Hari ini Nurulsham terasa mahu membincangkan tentang tanggapan masyarakat pada penyakit anxiety ini. Perbincangan ini tidaklah secara formal, sebab Nurulsham bukanlah ahli seperti doktor psikiatri atau kaunselor untuk membincangkan hal ini secara ilmiah. Apa yang Nurulsham akan tulis nanti hanyalah sedikit pendapat dan pengalaman mengalami penyakit ini.
Sebenarnya, sebelum Nurulsham pergi ke klinik psikiatri... dah lama Nurulsham buat kajian (chewah!) tentang penyakit ni. Ini adalah kerana sahabat Nurulsham, Dr Nabilah Khalid ada memberitahu yang dari cara dia melihat gejala yang ada, berkemungkinan besar itulah masalah yang Nurulsham deritai.
Pandangan awal sahabat Nurulsham itu dibuat setelah setahun Nurulsham berulang alik ke hospital Pulau Pinang. Mulanya, kes Nurulsham diambil oleh suami beliau, Dr Fauzi yang bertugas di Jabatan Kardiotorasic.
Di situ, jantung Nurulsham telah diperiksa menggunakan mesin Echocardiogram. Di situ, apa yang Nurulsham faham, mereka cuba melihat turbulence (macam pusaran), iaitu adakah darah dalam jantung berpatah balik. Apa yang Nurulsham faham, jika turbulence berlaku, ia bermaksud injap jantung tidak berfungsi dengan baik. Mereka juga boleh memeriksa jika otot jantung bermasalah.
Kesimpulan dari pemeriksaan itu, Nurulsham diberitahu bahawa jantung Nurulsham elok, otot dan injap tiada masalah. Lalu Nurulsham berkata pada mereka, "Kalau begitu memang saya tak sakit lah ya?"
Tapi, mereka suami isteri menjawab, "Tak... kami berpendapat masih ada isu, tapi bukan dari segi ini. Jantung awak ini, keadaannya seperti rumah yang telah siap elok dibina, tapi wiringnya tak elok."
"Wiring?" Kali ini Nurulsham dan suami pula yang keliru.
Lalu Dr. Fauzi memberitahu, maksud wiring yang dikatakan itu adalah isyarat elektrik yang dihantar dari otak ke jantung, berkemungkinan ada masalah. Sebab itulah degupan jantung ada kalanya sangat cepat, ada kalanya sangat kuat, dan selalunya pesakit akan dapat rasa yang degup jantungnya tidak sekata.
Waktu itu Nurulsham pun berceritalah, yang masalah debaran ni akan semakin menjadi bila Nurulsham tersilap makan, terutama sekali kalau makan makanan yang ada bahan kimia penambah seperti pewarna makanan, perasa dan pengawet.
Waktu itu Dr. Nabilah kehairanan, dan kemudian dia berkata yang masalah Nurulsham ini seperti masalah garam dalam badan. Waktu itu Nurulsham tidak faham apa yang dikatakannya.
Nurulsham juga perlu pergi ke Jabatan Pathologi untuk membuat pemeriksaan darah. Dr Nabilah adalah merupakan pakar di situ. Antara tujuan dibuat pemeriksaan darah, adalah untuk mengetahui adakah Nurulsham ada masalah tiroid, kerana ia juga boleh menghasilkan debaran jantung. Juga untuk memeriksa samada buah pinggang berfungsi elok atau tidak... kerana Nurulsham sering sakit sendi tangan dan kaki, sehingga ada kalanya tidak mampu memegang barang atau berjalan.
Keputusan pemeriksaan darah juga negatif. Maksudnya darah Nurulsham ok... tiada masalah-masalah yang disebutkan tadi, atau masalah lain berkaitan darah.
Dari situ, kes Nurulsham dirujuk ke Jabatan Kardiologi pula. Di sinilah Nurulsham terpaksa berulang alik setiap dua minggu selama setahun, ditemani suami.
