Hm... agak-agaknya, kenapalah ada gambar botol di sini ya? Sebenarnya, anak Nurulsham balik dari kursus dan dapat cenderahati botol ni. Hm... bila lihat botol kaca yang cantik ni, terus Nurulsham teringat satu resepi yang sangat menarik, yang memerlukan botol cantik ni.
Awal pagi tadi, Nurulsham ke pasar cari nenas masak. Wah... seronoknya, tak sangka hari ni ada rezeki dapat jumpa nenas masak bersaiz sederhana. Nurulsham akan cari nenas yang besar-besar matanya, maksudnya nenas itu cukup manis.
Resepi jem ala Bavaria ini Nurulsham dapat dari sahabat Nurulsham, Puan Nida Lienke yang tinggal di Obermichelbach, Bavaria. Waktu itu kami sering berhubung kerana beliau membantu Nurulsham menyiapkan novel Andai Bavaria Takdirku. Menurut Puan Nida, resepi ini beliau dapat dari ibu mertua beliau. Kebiasaan orang-orang Bavaria, mereka biasanya ada dua jenis taman di rumah masing-masing. Yang pertama ialah taman untuk tanaman bunga... yang sentiasa meriah dalam musim bunga... dan yang keduanya, taman herba dan buah-buahan. Taman kedua ini meriah dalam musim luruh di mana orang-orang Eropah akan mengutip buah-buahan untuk dijadikan jem dan jeruk.
Haha... biasalah Nurulsham ni, dah terlebih cerita... Jom kita mulakan dengan resepi kita. Ingat ya, resepi jem nenas ini tidak sesuai untuk tat nenas. Jem tat nenas harus ditambah tepung dan cukup keras supaya boleh dibulat-bulatkan, sedangkan jem ini sama seperti jem yang dijual di pasaraya.
Oklah, nenas dibuang kulit, lalu dibuang juga hidungnya. Kemudian dipotong kecil-kecil. Nurulsham akan buang pulur tengahnya kerana ia keras.
Masukkan potongan nenas ke dalam blender dan tuangkan juga dua cawan air masak.
Mesin sehingga halus. Lihat puree yang terhasil dalam gambar.. Mengikut aruah ibu mertua Nurulsham, jem ini lebih elok jika disagat buahnya. Buah yang disagat, bila dimasak menjadi jem... jemnya akan bertali-tali dan nampak cantik.
Masukkan dalam periuk dan mula masak. Masukkan dua cawan gula. Tujuan gula adalah sebagai pengawet dan juga memberi rasa pada jem ini.
Sementara itu, rendam sehingga tenggelam, botol dan tudung tadi dalam air masak. Tujuannya adalah untuk membasmi kuman.
Keringkan botol dan penutupnya. Pastikan tiada tertinggal setitis air pun di dalam botol anda.
Apabila puree nenas nampak agak jernih dan mula menggelegak, perahkan lemon (separuh) untuk memberi rasa dan sebagai pengawet.
Masak jem anda sehingga likat dan berkilat.
Nota : Sewaktu Nurulsham masak jem ini awal pagi tadi, Ya Allah wanginya dapur dan seluruh rumah dengan bau jem di pagi yang sejuk... Subhanallah.
Masukkan jem anda ke dalam botol. Perah sedikit lemon di permukaan jem anda. Lapkan sekeliling mulut botol dari percikan jem jika ada.
Tutup botol jem anda secepat mungkin ketika masih panas. Ini untuk memastikan tiada udara luar sempat masuk ke dalam botol jem anda. Udara dalam jem yang masih panas akan mengeluwap keluar menyebabkan pemukaan jem anda kurang berudara.
Terbalikkan botol jem anda serta-merta. Anda dapat lihat ada ruang kosong di dasar botol jem tersebut. Apa yang berlaku, setelah udara panas meruap tadi, ruang dasar botol anda kini hampir vakum... atau pun tiada udara. Ini menyebabkan bakteria dan kulat tidak dapat hidup di dalam jem anda.
Jem yang diproses begini boleh disimpan (dalam keadaan terbalik) setahun di Eropah dengan cuaca sejuk keringnya, namun Nurulsham tidak berani mencadangkan berapa lama ia tahan di sini kerana cuaca kita panas dan lembap serta banyak bakteria dan kulat menyukai cuaca sebegini.
Selamat mencuba dari Nurulsham.
No comments:
Post a Comment