Showing posts with label TEKNOLOGI MENGAWET. Show all posts
Showing posts with label TEKNOLOGI MENGAWET. Show all posts

Sunday 14 May 2017

7 LANGKAH MEMBENTUK ROTI BUN SERUNDING/ CHICKEN FLOSS BUN


Assalamualaikum dan salam sejahtera semua sahabat Nurulsham. Pagi ini sungguh segar dan Nurulsham happy sangat-sangat. Semalam anak lelaki sulung balik dari kerja dan bawa seekor ayam bakar lebihan dari tempat kerjanya iaitu di sebuah restoran nasi ayam.  Sayang pula tengok ayam tersebut. Semua orang dah kenyang jadi siapapun tak mahu makan. Jadi sambil tengok TV dengan suami dan anak-anak, tangan Nurulsham ni pun mulalah mengirai ayam tadi.
Inilah hasilnya....
Agak-agaknyalah... apalah Nurulsham nak buat dengan ayam ni, ya?
Nurulsham pun tambahlah serbuk cili (cili digoreng dalam minyak, dikisar dan disimpan), serbuk kunyit, garam dan gula... lalu mula menggoreng tanpa minyak.  Akhirnya jadilah serunding simple ala Nurulsham ni.  Anda kalau rajin tumbuklah jintan manis dan jintan putih sedikit ya dan masukkan masa menggoreng. Rasanya akan jadi lebih sedap.

Nota- Serunding begini mampu tahan berbulan-bulan di dalam peti sejuk. Syarat, banyakkan gula dan kunyit dan goreng hingga betul-betul kering.

Pagi ini Nurulsham dapat idea nak buat chicken floss bun, atau bun serunding ayam yang ada dijual di bakeri. Hm... seronoknya... tak dapat dibayangkan sedapnya....! Hehe, belum buat tapi angan-angan bukan main lagi ye!

Jadi, kalutlah Nurulsham siapkan barang-barang untuk bun manis dan mula menguli. Nurulsham tak akan cerita cara buat sweet bun ye. Anda klik di sini resepi bun manis.

Baik, jom lihat cara membentuk bun serunding anda.
1.  Bulat-bulatkan doh anda dan tinggalkan
doh 10 minit untuk kuatkan gluten.

2. Lapik lapangan dengan minyak, kemudian
canaikan doh anda

3. Taburkan serunding ayam tadi
4. Gulung doh leper anda  supaya serunding
berada di dalam bun

5. Susun doh dalam loyang yang telah
 diminyakkan


Langkah 1-5- sila rujuk video jika kurang jelas.

6.  Campurkan putih telur bersama sedikit madu.
Boleh juga tambahkan susu tepung ditambah
air sedikit.

6.1- Sapukan di atas doh bun anda menggunakan
berus. boleh sahaja guna hujung jari jika
tiada berus.

Langkah 6-  Sila rujuk video jika kurang faham.

7. Akhirnya, taburkan bijan, keju mozarella
dan serunding ayam . Bakar dalam oven pada
suhu 250 darjah celcius atas dan bawah
selama 40 minit atau hingga kulit roti
nampak kekuningan.
Sedapnya!!!

Selamat mencuba!

Monday 3 April 2017

KUIH PAU SERI KAYA (BAHAGIAN 1)

Cuba teka apakah benda ini?

Assalamualaikum wrt wbt dan salam sejahtera semua sahabat Nurulsham...

Agak-agaknya.. apa benda tajam di atas tu ya? Pernah tengok tak?  Orang-orang lama tentu tahu apa benda ni... terutamanya mak cik-mak cik yang duduk di kampung.

Alhamdulillah, hari ni Nurulsham rasa sihat sedikit, dan rasa seperti hendak beriadah. Geram sebenarnya, hari-hari nampak pokok pisang kat hutan tepi taman tempat tinggal Nurulsham ni (Rumah Nurulsham tak ada tanah, semua bersimen... boleh berkebun dalam pasu sahaja).  Ada jiran Nurulsham yang rajin berkebun. Hutan dibersihnya lalu ditanam pisang, ubi kayu, labu, serai dan macam-macam lagi.

Hari ni Nurulsham minta sehelai daun pisang dari jiran yang baik hati ini. Niat Nurulsham nak buat kuih pau, berlapik daun pisang. Hm... pau macam ni... kalau dikukus, wanginya...  Masya Allah, tak tahu nak cerita. Ditambah pula dengan inti sekaya pandan. Hm... pecah kepala (sedap sangat)!

