Lama dah Nurulsham teringin nak makan donat. Selalunya Nurulsham akan rajin buat donat pada bulan Ramadhan kerana Nurulsham berniaga Donat Cokelat Cantik Ala Nurulsham. Donat ni memang special dan besar. Nurulsham jual sebiji seringgit sahaja. Budak-budak selalu minta ibu mereka belikan. Tak tahan tengok cokelat pada bulan puasa, kan?
Sebelum kita belajar menghias donat, eloklah Nurulsham perturunkan ilmu mendonat yang autentik ni. Dalam resepi kali ini, Nurulsham memang tak pakai vegetable shortening kerana baunya tak sedap walaupun ia akan melembutkan doh donat anda. Jadi Nurulsham akan guna teknik menguli sahaja, ya.
Jom kita belajar.
Bahan-bahannya:
- tepung gandum 1/2 kg
- yis 1/2 peket
- margerin 40 g
- gula 2 sudu besar
- susu tepung 2 sudu besar.
- telur 1 biji
- air suam 250 g (boleh lebihkan jika mahu doh lebih lembut tapi agak sukar mengulinya)
- sedikit minyak dan tepung untuk melapik talam/lapangan
- sedikit garam (tidak perlu jika margerin telah sedia bergaram)
Cara-caranya:
Langkah 1.
Margerin dan tepung digaul sehingga rata. Gunakan pisau plastik pemotong doh untuk menghancurkan margerin di celah-celah tepung.
Langkah 2
Buatkan lubang seperti kawah gunung berapi di tengah-tengah timbunan tepung bermargerin tadi. Masukkan telur, yis, gula dan susu di dalam kawah. Tuangkan air suam (lihat gambar)
Langkah 3
Perhatikan yis sudah berkembang biak. Anda akan dapat bau yis yang wangi sewaktu ini.
Mulakan menguli dengan mengaduk-adukkan bahagian tepung yang berhampiran kawah dahulu. Buat perlahan-lahan sehingga semua air terkena tepung.
Teruskan menguli. Anda akan dapati adunan anda akan melekit-lekit. Jangan risau, ini adalah biasa. Jika doh keras sedikit, kerja menguli lebih mudah tetapi donat anda akan kurang mengembang (kerana kurang air)
Langkah 4
Uli sehingga rata. Cuba tarik doh anda memanjang ke atas. Lihat adakah doh bertahan atau mudah putus. Jika doh mudah putus, gluten dalam doh anda belum kuat, jadi anda harus sambung proses menguli.
Langkah 5
Uli lagi sehingga doh terasa agak liat. Langkah kali ini sangat penting. Cuba tampar doh anda dengan tangan anda. Jika anda melihat ada selapis doh di tangan tercabut cantik (lihat gambar) dan anda juga dapat menarik doh selebihnya di tangan anda dengan mudah (tidak lagi melekit), maka gluten doh anda sudah kuat dan sedia untuk dicanai.
Langkah 6
Sekarang, kumpulkan doh anda setempat menggunakan pisau plastik tadi. Bersihkan talam/lapangan dari saki baki doh. Tinggalkan doh seketika untuk 5 minit bagi menguatkan gluten. Sementara itu basuh tangan anda dan keringkan.
Minyakkan tangan anda dan lapangan/talam.
Dengan bantuan minyak tadi, bulatkan doh anda.
Rehatkan doh anda sekitar 15 minit atau sehingga doh cukup kembang.
Nota: untuk memastikan doh kembang, tekan permukaan doh dengan hujung jari. Lihat adakah ia naik semula. Jika ya, doh anda sudah sedia/cukup kembang.
Langkah 7
Potong doh anda sama besar.
Bentukkan tangan anda seperti dalam gambar. Minyakkan sedikit lapangan. Golek doh yang dipotong tadi sehingga menjadi bulat.
Simpan doh anda dalam bekas bertutup selama 10 hingga 15 minit. Cara ini menggantikan teknik menutup doh dengan kain lembap. Ini adalah untuk memastikan pemukaan doh anda tidak mengering.
Langkah 8.
Lapik talam/lapangan dengan tepung untuk mengelakkan doh donat anda dari melekat ke lapangan.
Lapik juga doh bulat anda dengan tepung. Leperkan sedikit dan buat lubang donat anda dengan jari. Putar-putarkan jari sehingga lubang donat terhasil.
Simpan doat mentah anda kira-kira 10 hingga 15 minit lagi.
Langkah 9
Panaskan minyak dan goreng donat anda.
Wow! Donat yang gebu sudah sedia untuk dicelup cokelat dan dihias. Cantik tak donat ni?
Anda juga boleh goreng separa, sejukkan dan simpan donat anda dalam peti sejuk beku untuk menghasilkan donat frozen.
Donat ini sangat gebu dan wangi. Nurulsham akan tunjuk cara mencelup cokelat dan menghias donat dalam entry esok. Selamat mencuba!
Assalam.. nak tanya, kalu xletak susu twpung apa jd dgn donat tu ya?
ReplyDeleteBoleh ganti dengan susu pekat
ReplyDelete