Pada pendapat Nurulsham, melalui pengalaman bertahun-tahun menghadapi sakit yang sebeginilah... ramai orang tidak perasan bila mereka ada masalah yang berkaitan dengan saraf dan otak. Penyakit ini tidaklah mudah dikesan seperti penyakit darah tinggi atau kencing manis. Pendedahan juga amat kurang, di samping sikap masyarakat kita yang belum terbuka dengan masalah ini.
Seperti yang Nurulsham tulis sebelum ini, Nurulsham sendiri pernah berada dalam keadaan menolak kenyataan (denial) kerana takut dicop tidak waras.
Nurulsham bukanlah ahli untuk membincangkan hal ini. Apa yang ditulis adalah berdasarkan pemerhatian dan pengalaman sendiri dan orang di sekitar.
Pertama kali Nurulsham datang ke klinik psikiatri, Nurulsham dibawa oleh anak sulung yang menyokong sejak awal. Waktu kami sampai ke unit tersebut, awal-awal lagi kami terkejut besar, kerana waktu itu kami melihat seorang kanak-kanak sekitar umur lima tahun yang memekik-mekik dalam keadaan marah. Habis kerusi menunggu disepaknya. Seorang doktor sedang memujuknya, manakala wajah ibu bapanya sugul dan nampak amat kecewa. Bayangkan, anak sekecil itu mempunyai sikap yang amat baran. Dalam pelajaran psikologi yang Nurulsham pernah ikuti, masalah ini dipanggil tantrums.
Nurulsham juga baru sahaja tahu dari adik Nurulsham yang mempunyai anak autistik, sewaktu berumur tiga tahun dia terpaksa dibawa ke klinik psikiatri untuk mendapatkan rawatan. Antara rawatannya, kepalanya akan diurut, kaki tangannya akan dilatih dengan senaman tertentu, dan pelbagai lagi. Rawatan ini akan dirujuk pada unit pemulihahan carakerja (occupational therapy).
Ada seorang gadis yang Nurulsham pernah temui di klinik tersebut... hampir membuatkan Nurulsham menangis. Dari pandangan kecil ini, Nurulsham dapat melihat bagaimana dia nampak seperti sihat, namun tidak mampu menguruskan diri sendiri. Apa yang terjadi, kepalanya pernah dibedah selepas mengalami kemalangan. Selepas pembedahan, dia sudah tidak menjadi diri sendiri. Sewaktu Nurulsham bertemu dengannya, Nurulsham melihat dia meminta-minta makanan yang sedang dimakan oleh orang-orang yang menunggu di klinik. Dia juga akan bercakap perkara yang sama berulang-ulang. Tak dapat Nurulsham ceritakan, bagaimana remuk hati ini melihat seorang gadis yang masih amat muda berada dalam keadaan sedemikian.
Di klinik ini juga, beberapa kali Nurulsham bertemu dengan orang-orang yang perlu datang secara rutin untuk menerima dos methadone. Pada mulanya, Nurulsham sangat hairan... kerana melihat mereka ini tidaklah kelihatan seperti pesakit. Malah ada yang datang itu bekerjaya. Kemudian barulah Nurulsham tahu bahawa mereka ini rupa-rupanya bekas penagih yang kini menerima terapi gantian methadone untuk menghilangkan ketagihan.
Ada juga pesakit yang Nurulsham lihat berulang-ulang memegang perutnya dan bercakap seorang diri. Namun, yang ajaibnya... dia datang sendiri ke klinik, menguruskan pendaftarannya sendiri, pulang naik bas sendiri. Memang menghairankan, kerana pada pandangan Nurulsham sebagai orang biasa ini, dia mampu menguruskan diri sendiri, tapi dia mempunyai perlakuan berulang-ulang, atau obsessive compulsive disorder (OCD).
Setelah melihat berbagai-bagai jenis pesakit yang datang ke klinik, Nurulsham menyesal sendiri. Nurulsham pernah ditegur sahabat yang membantu mendapatkan pandangan Doktor Lazli... waktu itu Nurulsham betul-betul tak mahu ikut rawatan di klinik psikiatri kerana kerana beranggapan klinik ini menguruskan orang yang bermasalah mental. Dia tegur Nurulsham, katanya... salah menganggap mereka ini tidak waras. Tidak tepat meletak label gila dsbnya pada pesakit ini.
Kata Doktor Kala, jika nampak ahli keluarga atau orang yang rapat, menunjukkan tanda-tanda seperti di atas, nasihatilah mereka supaya datang ke klinik psikiatri. Menurut beliau, ada banyak sebab kepada masalah ini, antaranya kemalangan, stress yang berlebihan, trauma, atau memang sebab keturunan. Ada lagi... tapi Nurulsham tak dapat ingat semuanya.
Ada orang yang dilahirkan mempunyai masalah saraf dan otaknya, namun tidak disedari. Apabila berlaku tekanan berlebihan, trauma dan sebagainya, barulah terlihat tanda-tanda yang dia ada masalah ini. Jika tidak kuat, ia akan mengganggu mental. Waktu ini, bantuan dari ubat-ubatan amat perlu untuk mengurangkan gejala yang ditunjukkan pesakit, kerana amat sukar untuk pulih sendiri.
Menurut sahabat Nurulsham, kata Doktor Lazli... ada kalanya... apabila berlaku trauma, paras serotonin dalam otak seseorang boleh kering (ini bahasa Nurulsham sebagai orang biasa. Anda boleh buat carian di laman web untuk mengetahui lebih lanjut). Untuk paras serotonin itu bertambah semula, ia memerlukan masa yang lama. Seorang pesakit kemurungan misalnya, mungkin boleh membaca Al-Quran atau berzikir. Tapi, ada kalanya... inipun tidak cukup, maka bantuan dari ubat-ubatan amat perlu. Kata sahabat itu lagi, dalam Islam pun, kita disuruh berusaha berubat apabila sakit... dan mengikuti rawatan di klinik psikiatri ini juga termasuk dalam usaha.
In shaa Allah setakat ini dulu. Nanti kita sambung lagi, ya.😊
Nurulsham mengalu-alukan doktor dan petugas kesihatan untuk memberi pandangan di bawah ini, supaya sahabat kita mendapat pandangan yang lebih jelas. Mohon maaf jika ada kesalahan sewaktu Nurulsham menulis dari pandangan sebagai orang biasa ini.
Wassalam. Bye semua.
No comments:
Post a Comment