Di bawah ni Nurulsham belanja gambar Nurulsham kait daun pisang kat kebun hutan ni... menggunakan galah di atas (rujuk gambar). Galah ni Nurulsham buat sendiri dari kayu (penyapu sawang), pisau dan tali rafia.  Masa kecil dulu, hari-hari kena kait daun pisang, sebab Tok Anum (emak Nurulsham) buat kuih untuk diletak di warung-warung di kampung kami. 












Oklah... dah panjang cerita lagi kan... . Kalau nak cerita, satu novel pun belum tentu habis cerita kenangan zaman budak-budak dulu. Yang nyatanya, memang bestlah kalau teringat zaman dulu-dulu.

Baiklah... sebelum nak buat pau, kita kenalah buat sekaya pandan dahulu ya. Sebab dah lama tak makan pau  seri kaya pandan yang lemak, manis, gebu lagi marvellous tu.  Rindunya... .

Bahan-bahan untuk sekaya pandan:
  1. 1 cawan gula + 1 cawan air - buat gula hangus dan sejukkan
  2. 1 cawan gula + 3 biji telur - dipukul sehingga sebati
  3. 1 ½ cawan santan
  4. 5 helai daun pandan disimpul dan ditumbuk
  5. 2 sudu makan tepung jagung- dibancuh dgn sedikit air

Guna barang-barang asas yang murah sahaja, santan RM2,
telur 3 biji,  daun pandan 5 helai diikat dan ditumbuk
(daun pisang dipotong bulat adalah untuk kuih pau)

Gula dan air dimasak sehingga menggelegak
dan berwarna keperang-perangan. Sejukkan s
sebelum digunakan semula

Ikut turutan dari belakang : santan dan daun pandan, gula hangus,
tepung jagung, telur dan gula.

Cara-caranya:

Masukkan adunan telur yang dipukul dengan gula ke dalam periuk. Masukkan santan dan tepung jagung.




 Kacau sentiasa menggunakan  api sederhana.



 Masukkan gula hangus, kacau hingga pekat/mendidih.



Setelah nampak likat, masukkan dalam bekas dan sejukkan.




Seri kaya ini sesuai disapu di atas roti atau dijadikan inti kuih pau. Untuk cara-cara buat kuih pau, Nurulsham akan sambung esok ya. Sebab hari ni dah lewat malam dan tak sempat nak uli tepung.


Si bongsu nilah tukang rasa, seperti biasa. Mulanya, dia tak mahu makan roti yang Nurulsham sapukan dengan seri kaya ni. Katanya, "Tak mahulah makan sayur ni."  Pada sangkaannya, warna hijau pandan itu adalah sayur sawi yang dimesin hancur.  Aduh!  =)


Tak sangka sayur ni sedap juga! Oh... anak-anak...


Ok, selamat mencuba untuk seri kaya kita.  Kita tunggu sambungan untuk pau pula ya.

Bye semua.


Sambungan untuk buat pau, klik pau-seri-kaya-pandan-bahagian-2.

Saturday 1 April 2017

JEM NENAS ALA BAVARIA

Assalamualaikum dan salam sejahtera sahabat Nurulsham yang dikasihi semua.

Hm...  agak-agaknya, kenapalah ada gambar botol di sini ya? Sebenarnya, anak Nurulsham balik dari kursus dan dapat cenderahati botol ni.  Hm... bila lihat botol kaca yang cantik ni, terus Nurulsham teringat satu resepi yang sangat menarik, yang memerlukan botol cantik ni.

Awal pagi tadi, Nurulsham ke pasar cari nenas masak. Wah... seronoknya, tak sangka hari ni ada rezeki dapat jumpa nenas masak bersaiz sederhana. Nurulsham akan cari nenas yang besar-besar matanya, maksudnya nenas itu cukup manis.
Resepi jem ala Bavaria ini Nurulsham dapat dari sahabat Nurulsham, Puan Nida Lienke yang tinggal di Obermichelbach, Bavaria. Waktu itu kami sering berhubung kerana beliau membantu Nurulsham menyiapkan novel Andai Bavaria Takdirku.  Menurut Puan Nida, resepi ini beliau dapat dari ibu mertua beliau. Kebiasaan orang-orang Bavaria, mereka biasanya ada dua jenis taman di rumah masing-masing. Yang pertama ialah taman untuk tanaman bunga... yang sentiasa meriah dalam musim bunga... dan yang keduanya, taman herba dan buah-buahan. Taman kedua ini meriah dalam musim luruh di mana orang-orang Eropah akan mengutip buah-buahan untuk dijadikan jem dan jeruk.