Setelah melalui pelbagai pemeriksaan, termasuk Echocardiogram sekali lagi, Holter, Stress Test dan sebagainya, akhirnya doktor pakar membuat keputusan bahawa jantung Nurulsham tiada masalah... hanya berkemungkinan ada gangguan angin, dan Nurulsham diberi ubat angin... .
Waktu itu Nurulsham dan suami keliru sangat. Tak kanlah masalah angin, gejalanya sebegitu teruk? Nurulsham kadang-kadang mengalami palpitation sehingga seminggu, heart pounding (macam tangkap sejuk) bila cuaca sejuk sehingga Nurulsham tidak sedar diri. Nurulsham juga kerap jadi keras tangan, kaki dan lidah. Bila kena serangan, Nurulsham tidak mampu bercakap, tidak mampu mengatur langkah.
Waktu itu, Nurulsham belum mengalami tremor yang kuat dalam tulang. Masalah tremor yang kerap itu terjadi hanya tiga tahun kebelakangan ini.
Dan yang sedihnya, Nurulsham adalah seorang pelukis.... :( dan sekarang Nurulsham tak mampu lagi melukis. Hendak membuat bulatan pun tak boleh kerana ia sangat sukar. Lagi satu, nombor yang paling sukar bagi Nurulsham nak menulisnya, ialah nombor 8, kerana lengkoknya banyak.
Kami suami isteri, agak kecewa dengan jawapan doktor, lalu kembali bertemu Dr. Nabilah di Jabatan Patologi. Di situlah, Dr. Nabilah meminta Nurulsham bertemu doktor psikiatri, kerana pada pandangannya, Nurulsham mungkin ada masalah Anxiety Disorder. Waktu itu, Nurulsham tidak boleh terima hakikat. Setahu Nurulsham, anxiety itu penyakit kebimbangan... apa pula kena mengenanya dengan anggota badan dan organ dalaman?
Lalu Dr. Nabilah memberitahu, di United Kingdom, sekiranya pesakit begitu lama dirawat dan tak juga sembuh, mereka akan dirujuk ke psikiatri.
"Kenapa? Adakah sakit itu hanya di otak pesakit? Hanya ciptaan sendiri?" tanya Nurulsham. Maklumlah, terjemahan bagi Anxiety Disorder ini adalah 'Kebimbangan'. Teruk kan... persepsi Nurulsham masa tu?
"Salah pendapat Nurul tu," itulah jawapan Dr Nabilah. "Masalah anxiety yang teruk atau terbiar lama, boleh juga mengganggu tubuh badan. Saya risau kalau dibiarkan, bukan sahaja jantung bermasalah... saya khuatir kalau organ lain lagi terganggu sama."
Waktu itu Nurulsham jadi keliru seketika, tidak tahu apa yang harus difikirkan. Nama klinik psikiatri ini membuatkan Nurulsham risau. Nurulsham mungkin kuat, tapi penerimaan keluarga pula... bagaimana? Jika tiada penerimaan, bagaimana pula hendak mendapatkan bantuan dan sokongan?
Nanti Nurulsham sambung lagi, ya. Banyak lagi nak share. semoga bermanfaat untuk semua.
Beritahulah kawan-kawan dan saudara jika anda melihat mereka ada masalah seperti Nurulsham ini. Sebenarnya, pesakit anxiety ini, biasanya... dia sendiri tidak faham apa yang berlaku pada dirinya. Memang perlu sokongan yang kuat dari orang sekeliling. Apa lagi jika terkena anxiety yang mengganggu kewarasan fikiran, ini lagilah teruk kerana tuan punya diri tidak boleh berfikir untuk dirinya sendiri.
Sekian dulu ya... Wassalam.
Sokongan suami dan anak-anak amat Nurulsham hargai dalam menjalani hari-hari sukar. |
Bersambung... sila klik di sini
Salam Kak NurulSham. Saya Aisya dari Tunku Kurshiah College dan sekarang ni saya tengah nak kaji pasal hubungan antara anxiety dan art. Akak sudi tak kalau saya nak interview sikit melalui email / internet? Terima kasih banyak :)))
ReplyDeleteBoleh sahaja, Aishah contact/pm akak di FB Nurolshamshi Saidin
Delete