Wednesday, 7 June 2017

KEREPEK UBI KELEDEK

Entah mengapa, sambil kupas kulit ubu keledek masa hendak buat cucur keria, teringat pula nak buat kerepek ubu keledek untuk kudapan Raya. Kebetulan dapat keledek murah di C Mart tadi. Lagipun, tak susah nak buat kerepek ubi keledek. Tak banyak yang perlu ditambah. Hanya kena sabar waktu menggoreng sahaja.

Ubi yang telah dikopek tadi, Nurulsham sagat nipis-nipis. Jomlah tengok langkah seterusnya di bawah ni, ya!
1. Ubi yang telah disagat nipis



2. Panaskan minyak. Masukkan ubi yang telah
 disagat tadi. Biar seketika. Bila teksturnya
 sudah agak keras barulah dikacau dan
 diterbalikkan.


3. Anda akan lihat warnanya bertukar oren
yang sangat cantik bila ia hampir garing.

4. Angkat dan toskan minyaknya. Letakkan atas
kertas tisu atau kertas surat khabar untuk
menyerap baki minyak. Sejukkan sebelum
 disimpan dalam bekas kedap udara.

Selamat mencuba! Tak rugi buat. Kerepek ini sangat garing, rapuh dan ada rasa manis dari ubi keledek.

Saturday, 3 June 2017

SENI URAT DAN TITIK NURULSHAM SAIDIN- LUKISAN WARNA AIR

Sejak kecil lagi, Nurulsham sangat minat melukis. Waktu kecil, tapak lukisan Nurulsham adalah di atas tanah. Habis penuhlah tanah berpasir di halaman rumah kami jadi tempat melukis. 

Masih Nurulsham ingat, ada seorang kawan abang Nurulsham pernah geleng kepala sambil berkata pada abang, "Tiap-tiap kali aku datang, dia ni kerjanya melukis sahaja atas tanah ni." Haha! Sampai ada orang tegur begitu.

Tapi, walaupun suka, Nurulsham bukanlah gifted dalam bidang ini. Allah anugerahkan Nurulsham bakat menulis sejak kecil. Sewaktu berumur 11 tahun, Nurulsham dah hasilkan novel kanank-kanak namun tidaklah diterbitkan. Maklumlah... orang kampung yang hidup sekadaran... apalah yang orang tua-tua waktu itu faham tentang bakat anak-anak... .

Kerja melukis ini hanyalah hobi sampingan sahaja. Dan minat ini terkubur 6 tahun pula bila Nurulsham mengalami masalah saraf neuron dan sentiasa kejang tangan.

Alhamdulillah, selepas mengikuti rawatan dengan pakar, kekejangan ini makin sembuh dan bolehlah Nurulsham berkarya semula. Kali ini, Nurulsham hanya buat lukisan ringan-ringan sahaja ala fantasi yang Nurulsham namakan Seni Urat dan Titik. Memang belum mampu melukis yang lebih sukar dan menggunakan teknik mewarna yang banyak.  Lagipun, urat-urat yang Nurulsham buat dalam karya ini adalah satu usaha untuk merawat tangan Nurulsham juga.

Oklah... jom tengok karya kecil Nurulsham ini. Sweet tak? Ada yang tak berapa jadi sebab tangan sakit pula masa lukis tu.
Tajuk :  Sayap Fantasi

Tajuk :  Merah

Tajuk :  Urat

Tajuk :  Bunga Cop

Tajuk : Nipis

Tajuk : Corak Batik Retak Seribu

Tajuk :  Ros

Tajuk : Teratai

Tajuk : Rerama

Tajuk : Bunga lalang

Tajuk : Bunga kerinting.
Hehe.. siap ada tajuk pula!  Bukan apa sebenarnya... hanya nak tambah semangat pada diri sendiri untuk berkarya. Lagipun, Nurulsham ni kan novelis... orang bahasa. Semuanya nak dinamakan dan dikonsepkan.

Memang masih banyak kelemahan dalam lukisan kecil ini.

Secara peribadi, Nurulsham suka lukisan tak siap bertajuk Sayap Fantasi. Entahlah... memang sukalah lukisan yang nampak biru berbalam macam tu.

Nurulsham akan melukis lagi. Jumpa lagi!