Haha... biasalah Nurulsham ni, dah terlebih cerita... Jom kita mulakan dengan resepi kita. Ingat ya, resepi jem nenas ini tidak sesuai untuk tat nenas. Jem tat nenas harus ditambah tepung dan cukup keras supaya boleh dibulat-bulatkan, sedangkan jem ini sama seperti jem yang dijual di pasaraya.

Oklah, nenas dibuang kulit, lalu dibuang juga hidungnya. Kemudian dipotong kecil-kecil. Nurulsham akan buang pulur tengahnya kerana ia keras.

Masukkan potongan nenas ke dalam blender dan tuangkan juga dua cawan air masak.


Mesin sehingga halus.  Lihat puree yang terhasil dalam gambar.. Mengikut aruah ibu mertua Nurulsham, jem ini lebih elok jika disagat buahnya. Buah yang disagat, bila dimasak menjadi jem... jemnya akan bertali-tali dan nampak cantik.


Masukkan dalam periuk dan mula masak. Masukkan dua cawan gula. Tujuan gula adalah sebagai pengawet dan juga memberi rasa pada jem ini.


Sementara itu, rendam sehingga tenggelam,  botol dan tudung tadi dalam air masak. Tujuannya adalah untuk membasmi kuman.


Keringkan botol dan penutupnya. Pastikan tiada tertinggal setitis air pun di dalam botol anda.

Apabila puree nenas nampak agak jernih dan mula menggelegak, perahkan lemon (separuh) untuk memberi rasa dan sebagai pengawet.


Masak jem anda sehingga likat dan berkilat.

Nota :  Sewaktu Nurulsham masak jem ini awal pagi tadi, Ya Allah wanginya dapur dan seluruh rumah dengan bau jem di pagi yang sejuk... Subhanallah.


Masukkan jem anda ke dalam botol. Perah sedikit lemon di permukaan jem anda.  Lapkan sekeliling  mulut botol dari percikan jem jika ada.


Tutup botol jem anda secepat mungkin ketika masih panas. Ini untuk memastikan tiada udara luar sempat masuk ke dalam botol jem anda. Udara dalam jem yang masih panas akan mengeluwap keluar menyebabkan pemukaan jem anda kurang berudara.

Terbalikkan botol jem anda serta-merta. Anda dapat lihat ada ruang kosong di dasar botol jem tersebut. Apa yang berlaku, setelah udara panas meruap tadi, ruang dasar botol anda kini hampir vakum... atau pun tiada udara. Ini menyebabkan bakteria dan kulat tidak dapat hidup di dalam jem anda.

Jem yang diproses begini boleh disimpan (dalam keadaan terbalik) setahun di Eropah dengan cuaca sejuk keringnya, namun Nurulsham tidak berani mencadangkan berapa lama ia tahan di sini kerana cuaca kita panas dan lembap serta banyak bakteria dan kulat menyukai cuaca sebegini.

Selamat mencuba dari Nurulsham.


Wednesday 29 March 2017

BUAT PEANUT BUTTER SENDIRI

Assalamualaikum dan salam sejahtera sahabat Nurulsham semua..

 Pernah tak anda terfikir yang anda boleh buat peanut butter sendiri?

Nurulsham dapat idea nak buat peanut butter ni selepas rajin menonton ASIAN FOOD CHANNEL. Seronok tengok Jamie Oliver buat Walnut Butter sendiri untuk makan dengan roti homemade.  Wah! Terujanya Nurulsham... cepat je pergi beli kacang tanah dan cuba buat juga.

Sebenarnya Nurulsham ni memang seorang yang cepat teruja bila dapat tahu, makanan yang selama ini kita kena beli... sebenarnya boleh buat sendiri di rumah. Memandangkan makanan beli ini biasanya ada additive, dan Nurulsham pula memang tak tahan makan makanan begini, jadi Nurulsham sentiasa cari cara nak buat sendiri dan makan masa masih fresh. Kalau dah cuba buat dan jadi, Nurulsham akan rasa lega sangat dan puas hati. Haha!

