Tuesday, 14 March 2017

ANXIETY DISORDER DAN TANGGAPAN MASYARAKAT 2

Tulisan ini adalah sambungan dari anxiety-disorder-dan-tanggapan.masyarakat

Assalamualaikum dan selamat sejahtera semua sahabat Nurulsham,

Hari ini Nurulsham akan sambung lagi tulisan Nurulsham tentang tanggapan masyarakat tentang penyakit Anxiety Disorder.

Selepas berjumpa Dr. Nabilah, kami pulang dengan perasaan masih keliru dan tidak pasti apa yang harus dibuat. Jika di pihak diri Nurulsham, Nurulsham risau dengan pandangan orang, di pihak suami pula... dia khuatir tentang ubat yang akan Nurulsham ambil jika benar disahkan menghidap penyakit ini. Suami Nurulsham benar-benar tidak suka kerana ubat untuk penyakit ini adalah drugs. Ubatnya adalah amat terkawal. Dan lebih merisaukan, dia khuatir Nurulsham terpaksa bergantung pada ubatan itu seumur hidup.

Apabila saudara bertanya, apa kata doktor tentang jantung Nurulsham, Nurulsham memberitahu yang kemungkinan masalah jantung ini berpunca dari otak, ramai yang kelihatan berubah wajah mereka. Bila disebut tentang otak... haluan fikiran masing-masing mungkin mula keliru untuk memikirkan apa pula masalah penyakit Nurulsham ini.

Lalu Nurulsham mula mendengar pendapat-pendapat, bahawa Nurulsham sebenarnya bukan sakit, hanya fikirannya sahaja berkata sedemikian.  Nurulsham mula perasan sesuatu, apabila ada segelintir yang datang, dan bertanya bagaimana keadaan Nurulsham, dan Nurulsham menjawab masih sakit begini begitu... maka Nurulsham mendapat pertanyaan begini, "Tak kan tak baik-baik lagi sakit tu?"

Sebenarnya, mereka ini tidak sedar... soalan itu amat kejam. Mereka tidak tahu, apa yang Nurulsham deritai adalah sakit sebenar, bukan rekaan. Ia sama seperti anda pergi pada pesakit kencing manis, atau pesakit kanser, dan berkata... 'Tak baik-baik lagi sakit tu?"

Pernah Nurulsham bercerita pada seorang kawan yang agak akademik tentang masalah ini, dan dia juga memberi pendapat sebegini, "Awak tak sakit sebenarnya. Fikiran awak yang kata awak sakit. Bapa saudara saya pun ada anxiety. Tapi dia hidup sampai umur 90 tahun. No problem."

Nurulsham membuat carian di laman web, lalu terjumpalah forum-forum yang membincangkan tentang anxiety. Dalam banyak-banyak perbincangan itu, dapatlah Nurulsham membuat kesimpulan, bahawa orang-orang di sekitar pesakit sendiri amat keliru, apatah lagi pesakitnya. Ada juga perkataan-perkataan yang kedengaran sama seperti kata-kata kawan Nurulsham, bahawa tiada pesakit anxiety yang meninggal kerana anxiety. Kalau meninggal pun, kerana sebab lain.

Masalahnya adalah apabila nama penyakit ini diterjemahkan ke bahasa melayu. Anxiety Disorder, diterjemahkan sebagai Kebimbangan. Maka ramai yang membuat andaian bahawa penyakit ini hanyalah berpunca dari fikiran yang terlebih risau... seperti bimbang yang biasa. Masalahnya, perkataan 'Disorder' itu dilupakan. Bila ada perkataan 'Disorder' bermaksud... mestilah ada sesuatu yang menyebabkan wujudnya disorder atau kecelaruan itu!

Lalu, buat sementara... Nurulsham senyap seketika, tidak menerima rawatan dari mana-mana. Bila bertanya pada suami, dia masih lagi berat untuk mengizinkan kerana tidak mahu Nurulsham bergantung pada ubatan penyakit ini yang berasaskan dadah terkawal. Malahan dia meminta Nurulsham berehat sahaja, dan tidak perlulah risau untuk bekerja itu ini. Dia faham isterinya sakit dan menerima Nurulsham seadanya.

Sebenarnya, apa yang berlaku itu... benar-benar timbul kerana tiada kefahaman dan pendedahan. Setelah mendapat reaksi negatif setiap kali bercerita tentang sakit ini, akhirnya Nurulsham tidak lagi bercerita bila orang bertanya. Hati ini tidak terasa untuk berkongsi, kerana setakat ini tiada siapa yang faham atau tahu tentang penyakit ini.

Lalu, sejak tarikh terakhir bertemu pakar kardiologi, iaitu pada awal tahun 2014...  Nurulsham tidak lagi pergi ke hospital untuk membuat pemeriksaan. Hanya menahan sakit di rumah, dan cuba berpantang makan makanan tertentu. Biasanya, palpitation ini akan menjadi semakin teruk bila tiba musim perayaan. Waktu perayaan, bermacam-macam juadah ada di hadapan mata. hendak menolak, khuatir tuan rumah kecil hati. Nurulsham paling tidak tahan dengan kuih muih berasaskan margerin. Kalau makan sebiji dua pun, serta merta sahaja jantung Nurulsham terganggu. Lagi satu, mee kuning. Pada pendapat Nurulsham, makanan ini ada bahan penambah (additive) yang kuat. Margerin sendiri telah melalui proses penghidrogenan yang menyebabkan ia mempunyai cas yang tinggi.

