Sebagai wanita, tidak dinafikan di dalam fikirannya tentu pernah terdetik andai suaminya ada hati terhadap wanita lain. Apa lagi tatkala umur semakin menginjak naik dan penampilan diri mula merosot. Dalam budaya orang Melayu, perkara ini lebih lagi ditakuti kerana orang lelakinya dibolehkan berkahwin lebih dari satu.
Wahai wanita sahabat Nurulsham semua. Kita adalah sama. Nurulsham juga ada berfikir sedemikian. Apa lagi suami merupakan seorang yang rajin bersosial, berpesatuan dan kuat bersukan. Orangnya jenis yang popular sewaktu di sekolah pula, dan ramai wanita yang memang sukakan beliau sejak dari dahulu lagi.
Ketahuilah sahabat-sahabatku, perasaan ini akan makin kuat jika kita wanita mempunyai rasa rendah diri yang banyak. Contohnya, jika kita merasa diri kita tidak cantik, kurang berpelajaran, tiada ramai kenalan, tiada bakat... maka perasaan kita makin mudah retak. Ini dinamakan sebagai inferiority complex, dalaman menjadi tidak kuat kerana luaran kita yang tidak sebaik orang lain.
Perasaan rendah diri ini semakin mengawal kita jika kita pula mengalami penyakit yang sukar sembuh sehingga kecantikan semakin merosot.
Oh ya, pokok kepada penulisan Nurulsham hari ini adalah tentang tindakan yang perlu diambil wanita jika mendapati suami tercinta ada berhubungan rapat dengan wanita lain. Memang tidak dinafikan, perkara ini akan mengundang kesedihan, bukan... ? Tentu perkara pertama yang keluar di fikiran kita ialah, berapa seriuskah hubungan mereka.
Wahai sahabat wanita Nurulsham, jika anda berada di situasi ini... tariklah nafas sedalam-dalamnya dan banyaklah mengingati Allah. Kawallah pemikiranmu terlebih dahulu. Maksud Nurulsham... tak apa, tidak salah menangis dan mencucurkan air matamu, namun pemikiranmu harus kau susun satu-persatu... harus fokus!
Mulakan dengan bertanya, siapakah wanita itu, dan siasatlah terlebih dahulu. Kita wanita moden yang punya banyak sumber di sekeliling untuk menyelidik, maka selidiklah dengan berhati-hati. Jangan sesekali membiarkan emosi mengawal fikiran lalu kita mula mengherdik da menuduh tanpa usul periksa. Jangan... .
Bagi Nurulsham, perkara pertama yang harus dilakukan adalah cuba mencari maklumat tentang wanita tersebut. Kalau boleh, dapatkan cara untuk menghubungi beliau. Siasatlah bagaimana sikapnya. Adakah beliau seorang yang baik. Adakah beliau sudah berkahwin dan punya anak-anak. Apakah yang mendorong beliau rapat dengan suami kita. Adakah suami kita istimewa pada beliau, atau sekadar sahabat untuk bertukar fikiran tatkala masalah melanda.
Kenapa Nurulsham menulis sedemikian. Ada kalanya, sesuatu masalah itu, wanita tidak dapat bertanya pada wanita. Lebih baik mereka bertanya pada lelaki. Nurulsham sendiri pernah merujuk pada seorang sahabat lelaki tentang masalah suami, kerana bila Nurulsham merujuk pada wanita, jawapannya amat berat sebelah dan membawa kepada pemikiran negatif. Syukurlah, setelah mendapat pandangan dari sahabat lelaki Nurulsham itu, kasih sayang Nurulsham makin bertambah pada suami... kerana dari sahabat lelaki inilah, baru Nurulsham faham mengapa suami Nurulsham mengambil tindakan yang sukar selama ini Nurulsham faham sebagai seorang wanita.
Pokok pangkalnya, selidiklah... .
Kemudian, cubalah cari peluang untuk berbicara dengan wanita itu. Waktu itu, anda harus betul-betul mengawal diri. Janganlah menerjah atau terus marah. Bertanyalah dengan baik dan berbincanglah. Tiba masa yang sesuai, kenalkanlah dirimu pada wanita itu. Kalau dia wanita yang baik, dia akan berbicara baik denganmu, malah ada kes-kes di mana dia akan meminta maaf padamu kerana telah menarik perhatian suamimu dari hanya memandangmu. Kalau dia wanita yang tidak baik, anda tidak perlu mengamuk kerana itu tidak akan mengubah apa-apa. Waktu ini, tiada gunanya berbincang dengan wanita itu, sebaliknya fokus anda harus beralih pada suami anda pula... .
Pada suami juga, anda harus berbincang. Tapi, kali ini perbincangan haruslah bersyarat, dan dia harus mengikut syaratmu. Kala ini dia sudah berbuat salah, jadi dia tidak berhak mengubah tajuk cerita. Ada juga suami dari jenis yang akan mencari alasan dan sanggup berbohong. Tak perlulah anda takut dia berbohong, kerana dia hanya akan membohongi dirinya sendiri. Yang penting syarat anda telah dia ketahui dan tidak boleh buat main-main dengannya.
Seterusnya di pihak anda, naikkanlah taraf diri dan ekonomi anda. Buatlah simpanan untuk diri sendiri. Kepada yang berkerjaya, kerjalah bersungguh-sungguh dan capailah tempat yang selesa. Berbaik-baiklah dengan orang di sekeliling anda dan banyakkan berdoa semoga kita sentiasa bertemu orang yang boleh menjadi sahabat.
Ingatlah, hidup kita bukanlah untuk suami semata-mata. Kita tidak akan mati kerananya. Andai kita telah melakukan segala yang terbaik semampu kita sebagai isterinya, namun dia masih juga mahu curang... kita serahkan sahaja pada Allah untuk mentakdirkan yang terbaik buatnya. Kita masih ada anak-anak, kawan-kawan, saudara mara dalam hidup kita dan semua ini mampu memberi rasa bahagia pada kita.
Sekian dahulu dari Nurulsham. Hanya sedikit perkongsian, semoga bermanfaat.
No comments:
Post a Comment