Friday, 28 April 2017

CARA-CARA UNTUK SEDIAKAN JUS NONI/MENGKUDU PERAM

Salam Jumaat dan salam sejahtera untuk sahabat Nurulsham semua...

Memandangkan sekarang musim hujan petang yang lebat setiap hari... buah-buah mengkudu di pokok yang Nurulsham tanam banyak yang jadi besar-besar dan cantik... kemudian luruh begitu sahaja. Sayang pula rasanya dibiarkan terbuang. Lagipun, yang minum jus mengkudu segar  ni Nurulsham seorang sahaja.

Jus mengkudu memang bagus tetapi tak boleh juga diambil terlalu kerap. Kalau ikut kepercayaan orang melayu mengikut penggunaan dalam bahasa kita... kita katakan sebagai panas. Secara saintifiknya, apa yang Nurulsham faham, buah mengkudu mempunyai terlalu banyak enzim, sebab itu tak boleh juga diambil berlebihan.

Buah besar-besar untuk jus dan daun untuk bertungku.


Nurulsham pernah belajar cara menguruskan buah mengkudu mengikut cara orang Hawaii. Di sana, mengkudu akan diperam selama berbulan-bulan dan ada yang bertahun-tahun. Hasil peraman ini amat masam, dan diminum sedikit demi sedikit.

Buah mengkudu masak akan dimasukkan ke dalam botol. Lalu diperam di tempat panas sekurang-kurangnya 6 minggu sebelum boleh diminum.

Buah ini Nurulsham dah botolkan dan tinggalkan  di dapur.
Jangan masukkan dalam peti sejuk. Pemeraman ini
memerlukan suhu khatulistiwa yang panas.

Jangan terkejut, hasil peraman ini tidak akan basi, atau berkulat, atau berulat. Anda hanya perlu tutup tudung botol kejap-kejap. Kita yang manusia pun tak suka minum dan bau jus mengkudu ini... sama jugalah seperti serangga dan mikrob, pun tak sudi mendekati buah ini.  Apa lagi buah mengkudu yang diperam ini menghasilkan sejenis cuka yang sangat masam secara semulajadi. Jadi, tak perlulah anda risau hendak memasukkan pengawet, ya!

Untuk pengetahuan anda, daun mengkudu juga tidak disukai oleh serangga perosak tanaman. Anda boleh ambil daun mengkudu, kisar lalu ambil airnya, masukkan dalam tong racun serangga perosak lalu direnjis ke tanaman anda.

Proses pemeraman tradisional di Hawaii
Proses pemeraman secara industri


Syarikat-syarikat komersil yang menjual jus mengkudu peram @ cuka ini, biasanya akan mencampurkan  cuka ini dengan jus anggur untuk menghilangkan rasanya yang tidak sedap. Sebotol besar biasanya dijual dengan harga RM100 ke atas.
Produk noni di pasaran

Produk noni di pasaran


Ada juga produk cuka ini yang dijual seperti ubat titik di bawah lidah untuk menambah aliran oksigen dalam darah. Memanglah bahan berasid seperti cuka ini  mempunyai ion hidronium (H3O +) yang mempunyai lebihan molekul oksigen.

Sekiranya anda ada pokok mengkudu di rumah, bolehlah diawet sebegini dan diambil cukanya. Janganlah dibiarkan buahnya terbuang begitu sahaja. Tak baik membazir.

Mungkin anda boleh bantu sahabat-sahabat lain yang kurang sihat. Setiap makanan kesihatan itu haruslah diambil dengan bersederhana... dan ingatlah Allah sahajalah yang Maha Menyembuh.

Sekian... bye semua!

Jus mengkudu peram sedia untuk diminum.

No comments:

Post a Comment