Untuk info menarik tentang lukisan klik Jenis-jenis Lukisan.

Thursday, 1 June 2017

KUIH BANGKIT (GULA DAN SANTAN DISIRA) TANPA BAKING POWDER

Assalamualaikum dan salam sejahtera sahabat Nurulsham semua.  Hari ini Nurulsham nak kongsikan satu lagi resepi turun temurun yang telah diubah sedikit sebanyak sekarang ini. Inilah resepi kuih bangkit tradisi yang lain sedikit dari yang anda pernah lihat dalam resepi biasa.  

Sebenarnya, emak Nurulsham... iaitu Tok Anum pun tak pernah buat cara ini. Seingat Nurulsham, sewaktu Nurulsham kecil, Tok Anum pernah buat kuih bangkit, tapi menurut Tok Anum... ada cara lain lagi yang lebih baik dan biasa dibuat orang dahulu kala. Itu pun Tok Anum sendiri dengar dari percakapan orang-orang tua yang lain dan tak pernah belajar buat.

Kata Tok Anum, beliau pernah dengar orang-orang dahulu akan masak gula dengan air, dan air sira tadi akan disejukkan, kemudian barulah dimasukkan ke dalam tepung.

Lagi satu, kata Tok Anum, orang lama tak pakai pun baking powder untuk naikkan dan kembangkan doh. Sebaliknya, mereka akan simpan doh selama berjam-jam sehingga doh kembang sendiri!  Pelik tak?  Hm... yang ini Nurulsham akan ceritakan rahsianya secara saintifik di bawah ni... ya!

Nurulsham pun ada buat kajian sedikit, setelah mencuba pelbagai resepi yang ada di internet. Selama ini, memang tak pernah jadilah kuih bangkit tu. Kebanyakannya rosak, naik kulat dan berakhir di tempat buangan.

Namun, Nurulsham terjumpa satu link ke blog yang ada menceritakan tentang air gula disira dengan santan ini. Anda boleh rujuk di bawah nanti ya!

Oh ya! Jomlah kita tengok bahan-bahannya. Seperti biasa Nurulsham tiada sukatan yang tetap. Anda harus guna deria mata, sentuhan dll untuk menilai doh anda, ya!

  1. 1/2 cawan tepung gandum
  2. 2 cawan tepung ubi 
  3. 1 cawan gula pasir
  4. sedikit garam
  5. 1 1/4 cawan santan krim pekat (lebih kurang)
  6. 2 helai daun pandan
  7. sebiji telur saiz kecil (telur tak mahu banyak, nanti kuih anda basah dan keras)

Cara-caranya.

1. Tepung ubi dan tepung gandum disangai.    
             
1.1.  Potong sehelai daun pandan dan masukkan sewaktu
proses sangai untuk mewangikan tepung

2. Gula dan santan serta sehelai daun pandai dicampurkan.

2.1.  Masak perlahan-lahan di atas api sehingga jadi air sira
yang pekat .

Nota:  (maaf lupa ambil gambar proses
 menghasilkan sira ini ya!)

3. Jangan lupa tepung sangai dan air sira haruslah disejukkan
sebelum diadun menjadi doh.

3.1. Telur juga hanya guna sebiji sahaja. Hati-hati dengan
gambar telur tu ya! Jika terlebih telur kuih bangkit
 anda akan jadi padat dan basah!

4. Masukkan tepung ubi + tepung gandum
dalam bekas bulat supaya senang menguli.


5.  Masukkan sebiji telur yang telah ditimbuk sedikit.
Gaul-gaulkan supaya telur rata dalam tepung.

6.  Masukkan pula air sira sedikit demi sedikit dan gaul lagi.
Tambah lagi air sira jika anda lihat doh sukar melekat sesamanya.

7. Uli doh anda perlahan-lahan. Jangan terlalu kuat seperti
menguli roti. Nanti doh akan liat kerana ada tepung gandum.
Ingat, tepung gandum ada gluten dan mudah jadi kental

Doh yang sudah sebati.

8.  Canaikan doh anda dan terap dengan acuan kuih bangkit


9. Angkat menggunakan pisai doh. Untuk mudah mengangkat
Nurulsham cadangkan lapik talam tengan plastik cling
untuk mengelakkan doh yang dicanai melekat kuat ke
talam atau lapangan.