Oklah, dah habis berceloteh. Jomlah kita tengok resepi peanut butter ni. Kawan-kawan nanti bila dah buat dan menjadi, sharelah dengan Nurulsham di ruang komen ye. Atau share di Facebook Nurolshamshi Saidin. Seronok sebenarnya kalau resepi kita orang boleh buat, apa lagi kalau boleh buat berniaga. Nurulsham dulu pernah berniaga Donat Peanut Butter, menggunakan peanut butter sendiri ni. Pembeli memang suka lah, sebab sangat sedap!

Bahan-bahannya:


  1. Kacang tanah mentah 300 gram
  2. gula  1 senduk (boleh ditambah atau dikurangkan mengikut selera anda)
  3. garam secukup rasa
  4. sedikit minyak jagung atau minyak sawit


Cara-caranya:

Kacang tanah dibasuh selawat dan ditoskan sehingga betul-betul kering. Panaskan kuali, dan gorengkan kacang tanah tanpa minyak. Ingat, jangan letak minyak kerana kacang tanah mudah hangit. Lagipun kacang tanah ini, kita pun tahu ia ada minyaknya sendiri.

Maaf, harini tak ada gambar Nurulsham sedang goreng
 kacang ni, sebab awal tadi kamera tablet Nurulsham rosak.

Sewaktu menggoreng, anda digalakkan menekan kacang tersebut dengan  dasar sudip. Tujuannya adalah untuk memisahkan kacang dari kulit nipisnya. Apabila kacang tanah anda sudah hampir masak, kerja memisahkan kulit menjadi semakin mudah.

Untuk memastikan kacang telah betul-betul masak, anda ambil sebiji dan gigit. Rasanya akan sama seperti kacang goreng tanpa minyak yang dijual di kedai, namun kacang itu tidak keras kerana minyak dalam kacang sedang cair disebabkan haba panas.

Kulit yang telah terpisah tadi, boleh sahaja dihembus perlahan. Ia akan terbang keluar dari kuali. Ini cara orang lama, sesuai untuk makan sendiri di rumah sahaja. Kalau anda hendak buat berniaga, cara lain yang boleh digunakan ialah dengan memasukkan kacang yang telah masak tadi ke dalam talam lalu ditampi untuk memisahkan kulitnya yang ringan dan kacangnya yang lebih berat.

Setelah itu, masukkan kacang yang masih suam itu (jangan terlalu panas), garam dan gula ke dalam blender. Masukkan semua kacang tadi dan tuangkan 1 atau 2 senduk minyak untuk memudahkan anda mengisar kacang tadi.


Perhatikan kacang anda telah dikisar
sederhana halus dan nampak basah
 Masukkan kacang yang telah hancur tadi (separuh dahulu)  ke dalam blender kering untuk menghaluskannya lagi. Mesin beberapa kali sehingga anda nampak teksturnya seperti cair. Sebenarnya, waktu ini, minyak dari kacang juga telah mula keluar dan berpadu dengan minyak jagung atau sawit anda tadi. Minyak kacang ini walau bagaimanapun akan beku semula apabila peanut butter anda sejuk nanti. Jika disimpan dalam peti ais, peanut butter anda akan mengeras sedikit kerana minyak ini membeku lebih lagi kerana suhu sejuk.


Peanut butter anda mula kelihatan cair.
Simpan peanut butter anda dalam bekas berpenutup. Masukkan separuh lagi baki kacang hancur (dlm blender basah) untuk dihaluskan dalam blender kering. Ulang langkah di atas.





Peanut butter yang telah siap dimasukkan dalam bekas bolehlah disimpan dalam peti ais. Nurulsham tak pasti berapa lama ia boleh disimpan kerana selama ini, Nurulsham tak sempat simpan pun peanut butter homemade ini sebab sekejap sahaja licin dimakan anak-anak!  ;)
Sedapnya anak bongsu Nurulsham ni
makan roti disapu peanut butter homemade ni.
Siap bawa bekal ke sekolah lagi..
Selamat mencuba!

Nurulsham nak minta jasa baik kawan-kawan untuk surf dan klik iklan yang ada di atas header blog Nurulsham. Ini adalah untuk menyokong pengiklan yang bantu kewangan Nurulsham dan anak-anak. Jangan risau, anda tidak perlu bayar apa-apa untuk surf. Terima kasih diucapkan atas keprihatinan anda semua.