Thursday, 16 March 2017

AKU, MASYARAKAT INDIA DAN CINA

Si comel Wiskurni Qubaa, anak ke 5
Nurulsham yang berwajaan kecinaan,
mengikut keturunan cina sebelah aruah
bapa Nurulsham.
Assalamualaikum dan salam sejahtera semua sahabat Nurulsham....

Kali ini Nurulsham nak kongsi satu lagi cerita yang menarik, yang berjaya mengubah tanggapan Nurulsham pada kepelbagaian bangsa di Malaysia yang damai lagi permai ini.

Untuk mengambil mood ala-ala novel, Nurulsham akan gunakan perkataan aku...😀😁😁😁. Baru la ada unsur suspens dan thriller nya. Ok... selamat membaca!

Tengahari  itu matahari begitu galak memancarkan cahayanya. Panasnya Tuhan sahaja yang tahu. Terasa seperti ada haba yang keluar dari atas kepala. Peluh renek mula menjengok di celah-celah tudung.

Kereta kancil biru  yang kupandu, kini berada di simpang. Aku masih menunggu peluang untuk keluar dan membelok ke kiri. Kereta kepunyaan adik ini sudah agak uzur, namun amat berjasa pada kami. Apa yang tidak kami buat dengan kereta kecil comel itu? Sekecil-kecil hingga sebesar-besar barang telah pernah diangkutnya. Maklumlah, kami orang berniaga... . 

Kalaulah dia boleh bercakap... sudah lama agaknya kami disumpahnya.

Tatkala melihat peluang sudah ada, aku cepat memasukkan gear, lalu mula menekan minyak. Stereng kupulas untuk mengambil simpang ke kiri. Menderam bunyi sang kancil itu, lalu mencanak laju ia ke hadapan.

Adikku sibuk bersembang berbagai hal denganku, begitu bahagia menjadi penumpang yang boleh berehat.

Entah mengapa, tiba-tiba enjin terasa berat. Minyak kutekan, namun kereta kancil itu seperti mogok pula! Semakin ditekan pedal minyaknya, semakin dia perlahan dan mahu berhenti.

"Kak, apahal ni? Kereta tengah banyak, jangan bawa slow... bahaya!" kata adik, hampir menjerit.

"Tak! Enjin yang tak berfungsi!" aku memekik sama. Cemas bukan main lagi!

"Berhenti di tepi jalan, kak!" suruh adik, cepat.

Pergerakan kereta yang kini nampak lanjut itu, kuikuti sambil cuba bertenang. Stereng kuarah ke kiri, sehingga kancil itu betul-betul berada di tepi jalan. Kami berhenti di situ dengan perasaan lega buat seketika.

"Minyak habis, agaknya...," ujar adikku. "Kancil ni meternya gelong sikit... . Minyak penuh ditunjuknya 'empty', minyak tak ada ditunjuknya 'full' ."

"Rasanya minyak habis lah," balasku. "Stesen minyak jauh lagi tu..., hendak menapak, panas pula," aku merungut sendirian.

Kerana tiada pilihan, kami berdua keluar dari kereta comel itu, lalu melihat ke sekitar. Kawasan itu merupakan kawasan lengang, betul-betul di hadapan perkuburan hindu. Jika kami berpatah balik ke belakang... betul-betul dengan simpang tadi, ada sebuah kawasan taman perumahan kecil di situ.

Kami bercadang untuk berjalan ke kawasan perumahan itu, dan mencari sesiapa yang boleh membantu. Lalu, di tengah-tengah panas 'lit lit' bak kata orang utara, kami pun menapak penuh misi dan harapan.

Sampai sahaja di sana, kami nampak seorang lelaki cina sedang membelek-belek pokok markisanya yang sedang berbuah. Kami cuba meminta bantuannya, namun dia menggeleng-geleng kepala sambil menggoyang tangannya tanda isyarat tidak mahu berurusan dengan kami.

Aduh, kecewanya kami berdua. Aku dan adik saling berpandangan. Tidak tahu apa yang harus dibuat.

Sekonyong-konyongnya, aku ternampak seorang pemuda India, sedang menunggu sesuatu disebuah khemah berbumbung hampir dengan taman perumahan itu. Aku mencuit adik, lalu menunjukkan ke arah khemah itu.

"Jomlah kita minta bantuan dia," cadang adik.

Aku mengamati lama ke arah khemah itu, lalu perasan sesuatu yang aneh di situ. Rasaku, anak muda itu sedang bekerja menjaga sesuatu objek yang besar dan berwarna-warni. Semakin kuamati, barulah aku melihat yang dia sedang menunggu sebuah tokong cina yang dibuat dari susunan kertas keras yang dilipat-lipat seperti origami. Di hadapan tokong itu, ada banyak sembahan berbentuk hamper makanan yang besar-besar dan tinggi.

"Mengapa orang hindu pula yang jaga tokong cina itu?" aku tertanya kehairanan.

Namun pertanyaan itu kubiarkan tidak berjawab. Kami megayuh langkah penuh semangat menghampiri pemuda India itu. Dia yang dari tadi kehairanan melihat telatah kami, datang mendekati kami dengan cepat.

"Apasal kak?" tanya anak muda itu.

"Kereta kami habis minyak. Adik boleh tolong tak?" tanyaku, sambil menahan panah mentari.