Namun, keadaan  Nurulsham semakin teruk kemudiannya. Nurulsham mula merasa menggeletar dalam tulang yang tidak berhenti-henti. Sebagaimana palpitation, rasa menggeletar ini juga membuatkan Nurulsham letih, dan tidak dapat bangun bekerja.

Waktu ini, Nurulsham mula terfikirkan... ada benarnya penyakit Nurulsham ini berkait dengan otak, kerana ibu saudara Nurulsham sendiri menderitai penyakit Parkinson dan sekarang tidak lagi mampu bergerak dan terpaksa diuruskan makan, minum dan sebagainya.

Rasa menggeletar itu, kemudiannya diiringi dengan satu lagi masalah lain. Nurulsham baru perasaan, bila ianya berlaku, tapak tangan Nurulsham yang berisi, tiba-tiba sahaja nampak nipis. Isi-isinya tenggelam, dan kulit menjadi sangat kering. Waktu itu, kalau Nurulsham cuba bercakap, perkataan yang keluar selalu tersilap dan amat sukar berfikir. Nurulsham juga mula jadi pelupa.

Mulai pertengahan tahun 2016, ada satu lagi masalah baru yang timbul. Nurulsham kerap rasa mabuk (seperti wanita mengandung) dan mabuk itu tidak datang kosong. Bersama-sama dengan mabuk itu, Nurulsham berasa otak ini sangat panas, dan ada kalanya Nurulsham terdengar bunyi berdetik-detik di dalam otak.  Nurulsham yang pada masa itu mengajar tuisyen sambilan, terpaksa memberhentikan banyak kelas kerana tidak mampu lagi mengajar. Kelas yang masih tinggal juga sering terpaksa dibatalkan.

Pada masa itu, suami Nurulsham membawa Nurulsham bertemu seorang pengamal perubatan tradisional di Jeniang. Seorang kawan suami memberitahu, bomoh ini pandai mengubat masalah berkaitan otak. Sewaktu bertemu dengan beliau, Nurulsham diberitahu bahawa sakit Nurulsham bermula dari urat saraf tunjang yang tersepit di tulang belakang berhampiran dengan jantung. Lalu isyarat ke otak menjadi keliru dan mengganggu semua fungsi badan. Jantung Nurulsham sebenarnya tiada masalah, katanya lagi.

Sedikit sebanyak, kata-katanya kedengaran logik. Waktu itu Nurulsham mula yakin untuk mencuba rawatan psikiatri yang dicadangkan oleh Dr. Nabilah.

Nurulsham terpaksa berhenti dahulu kerana tulang belakang amat sakit. Nanti kita bercerita lagi. Doakan kesihatan Nurulsham. Niat Nurulsham, selagi diberi nafas oleh Allah, Nurulsham ingin share pengalaman-pengalaman ini supaya ramai yang dapat mengambil manfaat darinya. Amin...

Wassalam.
Anak-anak merupakan penyebab utama untuk Nurulsham
teruskan kehidupan.

Pada umur yang muda, mereka memahami masalah yang
Nurulsham hadapi dan banyak memberi sokongan.
Update 3 Mei 2017, 11.21 mlm

Zauyiah Haji Saidin Ada tak support group unt masalah anxiety disoder ni.. klu ada mmg bagus sgt unt join group tu, dpt support menyaport satu sama lain serta mbuat perbincangan berkenaan masalah yg sama2 hadapi. Mcm km setelah join group autism mlysia, rasa lebih tenang dan bersemangat krn ramai yg rupanya senasib dgn km.
LikeReply115 March at 12:27
Nurolshamshi Saidin Anxiety ni orang belum tahu sangat Zauyiah Haji Saidin. Masalahnya, tuan punya diri pun tak tahu apa sakit dia. Most of the time, pesakit anxiety turut sama psikotik (ada masalah kewarasan)... sama macam OCD, fobia, panic disorder etc.
LikeReply115 March at 13:19
Nurolshamshi Saidin Autism pula boleh diketahui dari tuan punya diri masih kecil... jadi ibu bapalah yg ambik peranan, buat persatuan dsbnya
LikeReply115 March at 13:20
Nurolshamshi Saidin Kak pun, 17 tahun cari.... baru hari ni tahu
Zauyiah Haji Saidin Mudah2an akan ada support group tu satu hari nt. Org ramai wajar dieducate ttg masalah anxiety disoder ni. Bagus apa yg kak buat skrg ni.. mslh autisme ni pun lately baru ada kesedaran org ramai. Penghidap yg dah berumur pun kbyknnya skrg baru tau depa tu sbnrnya autisme, selama ni depa pun dok heran knpa depa lain drpd org..
Nurolshamshi Saidin Betul... itulah tujuan kak. Terima kasih Zauyiah Haji Saidin sebab memahami
LikeReply115 March at 14:04
Hasrul Zaimy Saya ada GAD ni. Kalau ada group sila add saya.
Nurolshamshi Saidin Nanti kita try cari ye
LikeReply215 March at 14:30
Nurolshamshi Saidin Cuba like page KUMPULAN SOKONGANANXIETY DISORDER MALAYSIA Hasrul Zaimy
LikeReply215 March at 14:50





No comments:

Post a Comment