10. Susun kuih atas loyang yang diminyakkan sedikit.    

10.1.  Tudung kuih bangkit mentah ini untuk mengelakkan
angin dari mengeraskan permukaan kuih.

10.2.  Simpan doh ini selama 4 hingga 5 jam bertujuan untuk
memberi peluang pada doh untuk mengembang.

Penerangan:  Apa yang berlaku, air sira yang telah sejuk
 tadi telah menarik  kehadiran yis dari udara untuk hidup dan
 membiak dalam doh. Yis yang berespirasi ini
telah menghasilkan molekul  karbon dioksida yang
membuatkan doh naik sewaktu dibakar nanti

Anda boleh juga menggantikan kaedah ini dengan memasukkan
 sedikit baking soda
dalam tepung sebelum menguli tadi.
Nurulsham sendiri tidak suka tambah baking soda dan lebih
suka kaedah tradisi.

11.  Bakar dalam oven api bawah atau atas bawah pada
suhu 150 darjah selama 40 minit
@
200 darjah selama 30 minit

Nota- Anda harus kenal kemampuan suhu oven anda. Ia
mungkin berlainan dari oven Nurulsham.


Anda boleh lihat kuih anda telah 'bangkit' sedikit berbanding
dengan  sewaktu belum dibakar.

Lihat lapisan-lapisan seperti retak di tepi kuih bangkit
anda. Kuih bangkit yang sedap akan gebu di dalam
dan retak sedikit di luar. Ia juga cair bila masuk ke
dalam mulut 



Selamat mencuba!

Terima kasih pada blogger Along  kerana berkongsi kaedah warisan ini. Sila klik rujuk resepi

Monday, 29 May 2017

KUIH BADAK BERENDAM CARA TOK ANUM RESEPI ZAMAN BERZAMAN

Assalamualaikum dan salam sejahtera semua sahabat Nurulsham.  Hari ini Nurulsham sempat 'teropong' satu lagi resepi tradisional yang Tok Anum buat sepanjang bulan Ramadhan untuk tempahan majlis berbuka puasa dan untuk jualan di pasar Ramadhan.

Nurulsham belanja gambar Tok Anum sedang buat kuih
warisan ni. ❤☺☺☺.

Kata Tok Anum, kuih ini orang Parit panggil Badak Berendam atau Puteri Mandi. Tetapi, setahu Nurulsham badak berendam ada inti di dalamnya. Puteri Mandi pula di luarnya bersalut kelapa parut dimasak dengan gula merah.

Jadi, menghormati peninggalan warisan orang-orang di sana, Nurulsham akan ambil namanya sebagaimana yang Tok Anum sebutkan. Harapan Nurulsham, tiadalah pertikaian di sini..ya.

Perlulah Nurulsham ingatkan, resepi orang tua-tua ini, jarang-jarang ada ukurannya. Cara mereka menilai adunan dah elok atau belum adalah melalui deria rasa seperti memicit, menyentuh, merasa dan sebagainya. Nurulsham harap anda bersabar, ya!

Baiklah, jom tengok bahan-bahannya.  ☺☺☺☺

santan pekat secukupnya
gula secukupnya
  1. Tepung pulut 1 kg
  2. Tepung gandum 1 cawan sebagai pelekat
  3. Daun pandan 5 helai ditumbuk dan diambil airnya.
  4. Air secukupnya (Tok Anum tunjukkan koleh yang biasa dia gunakan untuk bancuh kopi)
  5. Gula secukupnya
  6. Santan secukupnya
  7. Sedikit garam
Cara-caranya:

Cara yang Tok Anum gunakan memang autentik. Selama ini Nurulsham lihat doh kecil-kecil puteri mandi  ini biasanya di rebus dalam air mendidih hingga timbul baru diangkat (macam kuih buah melaka), tetapi.... cara Tok Anum sangat berlainan dan sangat menyedapkan. (Ini rahsia sebenarnya!!!) 

Orang-orang tua di sana yang ajar begini, menurut beliau. Jom kita tengok ya.


1.   1 kg tepung pulut + tepung gandum secawan digaul
 dengan air pandan dan air biasa  yang ditambah
sedikit semi sedikit. Gaul hingga semua tepung
sebati dan melekat antara satu sama lain.