"Boleh!" jawab anak muda itu tanpa bertangguh, "Kakak ada botol mineral kosong tak?" tanyanya lagi.

Aku dan adik saling berpandangan. Alahai... malang sungguh memang kami tidak teringat langsung untuk menyimpan botol kosong untuk saat-saat cemas begini.

"Takpa takpa... nanti saya cari botol," balasnya, faham akan kegusaran kami.

Lalu dia memanggil seorang lagi kawannya yang berada di luar khemah.  Mereka bersahut-sahut dalam bahasa tamil. Mungkin memperkatakan tentang hal kami. Seketika kemudian, rakannya menghidupkan enjin motorsikal, lalu mendekati kami. Anak muda itu memboncengnya.

Kala itu kami berasa amat kelegaan, kerana mereka tidak berat membantu. Aku memberikan duit not sepuluh ringgit pada anak muda itu.  

"Ok, kami pergi beli minyak," kata anak muda itu, bersungguh-sungguh. "Kakak don wori," jaminnya lagi.

Namun kelegaan kami tidak lama, bila dia berkata, "Kakak tolong jaga tempat ni. Jangan pergi lain tempat. Kakak duduk sini... depan sini!"

Mereka berlalu. Aku meneguk liur, lalu memandang adik dan tokong itu berganti-ganti.

"Kita kena jaga tokong ni lah, kak," ucap adik, resah.

Aku memandang semula ke arah tokong dan sembahan tadi, "Nampaknya begitu lah...," balasku, berat. "Tak kanlah kita nak biarkan, barang-barang ni mahal. Orang akan mencurinya kalau ditinggalkan," balasku, sama resah.

Kami berdua benar-benar rasa tidak selesa.

" Jomlah kita duduk di kerusi belakang. Kita jaga dari jauh. Sekurang-kurangnya kita nampak kalau ada pencuri," cadangku.

Kami mengambil kerusi paling belakang. Sambil menunggu di situ, adik bertanya, "Apa hukumnya kita menunggu tokong ini, dari segi Islam?"

Aku mengangkat bahu, tidak berani memberi pendapat. Mungkinkah ini termasuk dalam keadaan darurat? Namun, aku mengambil pendekatan begini, "Anggaplah ini sebagai membantu anak muda tadi. Kerana hasrat dia nak bantu kita, dia terpaksa tinggalkan tugasnya. Jadi, sementara dia pergi, kita harus gantikan dia supaya tugasnya terlaksana dengan amanah."

Kami menunggu dengan resah. Seketika kemudian, ada beberapa buah kereta mercedes menjalar masuk ke kawasan itu, lalu berhenti hampir dengan kami. Beberapa orang lelaki dan wanita cina yang nampak mewah keluar sambil melemparkan pandangan aneh pada kami.

Aku tahu, mereka datang untuk perayaan di situ. Kala itu, makin resah dan berdebarlah kami. Hanya Tuhan sahaja yang tahu.

"Ya Allah, cepat-cepatlah selesai hal ni," doa kami tidak putus-putus.

Syukurlah, doa kami diperkenankan. Seketika kemudian dua orang anak muda itu sampai dalam keadaan merempit. Terkocoh-kocoh anak muda itu turun dari motor dengan dua botol minyak petrol. Kawannya pula membawa motor lalu berhenti di hadapan sana, untuk menjaga tokong itu semula.

Kala itu, aku dapat melihat wajah-wajah keanehan di muka orang-orang cina tadi mengendur. Nampaknya, mereka sudah faham apa yang sebenarnya berlaku.

Anak muda itu membantu kami mengisi minyak, kemudiannya cuba menghidupkan enjin beberapa kali. Akhirnya enjin itu dapat dihidupkan....  syukur Alhamdulillah.

Sewaktu kami hampir bertolak, dia mengembalikan wangku sebanyak lima ringgit. Aku hampir terlupa tentang itu jika dia tidak mengingatkan.

"Tak apa, adik ambillah, sebab dah tolong kami," ucapku, terharu dengan sikap amanahnya.

"Takpa takpa... don wori kak," dia menolaknya dengan baik.

Dia berlalu. Kami masuk semula ke dalam kereta, lalu kereta kupandu dengan rasa penuh syukur.

Adik nampak amat terharu. Dia berkata sesuatu yang menyentuh hatiku, "Selama ni, cek (bahasa diri orang Penang) selalu pandang rendah pada orang India. Masa cek mengajar, cek anggap depa ni bising, rajin kacau orang... . Hari ni, barulah cek sedar, cek dah salah menilai. Rupa-rupanya, setiap orang tak kira apa bangsa pun, ada kebaikan dalam hati depa."

Aku angguk. Memang selama ini, aku mendengar pendapat-pendapat yang agak negatif dari mulut orang-orang di sekelilingku. Aku tidak suka pandangan yang sempit sebegitu, namun aku tidaklah menegur mereka.

Hari ini Allah menegur kami  dengan cara yang paling berhemah.  Memang teruklah, kalau kami tidak belajar.

Semoga anda dapat mengambil iktibar dari pengalaman kami ini.

Kalau anda berada di situasi kami, apakah tindakan anda? Nurulsham mengalu-alukan sebarang pendapat. Wassalam.

Pengalaman bercampur pelbagai bangsa seperti
orang Palestine, muslim Amerika, Turki, arab Mesir
dan pelbagai lagi membuka fikiran Nurulsham

No comments:

Post a Comment