Monday, 3 April 2017

KUIH PAU SERI KAYA (BAHAGIAN 1)

Cuba teka apakah benda ini?

Assalamualaikum wrt wbt dan salam sejahtera semua sahabat Nurulsham...

Agak-agaknya.. apa benda tajam di atas tu ya? Pernah tengok tak?  Orang-orang lama tentu tahu apa benda ni... terutamanya mak cik-mak cik yang duduk di kampung.

Alhamdulillah, hari ni Nurulsham rasa sihat sedikit, dan rasa seperti hendak beriadah. Geram sebenarnya, hari-hari nampak pokok pisang kat hutan tepi taman tempat tinggal Nurulsham ni (Rumah Nurulsham tak ada tanah, semua bersimen... boleh berkebun dalam pasu sahaja).  Ada jiran Nurulsham yang rajin berkebun. Hutan dibersihnya lalu ditanam pisang, ubi kayu, labu, serai dan macam-macam lagi.

Hari ni Nurulsham minta sehelai daun pisang dari jiran yang baik hati ini. Niat Nurulsham nak buat kuih pau, berlapik daun pisang. Hm... pau macam ni... kalau dikukus, wanginya...  Masya Allah, tak tahu nak cerita. Ditambah pula dengan inti sekaya pandan. Hm... pecah kepala (sedap sangat)!

Di bawah ni Nurulsham belanja gambar Nurulsham kait daun pisang kat kebun hutan ni... menggunakan galah di atas (rujuk gambar). Galah ni Nurulsham buat sendiri dari kayu (penyapu sawang), pisau dan tali rafia.  Masa kecil dulu, hari-hari kena kait daun pisang, sebab Tok Anum (emak Nurulsham) buat kuih untuk diletak di warung-warung di kampung kami. 












Oklah... dah panjang cerita lagi kan... . Kalau nak cerita, satu novel pun belum tentu habis cerita kenangan zaman budak-budak dulu. Yang nyatanya, memang bestlah kalau teringat zaman dulu-dulu.

Baiklah... sebelum nak buat pau, kita kenalah buat sekaya pandan dahulu ya. Sebab dah lama tak makan pau  seri kaya pandan yang lemak, manis, gebu lagi marvellous tu.  Rindunya... .

Bahan-bahan untuk sekaya pandan:
  1. 1 cawan gula + 1 cawan air - buat gula hangus dan sejukkan
  2. 1 cawan gula + 3 biji telur - dipukul sehingga sebati
  3. 1 ½ cawan santan
  4. 5 helai daun pandan disimpul dan ditumbuk
  5. 2 sudu makan tepung jagung- dibancuh dgn sedikit air

Guna barang-barang asas yang murah sahaja, santan RM2,
telur 3 biji,  daun pandan 5 helai diikat dan ditumbuk
(daun pisang dipotong bulat adalah untuk kuih pau)

Gula dan air dimasak sehingga menggelegak
dan berwarna keperang-perangan. Sejukkan s
sebelum digunakan semula

Ikut turutan dari belakang : santan dan daun pandan, gula hangus,
tepung jagung, telur dan gula.

Cara-caranya:

Masukkan adunan telur yang dipukul dengan gula ke dalam periuk. Masukkan santan dan tepung jagung.




 Kacau sentiasa menggunakan  api sederhana.



 Masukkan gula hangus, kacau hingga pekat/mendidih.



Setelah nampak likat, masukkan dalam bekas dan sejukkan.




Seri kaya ini sesuai disapu di atas roti atau dijadikan inti kuih pau. Untuk cara-cara buat kuih pau, Nurulsham akan sambung esok ya. Sebab hari ni dah lewat malam dan tak sempat nak uli tepung.


Si bongsu nilah tukang rasa, seperti biasa. Mulanya, dia tak mahu makan roti yang Nurulsham sapukan dengan seri kaya ni. Katanya, "Tak mahulah makan sayur ni."  Pada sangkaannya, warna hijau pandan itu adalah sayur sawi yang dimesin hancur.  Aduh!  =)


Tak sangka sayur ni sedap juga! Oh... anak-anak...


Ok, selamat mencuba untuk seri kaya kita.  Kita tunggu sambungan untuk pau pula ya.

Bye semua.


Sambungan untuk buat pau, klik pau-seri-kaya-pandan-bahagian-2.

No comments:

Post a Comment