Bagus belajar bahasa asing ini, Namun bila Nurulsham pulang ke Malaysia, bahasa ini langsung tidak digunakan. Rasa sayang sangat kerana lama-kelamaan, kemahiran yang baru berputik itu layu perlahan-lahan, sehingga hampir dilupakan.
Sebagai pelajar jurusan Fizik, Nurulsham memang digalakkan tahu Bahasa German kerana ramai saintis fizik yang hebat-hebat datang dari sana. Antara yang paling terkenal ialah Albert Einstein. Malahan, Makmal Cyclotron terkenal dunia juga berada di Austria. Itu antara sebab pelajar Fizik digalakkkan tahu bahasa ini, kerana jika berpeluang ke sana, kami sudah ada kemahiran berhubung.
Nurulsham juga ada kawan yang baik sehingga hari ini, namanya Tom Weidig, yang merupakan orang Luxembourg. Luxembergian juga berbahasa German, namun ada bezanya sedikit sebanyak. Lagi seorang kawan rapat Nurulsham, iaitu Brian Teipen juga adalah orang bangsa deutch (jerman) namun tinggal di USA. Brian sekarang bekerja di Germany.
Nak dijadikan cerita, Nurulsham bertemu semula kawan lama, Puan Aznida Ahmad yang berkahwin dengan orang Jerman dan tinggal di pendalaman Bavaria, Germany... iaitu di Obermichelbach. Menurut Puan Nida, beliau tinggal di kampung, di mana ada orang menternak lembu dan bertani di situ. Seronok sebenarnya mendengar cerita beliau tentang betapa cantiknya perubahan musim di sana.
Kami banyak berbual, sehingga terbit idea untuk menulis tentang Germany. Puan Nida bersetuju memberi maklumat tentang latar tempat, budaya dan penerimaan agama Islam di sana, manakala Nurulsham mencari konflik yang bersesuaian dan menyediakan plot untuk cerita tersebut.
Waktu itu terjadinya peristiwa berdarah Marvi Marmara, kemudiannya kejadian di mana kapal misi bantuan Rachel Corrie dari Malaysia yang tidak dapat masuk ke Palestin. Waktu itu keadaan amat menyedihkan di mana orang-orang Palestin terpaksa menahan kelaparan kerana pintu Rafah ditutup. Lalu Nurulsham berbincang dengan suami untuk menulis sesuatu tentang ini, supaya dapat membuka mata rakyat Malaysia untuk sama-sama merasa kesusahan orang Palestin.
Setahu Nurulsham, ada ramai warga Eropah terutamanya Belanda, dan warga Turki yang terkorban dalam misi bantuan Marvi Marmara. Malahan, nama kapal dari Malaysia iaitu Rachel Corrie sendiri diambil dari nama wartawan warga Amerika yang terkorban sewaktu sama-sama menentang kekejaman Israel.
Jadi, Nurulsham cuba menulis satu kisah di mana, kezaliman terhadap sesiapapun... akan tetap ditentang oleh orang-orang yang benar, tak kira apa bangsa dan agamanya. Ada aktivis dari agama Kristian dan Yahudi yang mengutuk kekejaman Israel ini secara terbuka dan berani. Salah seorang darinya, seorang berbangsa Yahudi namun Nurulsham telah lupa nama asalnya, telah Nurulsham abadikan dalam novel Nurulsham, yang Nurulsham namakan Professor Rick Van Kooten, yang juga merupakan journalist terkenal yang membantu suami Aisya (Olaf Schneider) melepaskan diri dari kekejaman MOSSAD.
Cerita ini hanyalah rekaan sebenarnya. Namun tujuan Nurulsham sebagai novelis dan penulis adalah untuk membuka mata pembaca kepada keamanan sejagat, keterbukaan pada semua bangsa dan agama namun masih kukuh dengan pegangan sendiri. Manusia dari mana-mana agama pun mahukan keamanan. Peperangan antara agama hanyalah satu alasan. Sebenarnya manusia berperang untuk perluasan empayar dan kuasa.
Kalau anda baca novel tersebut, anda dapat rasakan betapa kasih sayang Aisya pada anak-anaknya. Sebenarnya itu adalah refleks perasaan Nurulsham sendiri pada ketika itu yang terlalu kasih pada anak-anak. Juga anda dapat merasa betapa kesusahan Aisya menaikkan taraf ekonomi tanpa kehadiran seorang suami. Itu juga sedang berlaku pada Nurulsham pada ketika itu kerana suami Nurulsham amat tidak sihat pada waktu itu.
Puan Nida banyak membantu Nurulsham memahami geografi Bavaria, begitu juga musim-musimnya yang cantik. Beliau membantu sehingga ke tahap menceritakan tentang aroma setiap musim di sana. Nurulsham dapat bayangkan betapa indahnya keadaan di sana, lalu Nurulsham abadikan dalam novel ini.
Jika ada peluang, cubalah baca novel ini. Bukanlah Nurulsham hendak mempromosi diri sendiri. Nurulsham berkesedaran, bahawa menulis ini adalah ilham, dan ilham itu sepenuhnya dari Allah Taala. Nurulsham hanyalah perantara sahaja, yang mana tenaganya pun adalah pinjaman dari Allah Taala.
Banyak sangat inspirasi yang baik-baik dalam novel ini. Ilham yang indah dan bagus untuk digunakan dalam hidup. Tak rugi baca. Malahan Nurulsham dapat tahu, novel ni dah ada orang buat supaya boleh download percuma pun. Maklumlah, teknologi kan... Nurulsham pun dah tak terkejar. Nurulsham sedekahkanlah sahaja pada siapa yang download percuma tu. Anda boleh juga pergi ke perpustakaan untuk pinjam novel ini, bersama-sama dengan novel Nurulsham yang lain. Nurulsham sendiri tiada stok novel ini, jadi tak dapat nak bantu anda, ya. Mungkin anda boleh terus ke laman web publisher novel ini, iaitu GALERI ILMU SDN BHD, untuk membelinya secara online.
Nurulsham juga pernah hantar proposal drama yang diilhamkan dari novel ini, namun akhirnya pihak penerbit tersebut mengambil cerita ini, menukar tajuk dan konflik sedikit, lalu menayangkannnya sebanyak 13 episod di televisyen. Itulah hakikatnya yang terjadi di negara yang kita cintai. Menciplak sudah tidak menjadi kesalahan apa lagilah ketakutan. Ianya boleh dibuat secara terang-terangan.
Sekian dulu dari Nurulsham. Semoga ada sedikit manfaat dari pembacaan anda hari ini.
2020 saya baru berkesempatan menghabiskan novel puan. Terbawa-bawa fikiran dengan konflik serta keindahan di dalam novel ini. Seakan mahu minta puan sambung ke Andai Bavaria Takdirku Dua.
ReplyDelete