalaman lelaki
  • Ceri Barbados- sangat masam. Kaya dengan vitamin C.
  • Ulam Raja- Mencuci darah dan menguatkan tulang
  • Pegaga Gajah - membaiki dalaman wanita, mencantikkan kulit dan amat baik untuk otak. Waktu kecil-kecil dahulu bapak Nurulsham akan rebus daun pegaga dengan akarnya dan bagi kami minum airnya untuk kecerdasan.
Setakat ini sahaja info yang Nurulsham ada. Selamat makan ulam-ulaman dan semoga anda semua awet muda selalu.

Sunday 21 May 2017

RENDANG PEDAS TOK ANUM RESEPI ZAMAN BERZAMAN

Nurulsham belanja gambar foto sedang masak rendang. Happy
sangat sebenarnya sebab dah lama tak buat rendang legend ni.

Assalamualaikum dan salam sejahtera semua. Lama dah Nurulsham teringin buat rendang ala Tok Anum ni. Tok Anum, emak Nurulsham berasal dari Parit di Perak. Orang sana pandai buat Rendang Tok, tapi Rendang Ala Tok Anum ini dah diubah suai untuk sesuaikan dengan selera orang Pulau Pinang. Dapat resepi ni pada Nurulsham, Nurulsham ubah sikit lagi dengan menambahkan serbuk kari. Ini kawan Nurulsham dari Johor yang ajarkan.

Rendang ni memang sedap. Nurulsham masa jual pizza dulu hari-hari buat rendang ni, sebab Nurulsham jual Pizza Rendang. Doakan Nurulsham ada masa ya untuk poskan ke sini resepi Pizza Rendang pula ya.

Ok, jom tengok bahan-bahannya.

  1. Ayam 1 ekor  dipotong 16
  2. Bawang besar 3 biji (kisar)
  3. Halia 2 ibu jari (kisar)
  4. Daun pandan 1 helai disimpul
  5. Kerisik RM1.00
  6. Serbuk kari 1 senduk
  7. Daun kunyit 3 helai dihiris nipis
  8. Gula merah 1 senduk
  9. Kunyit 2 sudu besar
  10. Asam gelugor 5 keping
  11. Serai 3 batang (kisar)
  12. Cabai kering 20-30 biji digunting dan direbus untuk lembutkan dan buang biji (kisar)
  13. Santan pekat dari sebiji kelapa atau lebih kurang 1/2 kg santan siap perah
  14. garam dan gula secukupnya

Cara-caranya.



1. Kisar bahan-bahan- cili rebus, bawang,
halia,serai sehingga hancur

1.1. Sementara itu basuh selawat ayam sehingga
bersih
2.  Masukkan ayam, santan, dan semua bahan-bahan lain.
2.1.  Pasang api sederhana, dan kacau bahan-bahan
 anda sesekali

Cantikkan warnanya!

3. Masak hingga naik minyak dan daging
ayam cukup lembut.


Sedia dihidang bersama lemang. Sedap sangat!

Selamat mencuba!