1.1.  Setelah itu mulalah menguli tetapi perlahan-lahan sahaja.
Tidak perlu uli kuat seperti uli roti pula, ya.

1.2 .  Atas - ambil air sedikit-sedikit untuk lembutkan doh

gambar sebelah bawah  -  koleh kopi Tok Anum

1.3. Tambahkan air sedikit demi sedikit degan cara rendam
 tangan dalam air dan kemudian  uli lagi doh anda. Tepung
pulut ini sangat mudah rapuh (tidak melekat sesamanya)
bila kurang air.

1.4.  Pesan Tok Anum, jangan terlebih air pula kerana doh
akan jadi liat dan kembang selepas dimasak nanti

2 . Bulat-bulatkan doh seperti dalam gambar. Lihat doh anda tidak
rapuh atau retak. Kalau ada retak, doh tak cukup air


3. Picit bahagian atas doh dengan hujung jari. Tujuannya adalah
supaya kuih anda nanti timbul sedikit seperti sampan dalam air.
Selain itu, lubang ini juga boleh menakung kepala santan
yang sedap, manis dan lemak nanti.


4. Susun doh kecil comel ini dalam loyang yang telah ditabur
gula secukupnya

Nota- maksudnya, cara tradisi ini tidak menggalakkan anda
 mengacau gula. Hanya biar rasa manis itu sebati sendiri
melalui proses pemanasan, resapan dan perolakan sewaktu
 dikukus.

Inilah yang membezakan cara Tok Anum dan cara orang lain.
Cara yang biasa digunakan, doh dimasak dalam air mendidih,
kemudian barulah dicampur dengan kuah santan yang dimasak
berasingan

nota- lihat gula di dasar loyang

5. Tambahkan kepala santan + garam  (maksud Tok Anum,
 santan pekat) dan kukus sehingga kepala santan
memekat naik tetapi  jangan hingga pecah minyak.

Nota- maaf, Nurulsham tiada gambar kuih ini yang dan
siap sebab Nurulsham terpaksa balik awal dari rumah
Tok Anum.

Setelah siap, bolehlah dicedok ke dalam mangkuk dan dinikmati panas atau sejuk.

Selamat mencuba!


Wednesday, 24 May 2017

JOM BELAJAR MENDANDAN ROTI (TOCANG 4)

Cantik tak?
Di sini Nurulsham nak tunjuk cara mendandan roti supaya nampak macam gambar di atas. Cantik kan? Ini adalah dandan 4. Bandingkan dengan dandan 3 di bawah ya.

Sebenarnya, dandan 3 pun cantik. Cuma hari ni Nurulsham nak ajak anda berkreatif dan bervariasi. Sesekali tukar angin tentu seronok, kan...?

Oklah.. untuk resepi doh yang lembut tapi kental, sila klik link roti bun manis.

Menggunakan doh yang anda ambil dari link di atas tadi, anda bolehlah mula buat seperti di bawah.

1. Picit-picitkan tepi doh secara memanjang sambil
perlahan-lahan menggulung doh anda menjadi panjang.

2.  Bentukkan doh memanjang dengan cara mengguling
dan menarik hujung doh perlahan-lahan.

2.1. Sediakan 2 biji  doh panjang ini

3. Susun doh panjang anda dalam bentuk 'X' dan
nomborkan 1 hingga 4 seperti dalam gambar.

4. Ambil hujung 1 dan lipat ke kanan 2 (melalui atas 2)

5.  Angkat doh 3.

5.2. Ambil doh 4 dan bawa ke kiri doh 1

5.3. Bawa ke kiri doh 1 (melalui bawah 3)

5.4. Kemudian letakkan kembali hujung doh
3 ke lapangan/talam

Maksudnya,

  • hujung doh paling kanan akan 'melalui atas doh' disebelah kirinya (langkah A)
  • hujung doh paling kiri akan melalui bawah doh di sebelah kanannnya (langkah B)


6. Inilah hasilnya. Anda hanya harus ulang langkah A dan
 langkah B sehingga keempat-empat hujung doh habis.

7.  Picit hujung keempat-empat doh untuk menutup/menyelesaikan dandanan doh anda.
Sekian dahulu. Diharap anda faham penerangan Nurulsham. Selamat mencuba!